Hi Korang,
Kemeriahan menjelang tiba di Malaysia Timur apabila warga tempatan bakal meraikan dua perayaan terbesar mereka. Di Sabah dan Labuan, Tadau Kaamatan disambut setiap tahun pada 30 dan 31 Mei, manakala suku Dayak di Sarawak menyambut Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun.
Sungguhpun Tadau Kaamatan dan Hari Gawai meraikan tamatnya musim menuai padi, sebenarnya terdapat perbezaan ketara dari segi tradisi dan upacara antara dua perayaan ini. Tadau Kaamatan meraikan hubungan antara Pencipta dan Ciptaan, yang diceritakan melalui lagenda pengorbanan Huminodun - seorang gadis cantik yang sanggup mengubah tubuhnya menjadi makanan dan tanaman subur bagi menyelamatkan manusia daripada kebuluran. Hari Gawai pula bertumpu pada persembahan dan upacara yang menzahirkan kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah ruah, di samping meraikan umat manusia, ‘semangat’ padi, dan unsur-unsur lain yang melambangkan alam semula jadi.
Memandangkan Tadau Kaamatan dan Hari Gawai sinonim dengan hasil tuaian lumayan, tidak hairanlah makanan merupakan antara aspek yang paling dinanti-nantikan. Sempena cuti perayaan ini, pastinya ramai di antara kita yang tidak sabar lagi untuk berkumpul dengan keluarga serta sahabat karib sambil menikmati pelbagai makanan lazat. Namun, harus diingat bahawa pemakanan tanpa kawalan semasa perayaan boleh menyebabkan peningkatan berat badan, tekanan dan kegelisahan. Kerana itu, pengamalan snek bijak yang merujuk kepada tabiat makan dengan niat dan perhatian, memfokuskan pada detik sekarang, dan menikmati makanan dengan semua pancaindera untuk mengelakkan terlebih makan amatlah disarankan.
Di sini, mari kenali lima kudapan unik dari Sabah dan Sarawak yang wajib anda cuba, dan sambil-sambil itu terapkan juga amalan snek bijak ketika menikmatinya:
1. Kuih Sarang Semut atau Kuih Jala
Sumber: Pengguna Facebook - Senia Raniah
Sarang Semut dari Sarawak yang mirip dengan Kuih Karas dari Semenanjung Malaysia ini diperbuat daripada adunan tepung pulut, tepung ubi kayu, dan gula. Ia digoreng panjang dan nipis, dan memiliki tekstur yang lembut dan sedikit kenyal. Kuih ini turut dikenali sebagai Kuih Jala, dan menjadi kegemaran kanak-kanak mahupun orang dewasa kerana tekstur dan rasanya yang lazat. Ketika menikmatinya, kami mencadangkan agar anda menghayati setiap gigitan, kunyahan dan rasa kuih Sarang Semut yang rangup ini untuk meningkatkan meningkatkan kepuasan makan anda.
2. Penganan
Sumber: Hantara Blog – Che Nom
Penganan dari Sarawak merupakan makanan tradisional yang dibuat dengan menggoreng adunan tepung beras, gula, dan santan. ‘Kek mini’ ini rasanya manis-manis dan sedikit masin, dengan memiliki bahagian luar yang rangup namun bahagian dalam yang lembut lagi kenyal. Ia sesuai dijamah ketika masih panas, tapi disebabkan ianya makanan bergoreng, amalkan kesederhanaan dan kawalan porsi dengan menikmati sekeping sahaja pada satu-satu masa.
3. Hinompuka (Kuih pulut kukus)
Sumber: Pengguna Facebook – Debbie Debra D
Hinopuka merupakan makanan tradisi Kadazan yang lazat. Kuih pulut kukus melekit yang dibalut dengan daun pisang ini manis dan lemak berkrim dengan tekstur kenyal. Sesetengah resipi menggunakan santan untuk meningkatkan lagi rasa lemak berkrim, dan ada juga yang menggunakan gula merah untuk menambahkan rasa manis. Rasanya yang unik juga terhasil daripada penambahan ekstrak pandan, pisang atau keladi parut ke dalam adunan, menjadikannya pemanis atau kudapan yang sesuai bagi anda yang menggemari perisa yang lebih halus. Selain mengawal kuantiti makanan, tingkatkanlah kepuasan deria anda dengan mengelakkan gangguan dan nikmati makanan anda dengan perlahan-lahan. Sebelum mencapai kepingan hinompuka yang seterusnya, semak dengan diri sama ada anda sebenarnya sudah puas dengan kuantiti yang dimakan tadi.
4. Tebaloi
Source: Facebook User – Tebaloi Mukah Sarawak
Tebaloi atau biskut sagu merupakan makanan tradisional masyarakat Melanau, namun turut mendapat permintaan tinggi dari serata Borneo. Diperbuat dari tepung sagu, kelapa, gula dan telur, tebaloi boleh didapati dalam pelbagai perisa dan warna-warna menarik. Nikmati kepingan tebaloi anda dalam porsi yang sederhana sambil menghayati tekstur, warna serta rasanya yang unik hasil dari panggangan kayu api untuk meningkatkan pengalaman gastronomi anda.
5. Bambangan
Sumber: Pengguna Shopee – astcatalieya
Buah istimewa dari kepulauan Borneo ini sering dikelirukan dengan mangga. Ia memiliki kulit coklat tebal dan haruman yang tersendiri, dan boleh dimakan masak atau dituai mentah untuk dijeruk dengan garam, parut biji bambangan, dan potongan cili untuk menghasilkan hidangan seperti Hinava Ginapan untuk Tadau Kaamatan. Jika dimakan begitu sahaja, bambangan mempunyai rasa masam dan unik yang serupa dengan mangga atau nangka. Sama ada dinikmati mentah, dimasak atau dijeruk, nikmatilah setiap kunyahan dengan penuh perhatian dan lebih perlahan untuk meningkatkan kepuasan makan anda.
Mencuba kudapan-kudapan lazat ini merupakan cara terbaik untuk menghayati kekayaan warisan budaya sambutan Kaamatan dan Gawai, sambil memuaskan selera makan anda. Dengan begitu banyak makanan lazat untuk dinikmati bersama orang tersayang, jangan lupa untuk mengamalkan tabiat snek bijak – bahagikan porsi kudapan sebelum makan, dan kurangkan atau elakkan gangguan untuk menumpukan sepenuh perhatian pada nikmat makanan anda. Amalan snek bijak ini sebenarnya boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja, tidak kira di mana jua, dan pada bila bila masa.
Amalan snek bijak semasa musim perayaan bukan sahaja membolehkan anda menikmati makanan anda dengan sepenuh hati, tetapi juga membantu anda menjalani gaya hidup lebih sihat. Menurut satu laporan tentang tabiat snek global oleh Mondelēz International, 78% orang pada hari ini lebih cenderung mengambil masa untuk menikmati snek mereka, manakala 61% berkongsi mereka meluangkan masa untuk membahagikan porsi makanan sebelum makan. Adakah anda salah seorang daripada mereka?
Kenali amalan snek bijak serta manfaat-manfaatnya di www.snackmindful.com.
No comments :
Post a Comment