Hi Korang,
Mencerminkan komitmen berterusan untuk menambah baik kualiti hidup rakyat Malaysia dan menabur bakti kepada masyarakat tempatan, Nestlé Malaysia hari ini mengumumkan kembalinya Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup, iaitu kempen mengubah kehidupan yang memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk mencapai impian masing-masing sambil menghulurkan bantuan kewangan kepada badan amal dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang layak.
Usaha membawa kesan positif kepada masyarakat yang menjadi matlamat penting kepada Nestlé sepanjang kehadirannya selama 112 tahun di Malaysia. Dilancarkan buat kali pertama pada 2020 apabila perintah kawalan pergerakan COVID-19 bermula, Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup menawarkan hadiah wang tunai berjumlah lebih daripada RM4 juta, yang membawa manfaat kepada 850 rakyat Malaysia pada masa yang sukar dengan 2 pemenang hadiah utama dipilih dalam kalangan 17 peserta akhir, untuk membawa pulang “Gaji Seumur Hidup” sebanyak RM3,000 sebulan.
Nestlé Malaysia turut menyumbangkan sejumlah RM684,000 kepada 17 badan amal yang mengambil bahagian dalam inisiatif ini, masing-masing dipilih oleh 17 peserta akhir.
Pada tahun ini, kempen yang diadakan dari 1 Mei hingga 30 Jun 2024 ini akan berusaha mengubah kehidupan insan dengan menawarkan hadiah bernilai lebih daripada RM4 juta untuk dimenangi sekali lagi. Antaranya termasuk hadiah utama berupa ‘Gaji Seumur Hidup’ untuk 2 rakyat Malaysia yang bertuah dan juga hadiah sagu hati, mingguan dan harian yang menarik di samping sumbangan Syarikat kepada 17 badan amal yang dipilih oleh peserta akhir peraduan.
En. Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad berkata, “Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup benar-benar mencerminkan matlamat kami untuk menambah baik kualiti kehidupan, menyediakan platform untuk rakyat Malaysia merebut peluang mencapai impian masing-masing, sambil memberikan sokongan kewangan kepada badan-badan amal untuk menambah baik kehidupan golongan memerlukan. Menerusi kempen ini dan pelbagai lagi inisiatif yang kami laksanakan, kami komited untuk memacu perubahan positif bagi rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat."
Turut hadir di majlis pelancaran edisi terbaharu Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup adalah salah seorang daripada pemenang hadiah utama pada 2020, Encik Amirrul Hafiz Bin Razak, 36 tahun, dari Temerloh, Pahang.
Semasa berkongsi kisah bagaimana peraduan ini mengubah kehidupannya, Encik Amirrul mengulas, “Sebelum menyertai pusingan akhir peraduan pada 2020, hidup saya penuh dengan cabaran, lebih-lebih lagi ketika itu saya dan isteri sedang menantikan kelahiran anak sulung kami. Kemenangan ini merupakan rezeki yang tidak diduga, dan telah mengubah kehidupan saya. Dengan hadiah wang tunai ini, saya kini mampu menyara hidup kedua ibu bapa, menjamin masa depan anak, membeli rumah impian serta terus menyokong pertubuhan amal yang menjalankan kerja-kerja murni. Saya juga sukacita untuk memilih Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI), sebuah badan amal yang membantu membekalkan makanan kepada golongan miskin bandar dan gelandangan yang menghadapi cabaran di kemuncak pandemik, sebagai penerima sumbangan Nestle.”
Untuk menyertai Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup, rakyat Malaysia hanya perlu membeli produk Nestlé yang terpilih bernilai RM20 dalam satu resit. Pelanggan juga boleh menghantar lebih daripada satu resit dengan syarat memenuhi pembelian minimum yang ditetapkan sebagai bukti sahih untuk merebut peluang sekali seumur hidup ini. Gambar resit hendaklah dihantar menerusi Whatsapp berserta nama penuh dan nombor pengenalan, atau menerusi borang web yang boleh didapati di dearnestle.com.my/borang-peraduan-gaji-seumur-hidup-2024 dan juga di kod QR yang dipamerkan di kebanyakan kedai.
Untuk maklumat lanjut serta terma dan syarat mengenai Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup, sila layari www.dearnestle.com.my/gaji-seumur-hidup-2024.