Monday, March 15, 2021

4 Perkara Wajib Yang Perlu Setiap Wanita Lakukan, Jika Tidak, Nyawa Boleh Terancam!

Hi Korang,

Ok lagi satu bacaan ilmiah untuk korang

Kak lily akan kerap kongsikan artikel daripada Hello Doktor untuk bacaan santai korang. Sebab kak lily rasa ianya bagus untuk kita mengambil tahu mengenai kesihatan kita.

Kesihatan wanita sering menjadi fokus perbincangan utama menjelang 8 Mac yang merupakan Hari Wanita Sedunia.

Walaupun ia tidak diisytiharkan sebagai cuti umum di Malaysia, namun terdapat pelbagai jenis upacara yang diadakan bagi memperakukan peranan wanita dalam kehidupan seharian.


Bagi memastikan kebajikan wanita terjaga secara menyeluruh, penting untuk kita turut memberikan tumpuan kepada prioriti kesihatan mereka.

Artikel ini akan menerangkan 4 perkara yang wajar diberi perhatian oleh setiap wanita bagi memperkukuhkan tahap kesihatan mereka bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia.

Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

#1 Galakkan mereka menjalani ujian saringan kanser serviks

Tidak lengkap saranan kesihatan wanita jika ia tidak melibatkan ujian saringan kanser serviks.

Ia merupakan kanser ketiga terlazim di Malaysia dan boleh dianggap sebagai barah termudah dalam kalangan kanser wanita. Ia boleh dihindari melalui ujian pap smear, vaksin HPV dan rawatan susulan.

Pap smear adalah prosedur yang dijalankan bagi mengenal pasti perubahan pra kanser (perubahan sel serviks), yang berpotensi untuk menjadi kanser jika tidak dirawat dengan sebaiknya.

Bagi mereka yang berusia di antara 21 hingga 65 tahun, doktor lazimnya akan menyarankan ujian pap smear dibuat setiap 3 tahun.

Namun jika anda mempunyai faktor risiko masalah kesihatan kanser, ia mungkin akan dijadualkan lebih kerap:

Pernah didiagnosis dengan masalah kanser serviks atau pap smear menunjukkan perubahan pra kanser.

Terdedah kepada diethylstilbestrol (DES) semasa di dalam kandungan.

Didiagnosis dengan jangkitan HIV.

Mempunyai sistem imun yang lemah berikutan prosedur pemindahan organ, terapi kemo atau penggunaan ubat steroid secara kronik.

Tabiat merokok atau pernah merokok.

Anda juga disarankan untuk mengambil ujian virus papilloma (HPV) bagi mengesan aktiviti virus tersebut.

Ia boleh menyebabkan ketuat pada kemaluan, mencetus perubahan sel serviks dan menyebabkan masalah kanser serviks.

#2 Jangan lupa akan kanser payudara, buat mamogram seperti yang disarankan

Kanser payudara adalah kanser terlazim yang didiagnosis dalam kalangan wanita di Malaysia.


Dianggarkan 1 dalam kalangan 19 wanita berisiko mengalami masalah kesihatan ini. Jika mahu dilihat pada konteks yang lebih luas, lebih daripada 1 juta wanita di seluruh dunia didiagnosis dengan masalah ini setiap tahun.

Keadaan kesihatan ini juga merupakan kanser kedua dengan kadar kematian tertinggi selepas kanser paru-paru.

Ujian saringan kanser dan pengesanan awal boleh membantu pesakit wanita untuk mengesan masalah kanser ini lebih awal dan rawatan susulan boleh dijalankan.

Namun, bukan mudah untuk kita menggalakkan mereka yang berisiko untuk turut menjalani saringan mamogram atau ujian lain seperti yang disarankan oleh doktor.

Akibatnya, hampir 40% kes kanser payudara baharu didiagnosis ketika mereka berada pada tahap lewat.

Bagi memperkuatkan tahap kesihatan wanita, wajar untuk kita menggalakkan kaum Hawa ini untuk menjalani saringan kanser mengikut apa yang disarankan oleh doktor.

#3 Pastikan anda mendapatkan semua jenis vaksin yang disarankan demi kesihatan

Anda bukan sahaja perlu peka terhadap jenis vaksin yang disarankan semasa berada di tempat kediaman masing-masing.

Keperluan vaksin boleh berubah jika anda ingin bergerak pergi ke negara lain bagi menghindari jangkitan endemik yang boleh mengancam nyawa.

Jadi, lebih selamat sekiranya anda berjumpa dengan doktor terlebih dahulu sebelum pergi bercuti ke mana-mana (6 minggu sebelum lebih ideal) untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan keperluan vaksin.

Anda juga boleh membincangkan isu kesihatan lain seperti bekalan air bersih, nyamuk dan langkah pencegahan bagi penyakit seperti cirit-birit sekiranya anda hendak ke lokasi berkaitan.

#4 Senaman dan diet boleh bantu memperkukuhkan tahap kesihatan wanita

Amalan pemakanan sihat dan fokus untuk mencapai berat ideal boleh melindungi anda daripada penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan kanser.



Lemak berlebihan terutamanya pada kawasan abdomen boleh menyukarkan kerja jantung untuk mengepam darah ke seluruh badan dan meningkatkan risiko anda untuk mengalami masalah diabetes.

Jika anda mengalami masalah berat badan berlebihan, penurunan berat sekitar 5 hingga 10% berat badan sudah memadai untuk menyebabkan perubahan ketara pada paras gula dan tekanan darah.

Pastikan anda minum air secukupnya dan bersenam secara berkala.

Mungkin sukar bagi anda untuk mencari masa. Namun demi kesihatan, luangkan masa 30 minit sehari untuk bersenam.

Ambil makanan berkhasiat. Tambah masuk makanan berserat, bijirin, lemak tidak tepu dan sumber protein yang bagus seperti kekacang, ikan dan sebagainya.

Elakkan makanan berproses, tinggi garam, karbohidrat yang dicerna dengan cepat seperti roti putih, nasi putih dan minuman bergula.


Kesimpulannya..


Bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia, marilah bersama-sama kita galakkan amalan kesihatan yang lebih baik dalam kalangan wanita.

Jika anda tidak pernah membuat saringan atau pemeriksaan kesihatan tahunan, pastikan anda melakukannya sekarang.


Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Artikel Oleh Mohammad Nazri Zulkafli, Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Okla nanti kak lily kongsikan lagi artikel ilmiah ni lagi. Terima kasih kepada team Hello Doktor untuk perkongsian ni ek


#HelloHealthGroup
#HelloDoktor

No comments:

Post a Comment

Korang mesti nak komen kan? Hah cepat2 tulis kan sini okeh!