Friday, October 6, 2017

Jom sertai “Kuala Lumpur Fabulous Food Hunt 2017” (KLFFH 2017)!!

Hi Korang,

“Kuala Lumpur Fabulous Food Hunt 2017” (KLFFH 2017) merupakan program anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia W.P Kuala Lumpur/Putrajaya (PKPKM WP KL/Putrajaya) dan Biro Pelancongan Kuala Lumpur. Acara ini diadakan bagi menyokong kempen Citarasa dan “Fabulous Food 1Malaysia” yang dilancarkan semenjak tahun 2009. 


Objektif penganjuran acara ini bertujuan untuk mempromosi dan mempergiat industri pelancongan melalui “Food Tourism” khususnya W.P. Kuala Lumpur; membangunkan industri kecil-kecilan dalam sektor makanan termasuk gerai, warung, restoran dan food truck; serta memperkenal dan memupuk minat masyarakat dan pelancong mengenai keunikan makanan-makanan tempatan. Acara ini juga diadakan bagi mempromosikan #sayangmalaysia dan #visitkl bagi menarik lebih ramai pelancong ke Kuala Lumpur. 

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia W.P. Kuala Lumpur & Putrajaya, Encik Ahmad Alsraf Ahmad Mokhtar berkata, “Acara berbentuk “food hunt” ini telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada para penggemar-penggemar makanan berikutan keunikan acara ini. Sambutan yang diterima setiap tahun amat menggalakkan di mana penyertaan bukan sahaja di kalangan masyarakat tempatan malahan terdapat juga penyertaan daripada luar negara termasuk pihak-pihak media”. 

Acara yang bakal diadakan untuk tahun ke-enam ini akan menyaksikan penyertaan seramai 1120 peserta mewakili 280 pasukan yang akan berlumba di sekitar W.P. Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi, bas, LRT, komuter, monorel dan MRT. Mereka mestilah melengkapkan tugasan di semua 10 hentian atau “check points” dan mendapatkan cop selesai (“completed”) sebelum menamatkan cabaran. Antara cabaran yang perlu di lakukan termasuk makan makanan popular yang disediakan, menjawab soalan berkaitan pelancongan di Malaysia dan Kuala Lumpur selain mencari klue lokasi restoran dan gerai yang terpilih dalam waktu yang terpantas. 

KLFFH pada kali ini akan mengetengahkan dan mempromosikan makanan-makanan “signature” dan popular di sekitar Kuala Lumpur mencakupi makanan tempatan yang mewakili pelbagai bangsa dan juga makanan antarabangsa. Antara makanan yang dipilih termasuk nasi campur, mi sup (Chinese style), roti canai istimewa, nasi Arab, gourmet sandwich, pecel lele, dan lain-lain lagi. Selain dapat menikmati makanan yang disediakan, peserta juga berpeluang menjelajah ke seluruh pelusuk Kuala Lumpur dan mengenali lokasi-lokasi gerai dan restoran yang baru. Kebanyakan peserta turut berkunjung ke lokasi-lokasi yang diperkenalkan selepas acara ini tamat terutama pada hujung minggu, hari cuti am mahupun hari-hari bekerja. 


Pelbagai hadiah menarik juga bakal dimenangi para peserta termasuk wang tunai dan cabutan bertuah. Sebanyak 45 pasukan terawal sampai untuk kategori terbuka, tertutup dan expat/pelancong akan membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah sehingga RM 22,900.00. Sebanyak 100 hadiah cabutan bertuah juga bakal dimenangi peserta termasuk tiket penerbangan, gajet-gajet terkini, barangan elektrik, barangan outdoor, voucher makanan, voucher hotel dan lain-lain lagi. 

Encik Ahmad Alsraf Ahmad Mokhtar juga berharap kerjasama strategik dengan semua pihak seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KL Fun Expats (KLFE), IPTA/IPTS, Syarikat-syarikat swasta, NGOs, penaja-penaja, restoran-restoran dan pihak media dapat dijalin dan diteruskan pada masa hadapan. Ini mampu memberikan impak yang lebih holistik dan efektif dalam membangunkan industri pelancongan dan kebudayaan negara seiring dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau National Blue Ocean Strategy (NBOS).

Jom sertai “Kuala Lumpur Fabulous Food Hunt 2017” (KLFFH 2017)!!






Kaki Bebel,

LILY

www.ciklilyputih.com

No comments :