Saturday, April 4, 2020

Pemegang Pam Minyak Boleh Sebar COVID-19? Adakah Kena Pakai ‘Gloves’ Ketika Isi Minyak?

Hi Korang,

Ok lagi satu bacaan ilmiah untuk korang

Kak lily akan kerap kongsikan artikel daripada Hello Doktor untuk bacaan santai korang. Sebab kak lily rasa ianya bagus untuk kita mengambil tahu mengenai kesihatan kita.

Aspek perlindungan diri bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah terutamanya ketika musim wabak virus korona baharu (COVID-19). Terdapat ura-ura yang mengatakan pemegang pam minyak berupaya untuk meningkatkan risiko pengguna terhadap jangkitan virus tersebut.



Keadaan ini mula menimbulkan keadaan panik dan ramai individu yang tertanya-tanya, adakah sarung tangan perlu dipakai? Jika anda ingin tahu, teruskan membaca artikel ini.


Pam minyak, sama atau lebih kotor berbanding objek lain?



Kebanyakan pakar menafikan risiko jangkitan virus korona baharu terhadap individu yang menggunakan pam petrol untuk mengisi minyak.

Namun, mereka turut menyarankan penggunaan sarung tangan dan menggalakkan amalan cuci tangan selepas proses pengisian tersebut.

Dua pernyataan yang bercanggah ini membuatkan ramai keliru. Jika tiada penyebaran yang berlaku dalam kalangan mereka yang mengisi minyak, kenapa pakar menasihatkan pengguna untuk memakai sarung tangan?

Apa yang perlu anda ingat adalah setiap benda yang boleh disentuh terutamanya apabila ia terletak di kawasan umum boleh menyebarkan COVID-19.

Fomit (benda yang tercemar dengan kuman) merupakan salah satu kaedah penyebaran virus meskipun ia bukan cara penyebaran utama virus korona baharu.

Pemegang pam minyak boleh dianggap sebagai salah satu kelengkapan yang kotor dari sudut pandang mikroorganisma.

Kajian yang dibuat oleh syarikat Kimberly Clark pada tahun 2011 telah menunjukkan 71% pemegang pam minyak di 6 negeri di Amerika Syarikat dicemari oleh pelbagai jenis kuman berbahaya.

Jika dibandingkan dengan pemegang flush tandas yang mempunyai kira-kira 172 sel bakteria per inci per segi, pemegang pam minyak mempunyai jumlah kuman yang 11,000 kali ganda lebih tinggi daripada itu.

Ia bergantung kepada kekerapan pemegang tersebut disentuh dengan tangan yang tidak dibasuh. Ini bermakna, secara konsepnya, pam minyak yang lebih mahal bersih sedikit berbanding dengan pam minyak yang murah.


Sarung tangan, adakah ia mampu menghalang penyebaran kuman?




Kadangkala, sedang kita sibuk mengisi minyak, ternampak satu kelibat yang memakai sarung tangan sambil memegang pam minyak. Katanya nak elak jangkitan COVID-19.

Adakah benar ia boleh menghindarkan jangkitan?

Jawapannya adalah bergantung kepada cara penggunaan. Hakikatnya bukan semua individu mempunyai pengetahuan asas berkenaan dengan cara meminimumkan penyebaran kuman menggunakan sarung tangan.

Jika anda seorang yang kerap mencuci tangan selepas memegang sesuatu, anda tidak perlu memakai sarung tangan sekalipun. 

Namun, untuk keselesaan dan ketenangan jiwa yang kacau bilau dek ura-ura yang mengatakan anda mudah mendapat jangkitan jika tidak memakai sarung tangan, anda perlu tahu konsep pemakaian yang betul.

Walaupun sarung tangan boleh melindungi tangan anda sewaktu memegang pam minyak atau objek lain, tetapi kuman yang melekat pada sarung tangan tersebut boleh hidup lebih lama

Jika anda tidak membuka sarung tangan tersebut sejurus selepas melakukan sesuatu, tabiat menyentuh muka, sama ada untuk membetulkan topeng muka atau sentuhan lain, boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Kalau anda menyentuh permukaan lain sebelum membuka sarung tangan tersebut, anda berpotensi untuk mencipta fomit baharu.

Oleh sebab itulah lebih penting untuk kita memfokuskan kepada amalan cuci tangan. Jika virus korona baharu berada di permukaan kulit anda sekalipun, jika dibasuh menggunakan air dan sabun, ia boleh dibasmi secara serta-merta.

Jika tiada air dan sabun, anda boleh menggunakan hand sanitizer yang mengandungi jumlah kepekatan alkohol sekurang-kurangnya 60%.


Bagaimana cara untuk saya guna pam minyak dengan betul?




Mudah sahaja. Jika anda ingin mengisi minyak, anda boleh melakukannya dengan atau tanpa memakai sarung tangan.


Pakai sarung tangan (jika anda ingin memakainya). Pastikan anda membasuh tangan terlebih dahulu (langkah 1).

Buka penutup minyak kereta dan gunakan pam minyak mengikut kesesuaian kereta anda.
Tutup penutup minyak dan letakkan pam minyak di tempat asal.

Tanggalkan sarung tangan anda.

Basuh tangan sekali lagi menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer.

Jika dilihat pada data pesakit seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, mahupun mana-mana kajian di dunia, tiada individu yang positif COVID-19 selepas menggunakan pam minyak.

Model jangkitan bagi mereka yang menggunakan pam minyak agak logik jika mengikut teori namun hakikatnya, risiko jangkitan berada pada tahap yang sangat rendah. 

Pastikan anda menggunakan sarung tangan dalam tempoh masa yang pendek. Selepas siap melakukan sesuatu, tanggalkan dan terus buang. Jangan gunakan sarung tangan yang sama berulang kali. 



Jangan risau! Risiko untuk anda mendapat jangkitan virus korona baharu berada pada tahap yang sangat rendah. Pastikan anda cuci tangan dengan kerap, amalkan jarak sosial dan patuhi arahan kawalan pergerakan yang telah diputuskan oleh kerajaan sejak 18 Mac yang lepas.


Bersama, kita mampu mengharunginya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Artikel Oleh , Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Okla nanti kak lily kongsikan lagi artikel ilmiah ni lagi. Terima kasih kepada team Hello Doktor untuk perkongsian ni ek

#HelloHealthGroup
#hellodoktor
#HelloHealthCoronaVirus




2 comments:

Korang mesti nak komen kan? Hah cepat2 tulis kan sini okeh!