Hi Korang,
Nak citer pasal program terbaru di Astro iaitu ‘eBu BabyPedia’
Astro hari ini memperkenalkan sebuah program baharu yang menyasarkan golongan ibu dan bapa muda. Sebagai ibu bapa baharu, ramai yang mendapat pelbagai petua dan tradisi sehingga tertanya-tanya yang mana harus diikuti. Jadi eBu Babypedia, sebuah siri terbaharu di bawah payung eBu bakal menampilkan pasangan selebriti popular Lisa Surihani dan Yusry Abdul Halim yang akan mengupas kebenaran yang terselindung di sebalik tradisi yang terdapat di seluruh dunia.
Naib Presiden Perniagaan GenNext Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin berkata, “Kami di Astro sentiasa berusaha untuk memberikan kandungan yang terbaik buat penonton kami. Oleh yang demikian kamipun mewujudkan eBu. Perjalanan melangkah ke dunia keibubapaan merupakan fasa yang mengembirakan serta mencabar. eBu rata-rata memberi penekanan dan pendedahan terhadap kemahiran keibubapaan, tip-tip berguna serta informasi penting yang boleh dijadikan rujukan dalam persediaan mereka untuk menerokai fasa baharu ini.
eBu Babypedia menghimpunkan pelbagai petua serata dunia serta amalan turun temurun dalam membantu ibubapa untuk menjaga cahaya mata mereka dengan sempurna. Antaranya termasuklah petua kehamilan masyarakat Melayu, Cina, India, Afrika, tip-tip kesuburan, pantang larang serta adat istiadat tradisional dan sebagainya. eBu Babypedia juga menampilkan pengacara dan pelawak terkenal tanah air, Jihan Muse dan Bell Ngasri yang pasti akan mencuit hati penonton dengan telatah dan gelagat mereka melakonkan semula isu-isu yang dipaparkan secara santai dan cukup bersahaja. eBu Babypedia yang akan mula bersiaran pada setiap hari Rabu bermula 23 Mac 2016, jam 9.00 malam ini bakal menemui penonton selama 13 minggu dengan setiap episod mengenengahkan topik-topik yang kehamilan yang menarik.
Tambah Yasmin lagi, “eBu Babypedia merupakan satu program yang cukup istimewa kerana kami menyentuh pelbagai pantang larang serta tip-tip berguna yang boleh dimanfaatkan ibu-ibu mengandung di luar sana. Kami mendapatkan pandangan dari pakar serta membuat penyelidikan yang teliti demi memastikan kandungan eBu Babypedia tepat daripada segi faktanya dan sahih agar boleh dijadikan rujukan untuk ibu-ibu muda”.
Sementara itu segmen eBu, yang menampilkan program berbentuk keibubapaan bakal menyiarkan pelbagai variasi rancangan yang bukan sahaja menghiburkan para penonton malah memberi pendedahan ilmiah berkenaan tip-tip, informasi dan hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan. eBu merupakan dedikasi khas Astro untuk ibu-ibu di luar sana terutamanya dalam perjalanan mereka melangkah ke dunia keibubapaan, sebuah fasa yang bukan sahaja mengembirakan tetapi mencabar diri mereka. eBu bukanlah sekadar hiburan semata-mata, ianya bertindak sebagai wahana penting yang boleh dijadikan rujukan dalam persediaan mereka untuk menerokai fasa baharu ini. Segmen eBu akan bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam di Astro Ria, saluran 104 dan Astro Ria HD, saluran 123. Sebelum ini, siri Papa Hero Saya musim kedua dan Untuk Dia telah pun terdahulu mengisi slot eBu.
eBu bukan sahaja bersiaran di televisyen tetapi pendekatan 360 darjah slot ini juga akan menggabungkan integrasi pelbagai lagi platform lain yang sedia ada, selaras dengan hasrat eBu menjadi ‘one stop parenting center’ di Malaysia. Radio Sinar FM menerusi penyampai popularnya, Abby Fana telah pun memulakan segmen eBu di radio tersebut pada jam 11 pagi setiap hari Rabu di mana beliau mengutarakan pelbagai topik menarik berkaitan motivasi dan pengalaman bergelar seorang ibu serta berkongsi pandangan bersama pendengarnya berkenaan isu-isu tersebut. Pendengar setia Sinar FM juga boleh mendapatkan inspirasi, petua dan tips keibubapaan menerusi segmen istimewa ini.
Istimewanya lagi, sebuah aplikasi khas eBu telah dihasilkan oleh pihak Astro di mana aplikasi ini memudahkan ibu-ibu mencatat perkembangan aktiviti si manja sama ada daripada segi penyusuan, pembesaran fizikal serta perbelanjaan yang telah digunakan. Ibu-ibu yang hamil juga boleh mancatat perkembangan bayi dalam kandungan.
Fungsi “Scrap Book” pula membolehkan para ibu merakamkan gambar-gambar si manja mereka dari sehari ke sehari dan mengabadikannya dalam bentuk persembahan multimedia yang boleh disunting sendiri menerusi aplikasi berkenaan. Aplikasi menarik ini juga adalah aplikasi keibubapaan dan kehamilan dalam versi Bahasa Melayu yang pertama di Malaysia. Setiap detik ibu bapa bersama si manja kini boleh dirakamkan dengan menggunakan aplikasi eBu.
Selain itu, laman sesawang eBu yang akan dilancarkan tidak lama lagi bakal menyaksikan kerjasama eBu dengan majalah keibubapaan terbitan Kumpulan Media Karangkraf yang cukup terkenal di Malaysia, Pa&Ma. Kandungan dan artikel terpilih daripada majalah itu akan ditransformasikan menjadi infografik yang cukup menarik dan akan dimuatnaik ke laman sesawang tersebut yang boleh diakses secara percuma. eBu juga tidak ketinggalan untuk turut sama berinteraksi di media sosial menerusi akaun Facebook, MyeBu dan Instagramnya, @my.eBu . Untuk maklumat lanjut mengenai eBu, layari www.eBu.com.my.
Jangan lupa, saksikan program eBu Babypedia yang akan bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam di Astro Ria, saluran 104 dan Astro Ria HD, saluran 123.
No comments:
Post a Comment
Korang mesti nak komen kan? Hah cepat2 tulis kan sini okeh!