Thursday, December 22, 2022

Pengajuran HPPK2022 Bukti Penghargaan dan Pengiktirafan Kerajaan Kepada Golongan Penjaja dan Peniaga Kecil

Hi Korang,

Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC) hari ini di sambut meriah dengan kehadiran YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang ke 10. 



Seramai 2,500 penjaja dan peniaga kecil dari seluruh negara hadir ke HPPK2022 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

HPPK disambut pada 18 November setiap tahun dan ini merupakan tahun kesepuluh sambutan di peringkat kebangsaan. Konvensyen HPPK2022 disertai rakan strategik KUSKOP seperti Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Gabungan Persatuan dan Penjaja Malaysia (G3PM), Yayasan Peniaga Kecil dan Penjaja Malaysia serta Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil India di negeri Selangor.








Perdana Menteri menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Peserta Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil kepada 16 orang penerima yang berjaya menunjukkan kemajuan memberangsangkan dalam perniagaan setelah mengikuti latihan melalui program keusahawanan anjuran KUSKOP.



Manakala Anugerah Khas Jasamu Dikenang diberikan kepada Allahyarham Dato’ Haji Ramli bin Norani iaitu mantan Presiden GPPPKMM dan juga ahli Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil (M3PK) sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperjuangkan nasib komuniti penjaja dan peniaga kecil di Malaysia sejak tahun 2012.



Terlebih dahulu Perdana Menteri di dalam ucapan perasmiannya mengucapkan syabas kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil yang memberi sumbangan secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau turut menyatakan pendirian Kerajaan Perpaduan untuk terus komited menyediakan sebuah ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif kepada komuniti ini serta menzahirkan keyakinan terhadap KUSKOP untuk menerajui agenda keusahawanan negara selaras Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick dalam majlis yang sama menyatakan komitmen KUSKOP untuk terus membantu memperkasa golongan penjaja dan peniaga kecil selaku penyumbang utama kepada pengukuhan dan kestabilan ekonomi negara.

Hadir bersama di majlis perasmian adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Senator Puan Saraswathy Kandasami dan YBhg. Dato’ Sri Suriani binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha KUSKOP.







Terdapat juga pameran produk para penjaja dan peniaga kecil termasuk juga booth-booth rakan-rakan strategik seperti Tekun Nasional, badan bukan kerajaan, agensi swasta dan banyak lagi.


No comments:

Post a Comment

Korang mesti nak komen kan? Hah cepat2 tulis kan sini okeh!