Thursday, April 6, 2017

SAY IGNITE 2017 - Membangunkan belia untuk menjadi juara pada masa hadapan

Hi Korang,

Selangor Youth Community (SAY) menyemarakkan semangat belia bagi mewujudkan masa depan yang lebih cerah untuk negeri Selangor dan juga Malaysia, dengan menyediakan platform untuk mereka melonjakkan diri ke peringkat seterusnya dan menjadi juara dalam bidang masing-masing. 


Selangor Youth Community (SAY) adalah cetusan minda daripada Raja Muda Selangor sendiri, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, dan ditubuhkan bagi merealisasikan visi baginda untuk masa depan negeri Selangor. Sebagai sebuah organisasi yang tidak berasaskan keuntungan, tidak berkaitan politik dan bukan kerajaan, SAY menyasarkan untuk menjadi pemangkin sekaligus berperanan sebagai pemudahcara antara pihak kerajaan, sektor korporat dan komuniti belia bagi mencipta komuniti belia yang berkembang maju, dari belia untuk belia.


Selaras dengan misinya, SAY IGNITE 2017 yang julung-julung kali diadakan ini memfokuskan pada tunggak Seni dan Budaya, Hiburan, Keusahawanan dan Sukan & Kesihatan, dengan memberi peluang kepada belia bagi menyampaikan maklum balas mengenai isu berkaitan generasi mereka, selain membolehkan mereka meneroka, membangun dan menyesuaikan bakat serta minat mereka dengan matlamat bahawa mereka akan memainkan peranan penting dalam merancang dan membentuk masa depan Selangor dan juga negara.

Acara penuh yang diadakan selama sehari ini dibuka kepada orang awam dan diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. Pelbagai aktiviti disediakan di mana pengunjung boleh mengambil bahagian dalam sesi ceramah dan bengkel yang dijalankan oleh rakan kongsi strategik SAY dari sektor awam dan swasta yang menyentuh pelbagai tajuk dari keusahawanan, kesihatan dan sukan kepada dunia kreatif seni dan budaya.


Aktiviti-aktiviti ini selaras dengan misi SAY bagi memudahkan 3C – connectivity (penyatuan), capacity building (pembinaan kapasiti), dan collaboration (kerjasama) – di kalangan belia di Selangor, yang menyediakan wadah bagi menghubungkan mereka dengan peluang pembangunan, selari dengan inisiatif Smart Selangor oleh Kerajaan Negeri dan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diterajui oleh Kerajaan Persekutuan, yang bermatlamat mengubah Malaysia menjadi negara yang berkaliber dengan cara berfikir yang baru.

Ribuan pengunjung berpusu-pusu ke acara ini di mana mereka turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti termasuk penghibur, pelawak komedi, penyanyi beatbox, persembahan muzikal dan bola sepak gaya bebas. Pengunjung turut meluangkan masa membeli-belah di bazar yang terdiri daripada usahawan-usahawan muda yang datang daripada sekitar Lembah Kelang.

Pengasas dan Penaung SAY, Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj, begitu percaya bahawa inisiatif seperti SAY IGNITE 2017 bakal menjadi pencetus kepada era baru untuk belia di Selangor.


“Selangor ialah negeri yang mempunyai paling banyak kepelbagaian di Malaysia dari segi umur, kumpulan etnik dan latar belakang, sebahagiannya disebabkan oleh perpindahan belia dari negeri-negeri lain dan melalui SAY IGNITE, kami berharap dapat menyediakan cetusan bagi menyatukan minat dan semangat mereka dalam mewujudkan komuniti yang dinamik dan saling berhubung," kata DYMM Raja Muda.



"Saya membayangkan Selangor yang dipenuhi dengan komuniti belia yang bersemangat dan bermotivasi, melahirkan bakat yang mampu mengubah dunia dengan pantas, sama ada dalam perniagaan, sukan dan hiburan. Saya mahu kita menjadi contoh yang diikuti oleh negeri-negeri lain, malahan negara-negara lain," jelas baginda lagi.

Agenda utama SAY IGNITE adalah sesi pleno yang bertajuk ‘Menyemarakkan Minda Golongan Muda Malaysia’. Forum ini menampilkan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj (Raja Muda Selangor), YM Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz bin Tengku Abdul Aziz (Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad) dan Raja Jesrina Azlina Raja Arshad (Ketua Pegawai Eksekutif PurelyB) sebagai ahli panel.

SAY IGNITE juga membawakan pertandingan bakat SAY ADA GAYA dan anugerah SAY CHAMPION yang merai dan mempromosikan para ikon belia di Selangor yang berjaya dan mempunyai masa depan cerah yang bukan sahaja menyumbang dalam bidang mereka masing-masing malahan kepada masyarakat umum.


Barisan finalis SAY ADA GAYA – Muhammad Akmal Harith bin Saiful Bahri, Nursyafiqah bt Mustafa dan Dynamic Duo – bersaing bagi merebut takhta juara dalam pertandingan bakat dan mendapat bimbingan mentor dari penyanyi rap berkarisma, Altimet. Dari persembahan nyanyian kepada tarian, mereka mempersembahkan personaliti dan gaya tersendiri di hadapan barisan juri yang antaranya terdiri daripada Raja Muda Selangor, Altimet dan Bernad Paul, iaitu wakil daripada Sunway Group.

SAY IGNITE 2017 ditaja oleh Sunway, iaitu rakan kongsi strategik Selangor Youth Community (SAY), yang sememangnya begitu menitikberatkan pembangunan belia melalui cabang pendidikan dan pelbagai aktiviti CSR mereka. 

Evan Cheah, Naib Presiden Eksekutif, Pejabat Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, China, Sunway Group, berkata, “Di Sunway, kami berbangga kerana menjadi Pemaju Komuniti Utama yang menghargai kepelbagaian dan keterangkuman dalam komuniti kami termasuk pembangunan belia yang penting bagi membentuk masa depan negara. Usaha ini juga sejajar dengan komitmen kami yang mementingkan kelangsungan dengan dibimbing oleh Matlamat Pembangunan Lestari PBB ke-17. Kerjasama kami bersama SAY memberi peluang kepada kami menggandingkan usaha bagi mendekati komuniti belia di Selangor dengan lebih meluas."


Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini, layari www.selangoryouth.com atau buat carian @SAYIGNITE2017 di Facebook, Twitter dan Instagram.

#sayignite2017 
#selangoryouthcommunity