Hi Korang,
Tidak dinafikan di pasaran Malaysia terdapat begitu banyak jenama produk berstatus halal. Namun masih terdapat produk halal yang tidak mendapat liputan secara meluas hatta dikalangan penduduk Malaysia sendiri.
Menyedari tentang ini, Halal Development Corporation Berhad (HDC) telah melancarkan kempen “Jadikan Halal Pilihan Utama Anda”. Ianya merupakan satu program di bawah Inisiatif Bajet 2022 yang dilancarkan baru-baru ini dan kak lily berkesempatan untuk menghadirinya.
Sejumlah 500 usahawan halal dari sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah terpilih untuk menyertai kempen anjuran Halal Development Corporation Berhad (HDC). Kempan yang mendapat kerjasama secara proaktif daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui agensinya iaitu HDC dan juga Kementerian Kewangan (MOF) menerusi Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).
Matlamat kempen ini adalah untuk membantu melonjakkan pertumbuhan industri Halal ke tahap yang lebih tinggi, dengan menyasarkan peningkatan penjualan purata syarikat halal PMKS yang difasilitasi antara 20%-30% sepanjang tempoh kempen dari April hingga Julai 2022.
Kempen ini terbahagi kepada dua kategori :-
1. Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS di pasaraya-pasaraya besar. Di mana HDC telah menjalinkan kerjasama dengan Lulu International Group dan Lotus’s Store (Malaysia) Sdn. Bhd. Kerjasama strategik ini akan menyaksikan kempen bermula hari ini (22 April) di semua cawangan pasaraya Lulu, manakala kempen akan bermula pada 28 April ini di semua cawangan Lotus’s di seluruh negara.
2. Program Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS, akan melibatkan kerjasama dengan Food Panda Malaysia, penyedia platform secara dalam talian (e-commerce) dan logistik terkemuka, yang akan bermula dari 1 Jun hingga 31 Julai 2022.
Pelbagai promosi dan harga menarik ditawarkan di sepanjang kempen sekaligus mensasarkan matlamat kempen ini sendiri antara lain seperti:-
· Untuk meningkatkan capaian dan prestasi jualan.
· Bagi mengatasi isu jurang visibiliti produk halal tempatan yang bersaing dengan produk halal luar negara.
· Ke arah meningkatkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran produk halal tempatan.
Majlis Pelancaran Kempen HDC "Jadikan Halal Pilihan Utama Anda"
Acara pelancaran kempen ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali, Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), dan turut dihadiri oleh YBhg. Encik Hairol Ariffin Sahari, Ketua Pengawai Eksekutif, HDC serta wakil-wakil pengurusan tertinggi MITI dan rakan strategik kempen.
'Saya menyeru agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam usaha memartabatkan industri Halal negara menjadi pusat Halal dunia. Kita perlu sentiasa bersedia dan sanggup meneroka peluang yang terbuka luas dalam industri Halal yang dijangka akan memberikan imbuhan serta pulangan yang cukup bernilai' kata Datuk Lokman Hakim.
Menurut beliau lagi, Saya percaya, Kempen Jadikan Halal Pilihan Utama oleh HDC ini, dengan kerjasama agensi swasta dan kerajaan, akan mampu memberi kesan dan faedah yang positif dalam meningkatkan produktiviti dan daya saing industri halal negara.
Peningkatan Eksport Halal
Di majlis yang sama, Datuk Lokman Hakim turut mengumumkan prestasi eksport Halal negara yang mencatat pencapaian memberangsangkan, di mana peningkatan sebanyak 19 peratus direkodkan bagi tahun 2021, daripada RM30.5 billion kepada RM36.3 billion. Peningkatan ini membuktikan kepentingan industri Halal terhadap ekonomi Malaysia.walaupun berdepan cabaran Covid19.
Dari segi sumbangan sektoral, sektor makanan & minuman Halal terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi halal Malaysia dengan nilai keseluruhan RM17.64 bilion, diikuti Bahan Halal RM13.49 bilion, Kosmetik & Penjagaan Diri RM2.44 bilion, Derivatif Minyak Sawit RM1.71, Kimia Perindustrian RM0.75 bilion dan Farmaseutikal Halal RM0.28 bilion masing-masing di tempat kedua hingga keenam. Bahan Halal dan Derivatif Minyak Sawit menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan masing-masing daripada RM8.83 bilion dan RM0.89 bilion pada 2020.
Sementara itu, China telah mengatasi Singapura sebagai destinasi eksport halal terbesar pada 2021 masing-masing sebanyak RM4.6 bilion dan RM3.7 bilion, diikuti Jepun, Amerika Syarikat dan Indonesia. Pelaburan langsung ke Taman-taman Halal di Malaysia pada tahun 2021 juga mencatatkan pertumbuhan sebanyak RM210 juta dari tahun sebelumnya. Ini menunjukkan tarikan industri Halal negara yang mempunyai potensi besar meskipun berdepan cabaran COVID-19 sejak tahun 2020.
Sejumlah 303 syarikat sedang beroperasi di kesemua 14 Taman-taman Halal bertaraf HALMAS di seluruh Malaysia, dengan 44 syarikat merupakan syarikat multinasional (MNC), manakala 259 syarikat adalah syarikat milik tempatan. HDC telah menetapkan sasaran yang tinggi bagi menarik dan menyepadukan sekurang-kurangnya 50,000 PKS ke dalam industri Halal Malaysia menjelang 2030. Peningkatan daripada permintaan global yang seterusnya meningkatkan aliran dagangan Halal antarabangsa dan Malaysia adalah berikutan daripada peralihan ke Fasa Endemik dan juga pembukaan sempadan antarabangsa yang bermula 1 April yang lalu.
Kempen "Jadikan Halal Pilihan Utama Anda" di Lulu Hypermarket
Lulu hypermarket turut sama menyertai kempen ini dengan membuka peluang pada pelbagai usahawan PMKS untuk memasarkan produk halal mereka di seluruh cawangan Lulu di Malaysia. Dari produk kering, sejuk beku dan masakan panas dari jenama halal di Malaysia ada ditawarkan di sini
Apa yang menarik bukan sahaja banyak pilihan, bahkan jika dilihat dari segi pembungkusan memang setanding dengan jenama antarabangsa lain di pasaran.
Produk yang sentiasa di cari pelanggan memandangkan ianya adalah barangan keperluan yang perlu ada di setiap rumah. Inisiatif untuk membawa jenama usahawan PMKS ini ke hadapan merupakan satu langkah yang besar bagi membantu negara dalam memacu ekonomi pada hari ini.
Apa yang lebih penting kualiti yang ditawarkan juga terbaik setanding dengan jenama lain yang sudah sekian lama popular.
Lebih membanggakan lagi, ada antara jenama halal PMKS bukan hanya mempunyai 1 produk bahkan terdapat begitu banyak produk dibawahnya. Ini membuka peluang yang lebih besar bagi syarikat ini untuk memasarkan produk mereka bukan sahaja di Malaysia bahkan ke seluruh dunia.
Jika korang datang membeli-belah di Lulu Hypermarket, nak dapatkan produk halal lihat sahaja pada label "Jadikan Halal Pilihan Utama Anda".
Jom sama-sama sokong produk halal dari Malaysia.
Produk halal PMKS ini bukan sahaja ditawarkan pada harga yang berpatutan. Bahkan kualitinya memang terbaik dan boleh dibanggakan.
No comments:
Post a Comment
Korang mesti nak komen kan? Hah cepat2 tulis kan sini okeh!