Hi Korang,
Kepada adik-adik peminat setia rancangan Oh My English ni, ada beri baik untuk korang tau..
Oh My English! Class of 2015 kembali menemui penonton mulai 1 November ini dengan jalan cerita yang lebih menarik berkisarkan persahabatan, tahun akhir persekolahan dan juga masa depan. Dengan mengekalkan misi menjadikan pembelajaran Bahasa Inggeris lebih menyeronokkan, siri popular ini membariskan bintang-bintang ternama untuk berganding dengan watak-watak kesayangan kelas 5 Merah. Episod baharu Oh My English ini akan disiarkan di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135), setiap Ahad, 6.30 petang bermula 1 November 2015
Oh My English Class of 2015 kali ini mengangkat tema persahabatan, tahun akhir persekolahan dan masa depan sebagai tarikan utama. Persahabatan yang kukuh dapat dilihat menerusi ikatan yang dibina antara pelajar kelas 5 Merah yang juga merupakan pelajar tahun akhir sekolah tersebut. Kini sudah tiba masanya mereka memikirkan perancangan masa depan masing-masing. Apabila mereka meninggalkan SMK Ayer Dalam sesudah tamat sesi persekolahan, kenangan manis dan memori bersama sahabat-sahabat lain pastinya menjadi ingatan terindah ketika mereka meneruskan kehidupan.
Episod baharu bermula dengan kisah pelajar-pelajar 5 Merah merindui cikgu Bahasa Inggeris kegemaran mereka, Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) yang memilih untuk terus mengajar di SK Dalam Ayer yang terletak di sebuah kawasan terpencil di Malaysia. Bukan itu sahaja, , malah See Yew Soon (Roax Tan), Mazlee (Zhafir Muzani), Anusha (Kaameshaa a/p Ravindran), Jojie (Nadiya Nisaa), Zack (Juzzthin) dan Taylor (Juliana Evans) kini terpaksa mempelajari Bahasa Inggeris dengan guru Bahasa Inggeris baharu, Miss Nurul (Cristina Suzanne). Ketika asyik menyesuaikan diri dengan cabaran baharu, mereka juga berdepan dengan dilema membuat keputusan memilih haluan karier masing-masing.
Sementara itu, guru-guru di SMK Ayer Dalam juga berhadapan dengan cabaran dan perjalanan penuh emosi mereka yang tersendiri. Apakah perasaan Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) apabila mengetahui Mr Middleton akan terus mengajar di SK Dalam Ayer? Bolehkah Cikgu Bedah (Sherry Al-Hadad) menyesuaikan diri dengan Sarjan (Rahim R2) selepas perkahwinan mereka? Benarkah Miss Soo dilamun cinta dengan kehadiran jejaka tampan lagi budiman lakonan Shaheizy Sam yang buat pertama kalinya tampil dalam Oh My English
Selain Shaheizy Sam, bintang undangan lain termasuklah atlet gimnastik Malaysia yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA, Farah Ann Abdul Hadi dan juga pemain bola sepak Tottenham Hotspur, Eric Dier. Supermodel antarabangsa kelahiran Malaysia, Amber Chia juga akan memperagakan catwalk terbaiknya di SMK Ayer Dalam. Tambah menarik lagi, Sasha Saidin akan membuat kemunculan istimewa sebagai kakak Mr Middleton yang sanggup datang dari United Kingdom untuk melawatnya!
Peminat rancangan ini dijemput bersama-sama meraikan persahabatan dalam Oh My English musim ini melalui kempen istimewa ‘Friendship Awards’. Mereka boleh menghantar foto yang diambil bersama sahabat karib masing-masing untuk memenangi kit persahabatan Oh My English yang cukup eksklusif. Kempen ini bertujuan untuk membuka peluang para peminat Oh My English menyatakan penghargaan mereka kepada sahabat masing-masing. Maklumat lanjut berkenaan kempen ini boleh didapati melalui https://www.facebook.com/OhMyEnglish
Sharifah Noraidah, Penolong Naib Presiden Astro Tutor TV berkata, “ Dalam tempoh beberapa tahun ini merupakan satu perjalanan yang hebat buat keluarga Oh My English! Kami sentiasa fokus untuk menjadikan pembelajaran bahasa Inggeris lebih menarik dan menyeronokkan dengan menyuntik elemen-elemen pembelajaran yang boleh menggalakkan para penonton bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan lebih baik. Di samping bersama-sama menambah pengetahuan, peminat dan pengikut baru Oh My English akan turut merasai emosi yang dipaparkan melalui persahabatan di antara pelajar kelas 5 Merah, dalam perjalanan suka dan duka mereka di tahun terakhir persekolahan, sebelum menentukan apa yang ingin dilakukan untuk kerjaya masa hadapan masing-masing.”
Tambahnya lagi, ‘Kami terharu dengan sokongan dan maklum balas hebat yang diterima daripada rakyat Malaysia terhadap Oh My English! Kami telah merekodkan lebh 8 juta tontonan sejak musim pertama. Di rangkaian media sosial, Oh My English telah mencatatkan 18.9 juta tontonan YouTube, 641 ribu peminat di Facebook, 98 ribu pengikut di Twitter dan 44 ribu di Instagram. Awal tahun ini, Oh My English telah mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi pencalonan dalam kategori ‘Children & Young People’, di Anugerah Emmy Antarabangsa 2015 yang merupakan majlis anugerah paling berprestij di dunia. Oh My English terus menawan hati penonton dan kami amat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan, pihak media, ibu bapa, kanak-kanak dan tak lupa peminat setia Oh MY English.”
Seperti lazimnya, maraton episod Oh My English! Class of 2015 akan ditayangkan selama 2 hari sebelum bermulanya episod baharu siri ini pada 1 November nanti. Sudah menjadi kebiasaan episod-episod ini ditayangkan untuk memberi peluang peminat menonton kembali 10 episod pertama yang telah pun bersiaran awal tahun ini. Interaksi secara langsung di Twitter bersama peminat dan penonton Oh My English akan turut berlangsung sambil mereka semua menonton marathon ini. Marathon ini akan bermula secara eksklusif, bermula jam 10 pagi, 31 Oktober ini, hanya di Astro TVIQ, saluran 610.
Sebanyak 10 episod bakal memeriahkan musim terbaru Oh My English! Musim terbaharu Oh My English ini menjanjikan lebih banyak keriangan, kejutan dan kaedah baharu untuk memperkasa penguasaan bahasa Inggeris anda. Episod baharu Oh My English! Class of 2015 akan bersiaran secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135), setiap Ahad, 6.30 petang, mulai 1 November 2015. Untuk melanggan Astro, hubungi kami di talian 03-95433838 ataupun layari www.astro.com.my.
alaaa.. kat rumah tak ada astro :(
ReplyDeleteaida memang suruh anak2 tgk o.m.e ni.
ReplyDeletejust lately ni aida tgk si zain tu da berketak-ketak, jadi geli la plak nak tgk!