Thursday, April 10, 2025

Dododots Lancar Koleksi Istimewa Powerpuff Girls!

Hi Korang,

Siapa je yang tak suke dengan kecomelan Buttercup, Bubbles & Blossom?


Kalau korang peminat The Powerpuff Girls dan juga tengah cari cara comel untuk jaga kulit, berita ni pasti buat korang teruja! Dododots, jenama "pimple patch" dari Malaysia, telah melancarkan koleksi edisi terhad bertemakan Powerpuff Girls pada hujung Mac 2025.


Koleksi ni akan dijual dalam bentuk "blind pack" – maksudnya, korang tak tahu design mana yang korang dapat sampai korang buka pek tu. Menarik kan? Setiap design diinspirasikan daripada watak-watak ikonik Powerpuff Girls: Blossom, Bubbles dan Buttercup.


Berikut adalah pilihan design yang tersedia:

❤️ Awesome Blossom
Warna merah menyala dengan sentuhan merah jambu, khas untuk si pemimpin berani.

💙 No Trouble Bubbles
Warna pastel biru dan kuning yang ceria, sesuai dengan si manis yang periang.

💚 What’s Up, Buttercup?
Gabungan hitam dan hijau limau yang garang, ideal untuk tutup jerawat dengan penuh keyakinan.

🌈 Sugar, Spice and Everything Nice
Pek kejutan khas yang pasti buat anda teringat zaman kanak-kanak!




Patch edisi Powerpuff Girls ni sudah mula dijual pada 25 Mac 2025 melalui laman web Dododots, platform e-dagang, dan di semua 600 cawangan Guardian di Semenanjung Malaysia dan Singapura. Setiap pek dijual pada harga RM18 atau SGD$9 – selagi stok masih ada!

Kalau korang suka Powerpuff Girls dan nak rawat jerawat dengan cara yang lebih fun, koleksi ni memang wajib cuba!



Sedikit info tentang Dododots
ia adalah jenama tempatan yang diasaskan semasa pandemik oleh dua rakan yang pernah berdepan masalah jerawat. Dengan ilmu dalam bioteknologi dan mikrobiologi, mereka hasilkan patch jerawat yang bukan je berfungsi, tapi juga penuh gaya dan warna-warni! Patch ini diperbuat daripada 100% bahan hydrocolloid dan diiktiraf FDA, ISO serta CE.

Selain online store, Dododots juga ada mesin layan diri di lokasi popular seperti Sunway Pyramid, MyTOWN KL, Paradigm Mall JB, dan Plaza Singapura. Mereka juga bekerjasama dengan Guardian dan Miniso untuk memudahkan peminat Dododots untuk mendapatkan koleksi mereka.

Wednesday, April 9, 2025

Rakyat MALAYSIA Elak Sehingga 6 Juta Kalori Melalui Kempen Raya SCOTT

Hi Korang,

Susulan daripada inisiatif Scott yang bertujuan untuk menggalakkan amalan pemakanan yang lebih sihat, jenama tisu dapur itu mendedahkan bahawa kempen ‘Kalori Kurang, Raya Lebih Riang’ berjaya membantu pengunjung bazar Ramadan mengurangkan pengambilan lebihan kalori sehingga 6 juta.


Scott telah mengedarkan sebanyak 49,040 helai Scott Calorie Absorb Kitchen Towels di tiga bazar Ramadan utama iaitu Bazar Ramadan Stadium Shah Alam, Bazar Ramadan USJ 4 dan Bazar Ramadan Dato Keramat AU1. Setiap helaian tisu ini diuji dan terbukti mampu menyerap sehingga 127 kcal, bersamaan dengan lebih daripada satu sudu teh minyak, sekaligus menghapuskan sehingga kira-kira 6,228,080 kcal daripada makanan popular seperti keropok lekor, cucur udang dan ayam goreng.

Scott turut bekerjasama secara langsung dengan peniaga bazar Ramadan yang menggunakan Scott Calorie Absorb Kitchen Towels dalam penyediaan dan penyajian juadah mereka. Sebelum dihidangkan kepada pelanggan, peniaga akan menggunakan tisu dapur Scott tersebut untuk menyerap lebihan minyak pada hidangan yang baru dimasak mereka. Ini membolehkan keaslian dan keenakan juadah Ramadan kekal dan pada masa yang sama mengurangkan kandungan kalori dengan ketara.

“Angka ini menunjukkan bahawa perubahan kecil tetapi praktikal dalam cara kita menikmati makanan boleh membawa impak yang besar secara kolektif,” jelas Yap Li Vern, Pengurus Pemasaran Scott. “Kempen ‘Kalori Kurang, Raya Lebih Riang’ memperkenalkan cara mudah untuk memperbaik profil pemakanan hidangan tanpa perlu mengubah secara drastik tabiat memasak atau makan.”

Inisiatif Scott ini bertindak sebagai respons kepada kebimbangan nasional mengenai kadar obesiti yang semakin meningkat dimana Malaysia mencatat kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara. Dengan mentransformasikan tisu dapur sebagai alat praktikal untuk mengurangkan pengambilan minyak, Scott menjadi perintis dalam mengekalkan warisan kulinari Malaysia dengan menawarkan kaedah yang berkesan kepada masyarakat untuk menikmati makanan secara lebih sihat.


Kempen ini tidak hanya tertumpu kepada bazar Ramadan. Sempena bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM60 dalam satu resit bagi mana-mana produk yang mengambil bahagian dalam Promosi Raya Kimberly-Clark akan menerima set pinggan pencuci mulut seramik bertingkat dua yang eksklusif. 

Sementara itu, pelanggan yang berbelanja sekurang-kurangnya RM20 dalam satu resit layak menyertai peraduan untuk memenangi Jongkong Emas bernilai RM50,000. Promosi ini akan berakhir pada 15 April 2025.

Tuesday, April 8, 2025

MPOB DAN SUMISAUJANA BEKERJASAMA UNTUK MENGKOMERSIALKAN POLIOL BERASASKAN SAWIT UNTUK KEGUNAAN INDUSTRI GLOBAL

Hi Semua,

SumiSaujana Group Berhad (“SumiSaujana” atau “Syarikat”) dan anak syarikatnya (“Kumpulan”), merupakan pengeluar bahan kimia khusus untuk industri minyak dan gas (“O&G”), hari ini memeterai kerjasama strategik dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (“MPOB”) melalui pemeteraian Perjanjian Pelesenan dan Pengkomersialan. Perjanjian ini bertujuan untuk memanfaatkan teknologi yang dibangunkan oleh MPOB (“Teknologi”) bagi pengilangan dan pengkomersialan bahan perantara berasaskan sawit, poliol berasaskan sawit dan poliol poliester berasaskan bio (“Produk”). 

Dari kiri ke kanan : 

1. Dr Ramle Moslim, Deputy Director General R&D, Malaysian Palm Oil Board

2. YBhg Datuk Dr Ahmad Parveez Hj Ghulam Kadir , Director General, Malaysian Palm Oil Board

3. Mr. Toh Chee Seng 陀志成, Executive Deputy Chairman, Sumisaujana Group Berhad

4. Mr. Norazlam bin Norbi, Executive Director/ Chief Executive Officer, Sumisaujana Group Berhad

5. Mr. Ramli Bin Mohamad, Executive Director/ Chief Operating Officer, Sumisaujana Group Berhad


Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Hotel Marriott Putrajaya ini menandakan satu langkah penting dalam usaha Malaysia untuk memperluas aplikasi industri produk berasaskan sawit dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam pasaran kimia hijau global.

Teknologi yang dilesenkan oleh MPOB dibangunkan melalui penyelidikan yang menyeluruh, termasuk bagi penghasilan bahan perantara berasaskan sawit, poliol, dan poliol poliester bio yang menawarkan produk boleh diperbaharui, alternatif kepada bahan kimia berasaskan petroleum. Sebatian ini digunakan secara meluas dalam penghasilan poliuretana, yang menyumbang kepada pelbagai sektor termasuk automotif, pembinaan, pelekat, salutan, dan barangan pengguna. Pasaran poliuretana global diunjurkan mencecah USD86.28 bilion pada tahun 2024, manakala pasaran bahan perantara berasaskan sawit dianggarkan bernilai USD17.0 bilion pada tahun 2022 – sekali gus menyerlahkan potensi pasaran yang besar.

Kerjasama ini mencerminkan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB yang lebih luas untuk meningkatkan nilai komersial minyak sawit melalui aplikasi hiliran bernilai tinggi. Kerjasama ini juga menyokong Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta Malaysia 2030 (“PIKAS 2030”) yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab global bagi teknologi berasaskan bio yang mampan.

Pengarah Eksekutif/ Ketua Pegawai Eksekutif Sumisaujana, Encik Norazlam Bin Norbi, berkata, “Perjanjian dengan MPOB ini adalah langkah bermakna dalam strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat. Kami melihat nilai yang besar dalam mengintegrasikan inovasi berasaskan sawit yang mampan ke dalam portfolio produk kami, membolehkan menembusi pasaran baharu sambil kekal seiring dengan peralihan global ke arah pembuatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Kami berbangga menjadi sebahagian dalam mengkomersialkan teknologi tempatan untuk impak global.”

Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, Ketua Pengarah MPOB berkata, “Kerjasama ini bukan hanya melibatkan pemindahan teknologi, ia mengukuhkan peranan sinergi awam-swasta dalam pembangunan industri sawit yang mampan. Kerjasama ini juga membuka peluang kepada penggiat industri untuk meneroka potensi teknologi inovatif MPOB dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kimia yang lebih mampan serta berdaya saing di peringkat global. Dengan memperluaskan potensi hiliran minyak sawit, kita bukan sahaja meningkatkan rantaian nilainya tetapi juga mempromosikan peranan Malaysia dalam pembuatan yang prihatin terhadap iklim.”

Kerjasama ini bukan sahaja mempercepatkan penggunaan komersial poliol berasaskan sawit, malah memperkukuh usaha negara dalam mentransformasikan industri menerusi kimia hijau. Ia membuktikan potensi minyak sawit melangkaui kegunaan dalam sektor makanan dan menunjukkan bagaimana inovasi, apabila digandingkan dengan rakan industri yang betul, boleh membawa kepada penciptaan nilai ekonomi dan alam sekitar yang sebenar.

Dengan aspirasi bersama dalam inovasi, kemampanan, dan kemajuan negara, MPOB dan SumiSaujana bersedia untuk membawa teknologi berasaskan sawit Malaysia ke sempadan industri baharu, memastikan ia bukan sahaja digunakan di dalam negara, malah diiktiraf dan diguna pakai di peringkat global.