Hi Korang,
Dalam pada rakyat Malaysia bersatu meraikan perpaduan serta menzahirkan rasa patriotisme dan cinta terhadap negara sempena bulan kemerdekaan ini, Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah melancarkan secara rasmi acara ‘Panggung Rakyat’ beserta beberapa program utamanya bagi tahun 2019.
Panggung Rakyat merupakan sebuah platform seni umum bertujuan untuk mendidik, menyelami dan memperkasa warisan seni budaya Malaysia yang unik. Matlamat tersebut disokong menerusi anjuran beberapa siri persembahan tradisional asli yang istimewa dan bengkel interaktif, pameran serta ceramah yang dijayakan oleh barisan artis bersama badan seni budaya berpengalaman.
Inisiatif seni budaya umum ini dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Yang Berhormat (YB) Tuan Haji Khalid bin Abd Samad.
YB Tuan Haji Khalid Abdul Samad berkata, "Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara seperti hari ini tanpa kehadiran budaya, warisan dan yang paling penting, rakyatnya. Inisiatif ini merupakan satu langkah yang tepat untuk memastikan elemen mustahak dalam sejarah tidak dilupakan agar dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang. Selagi mana wilayah persekutuan dan kesejahteraan bandar berada di bawah kementerian saya, di samping Majlis Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Wilayah Persekutuan yang berada dalam bidang kuasa saya, seni dan budaya akan sentiasa kekal sebagai tunjang dalam dasar perbandaran negara."
Dijadualkan berlangsung pada setiap bulan hingga penghujung tahun ini di Kuala Lumpur, Panggung Rakyat akan memeriahkan suasana malam dengan beberapa persembahan, disamping pilihan aneka makanan dan pelbagai aktiviti menyeronokkan sesuai buat seisi keluarga. Acara percuma ini diadakan pada hari Sabtu minggu ketiga setiap bulan dari pukul 9 malam hingga 11 malam. Penganjuran Panggung Rakyat yang pertama telah merekodkan kejayaan besar dengan fokus diberikan pada Makyong, salah satu seni yang asli dan penting dalam sejarah di Malaysia yang berasal dari Kelantan lebih 400 tahun lalu.
Persembahan Makyong dipimpin oleh Zamzuriah Zahari, seorang penggiat seni Makyong yang terkenal di peringkat tempatan dan antarabangsa serta juga merupakan seorang pensyarah di Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Beliau turut disertai oleh Tokoh Makyong UNESCO iaitu Fatimah Abdullah, tiga orang Adiguru tua, seorang Adiguru muda serta seorang Tokoh Makyong Kelantan.
Direka oleh masyarakat Melayu di barat laut Malaysia, persembahan teater purba berbentuk drama-tari ini penting dalam sejarah kebudayaan Malaysia dan diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai salah satu Karya Agung Warisan Budaya Kemanusiaan Lisan dan Tidak Ketara.
Panggung Rakyat diilhamkan untuk memberi masyarakat sebuah pengalaman menyeluruh dan penuh inspirasi dalam menyelami seni dan budaya supaya mereka dapat merasai keindahan seni persembahan dan kesungguhan barisan artis yang telah membentuk sejarah kebudayaan negara untuk berabad lamanya. Acara ini dianjurkan di Jalan Raja, lokasi strategik di tengah-tengah kota Kuala Lumpur yang terletak di antara tempat ikonik lagi bersejarah, Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad.
CENDANA berharap untuk memupuk kefahaman dan penghargaan yang lebih mendalam terhadap keindahan elemen-elemen kebudayaan yang dijalin bersama dalam membentuk sebuah sejarah yang sarat dan berwarna-warni di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas CENDANA, Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, "Di CENDANA, kami usaha melibatkan diri dalam mendapatkan maklum balas dari barisan panel penasihat CENDANA, komuniti penggiat seni dan semua pihak penting bersama-sama dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan seni dalam sejarah kita. Kini, setelah hampir setahun kami amat gembira dapat membawakan persembahan seni budaya kepada masyarakat menerusi Panggung Rakyat. Usaha yang dilakukan ini merupakan langkah yang baik demi memastikan barisan artis dan badan seni budaya bersama hasil karya mereka yang mencerminkan kisah, tradisi serta ritual dalam masyarakat kita dapat terus dilihat, didengar, dihargai dan disebarkan ke kelompok khalayak yang lebih luas. Kami berbesar hati dapat berkolaborasi dengan DBKL dalam menyediakan platform ini supaya persembahan seni seperti Makyong yang kaya dengan budaya, sejarah dan penuh dengan makna mampu terus hidup melalui penganjuran persembahan seperti ini."
CENDANA akan bekerjasama dengan organisasi seni budaya tempatan seperti PUSAKA dan Pusat Penyelidikan Seni Persembahan Nusantara (NusPARC) untuk membawakan persembahan seni yang asli kepada rakyat Malaysia untuk bulan mendatang. Berikut merupakan jadual persembahan yang akan diadakan di Jalan Raja:
● 21 September 2019 : Tarian Portugis
● 19 Oktober 2019 : Tarian Ronggeng
● 16 November 2019 : Tarian Kuda Kepang
● 21 Disember 2019 : Tarian Bhangra
CENDANA mengalu-alukan syarikat perniagaan dan korporat untuk menyumbang kepada inisiatif seni budaya ini. Potongan cukai diberikan bagi sumbangan yang dilakukan. Untuk maklumat lanjut, layari www.cendana.com.my