Saturday, March 22, 2025

MSB Global Group Berhad Melancarkan Prospektus Bagi Meraih RM26.60 Juta Daripada Penyenaraian Pasaran ACE

Salam Semua,

MSB Global Group Berhad ("MSB Global" atau "Kumpulan"), pemain terkemuka dalam industri alat ganti dan komponen automotif selepas pasaran Malaysia, dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran prospektusnya untuk Tawaran Awam Permulaan (“IPO”) bersempena dengan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”). 


Ini menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan korporat Syarikat, mengukuhkan komitmennya untuk memajukan industri alat ganti dan komponen automotif selepas pasaran Malaysia.


MSB Global ialah pengedar eksklusif alat ganti dan komponen automotif berjenama GSP di Malaysia, membekalkan rangkaian komprehensif produk selepas pasaran berkualiti tinggi. Ini termasuk aci pemacu, pemasangan hab roda, bahagian penggantungan, rak stereng dan banyak lagi, memastikan ketahanan dan kebolehpercayaan untuk pelanggan. Pada masa yang sama, Kumpulan telah mengembangkan jejaknya dalam segmen pelincir dan cecair automotif melalui jenama dalamannya, FK FUKUOKA dan ZR.ZURIC, menawarkan minyak enjin, cecair transmisi automotif, minyak gear, bendalir brek dan cecair automotif penting lain untuk memenuhi pelbagai keperluan pasaran.

IPO itu bertujuan untuk mengumpul RM26.60 juta melalui terbitan 133.00 juta saham biasa baharu pada harga runcit RM0.20 sesaham.


Hasil daripada IPO akan diperuntukkan seperti berikut:
● RM4.97 juta untuk pembinaan semula kilang dan gudang baharu bagi menyokong pengeluaran pelincir dan cecair.
● RM6.00 juta untuk pembelian mesin, peralatan dan bahan mentah untuk mewujudkan barisan pengeluaran campuran dan isian dan kemasan.
● RM0.84 juta untuk menyokong pelancaran dan pengedaran pengecas kenderaan elektrik (“EV”)
● RM5.50 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank.
● RM4.79 juta untuk modal kerja am.
● RM4.50 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.


"Pelancaran prospektus kami menandakan satu babak penting untuk MSB Global. IPO ini akan membolehkan kami mengukuhkan kedudukan kami dalam industri pasaran selepas automotif sambil membolehkan kami mempelbagaikan dan mengembangkan portfolio produk kami. Daripada pengeluaran pelincir kepada pengecas EV, dana yang dikumpul akan menyokong visi kami untuk menghasilkan penyelesaian yang berkualiti tinggi kepada pelanggan kami. untuk pemegang saham kami dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor automotif Malaysia." kata Datuk Ow Kee Foo, Pengarah Urusan MSB Global

"Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan IPO MSB Global. Dengan kehadiran pasarannya yang kukuh, jenama yang mantap dan strategi yang berpandangan ke hadapan, Kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang pertumbuhan dalam industri alat ganti dan komponen selepas pasaran automotif. IPO ini menandakan pencapaian strategik MSB Global yang akan meningkatkan lagi kejayaan operasi MSB" sedikit ucapan dari Datuk Bill Tan, Pengarah Urusan (Kewangan Korporat) dan Pengarah Eksekutif M & A Securities


Industri alat ganti dan komponen selepas pasaran automotif di Malaysia telah mengalami pengembangan yang mantap, didorong oleh peningkatan populasi kenderaan dan peningkatan permintaan pengguna untuk alat ganti yang boleh dipercayai dan pelincir berprestasi tinggi.

Menurut laporan Penyelidikan Pasaran Bebas (“IMR”), jualan borong dan runcit bahagian dan komponen automotif Malaysia meningkat sebanyak 17.3% pada 2023, mencecah RM54.39 bilion. Sektor ini diunjurkan berkembang pada CAGR sebanyak 9.0%, melepasi RM83.62 bilion menjelang 2028.


Dengan asas yang kukuh dalam industri dan rangkaian pengedaran yang mantap, MSB Global bersedia untuk memanfaatkan pertumbuhan ini dengan meningkatkan penawaran produknya dan mengukuhkan kedudukan pasarannya dalam segmen pelincir dan cecair automotif.

M & A Securities Sdn Bhd. ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO ini.


Thursday, March 20, 2025

Memperkukuh Kesejahteraan Komuniti: Inisiatif Ramadan Lifebuoy Tahun Ke-3 Berturut-turut untuk Keluarga B40

Hi Korang,

Lifebuoy, jenama sabun perlindungan kuman terkemuka di dunia, dan Watsons Malaysia bekerjasama dengan KECHARA Soup Kitchen bagi menganjurkan inisiatif komuniti yang tulus ikhlas sempena Ramadan. Acara penuh bermakna ini bertujuan menyantuni keluarga B40 yang kurang bernasib baik, mencerminkan semangat sebenar Ramadan – perpaduan, belas kasihan dan keprihatinan.


Memahami cabaran yang dihadapi oleh keluarga kurang berkemampuan sepanjang Ramadan, inisiatif ini diharapkan dapat membantu meringankan beban mereka serta memastikan mereka dapat menyambut Ramadan dengan gembira. Selain menyediakan barangan keperluan asas, acara ini turut menekankan kepentingan pendidikan kebersihan, mencerminkan komitmen Lifebuoy terhadap kesihatan dan kesejahteraan orang ramai.

Memperluaskan Komitmen Lifebuoy terhadap Kesejahteraan Komuniti

Sepanjang dua tahun yang lalu, Lifebuoy telah terus memperluaskan usahanya untuk menyokong komuniti yang memerlukan sepanjang Ramadan. Komitmen ini telah membolehkan jenama tersebut menjangkau hampir 2,500 individu di seluruh Malaysia dengan keperluan kebersihan dan barangan harian asas. Melalui inisiatif yang berterusan, Lifebuoy kekal berdedikasi dalam memupuk semangat kemurahan hati, keprihatinan, dan perpaduan, memastikan lebih ramai individu mendapat manfaat daripada kesejahteraan yang lebih baik sepanjang bulan yang mulia ini.

“Selama 130 tahun, Lifebuoy telah komited dalam mempromosikan pendidikan kebersihan, dengan kepercayaan bahawa amalan mencuci tangan yang betul dapat menyelamatkan nyawa. Misi kami bukan sekadar menghasilkan produk kebersihan—ia adalah tentang melindungi nyawa melalui kesedaran, pendidikan, dan akses kepada kebersihan asas. Di Malaysia, program kami telah memberi manfaat kepada lebih 851,000 kanak-kanak dan keluarga, dengan sasaran untuk mencapai 1 juta menjelang 2025. Kebersihan tangan bukan sekadar tabiat, tetapi amalan penting untuk melindungi generasi akan datang,” kata Ketua Pemasaran, Perancangan Strategik & Pelanggan Unilever (MY/SG), Farhana Mohd Nasir.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, Lifebuoy turut mengagihkan baucar kepada keluarga bagi membolehkan mereka membeli kelengkapan Raya pilihan sendiri, memastikan mereka dapat menyambut Ramadan dan Syawal dengan penuh rasa syukur dan gembira. Selain itu, beberapa reruai interaktif dan sudut kanak-kanak turut disediakan bagi mendidik keluarga mengenai kepentingan kebersihan, mengukuhkan komitmen Lifebuoy terhadap usaha membina komuniti lebih sihat.

Memupuk Perpaduan dan Kebersihan Menerusi Pendidikan dan Keterlibatan

Acara ini menampilkan sesi Buka Puasa yang diperkaya dengan elemen tradisi Raya, disertai dengan aktiviti pendidikan, termasuk demonstrasi secara langsung oleh Dr. Tiara mengenai 7 Langkah Mencuci Tangan serta sketsa komedi bertemakan kebersihan oleh Nizam Jentik Jentik, menggabungkan humor dengan pengajaran berharga mengenai kebersihan.

Sementara itu, gerai-gerai interaktif yang disediakan memberi peluang kepada keluarga menerokai amalan kebersihan terbaik, memantapkan tabiat sepanjang hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan menyeluruh. Pek penjagaan yang mengandungi produk kebersihan dan barangan keperluan harian turut diagihkan bagi memastikan keluarga berkenaan dapat sentiasa menjaga kebersihan dengan baik.

“Kechara telah lama komited dalam membantu keluarga B40, serta golongan miskin di bandar dan luar bandar. Kami amat menghargai inisiatif luar biasa Lifebuoy serta komitmen mereka terhadap tanggungjawab sosial. Dedikasi bersama ini, terutamanya dalam bulan suci Ramadan—satu masa untuk berkongsi dan menunjukkan keprihatinan—adalah sesuatu yang kami hargai dengan mendalam,” ujar Eksekutif Pemasaran Kechara Soup Kitchen, Selladurai Perakasam.

Mencipta Impak Berkekalan

Kesemua elemen ini bergabung untuk mewujudkan sebuah program holistik yang mencerminkan komitmen Lifebuoy terhadap usaha mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di bawah 12 tahun, yang menjadi sasaran utama jenama ini untuk program pendidikan kebersihannya. Inisiatif ini bukan sahaja memenuhi keperluan mendesak, tetapi turut memberikan impak berkekalan dengan membekalkan ilmu pengetahuan serta sumber kepada keluarga agar dapat terus mengamalkan amalan kebersihan yang lebih baik.

Dengan penekanan khusus terhadap keterlibatan komuniti, Lifebuoy terus memperjuangkan kesedaran mengenai kebersihan dan menyokong komuniti yang kurang bernasib baik, memastikan lebih ramai lagi keluarga menerima bantuan yang diperlukan untuk menjalani kehidupan lebih baik selepas Ramadan.

Menyokong Kebersihan untuk Malaysia yang Lebih Selamat dan Lebih Sihat

Hampir sedekad, Unilever melalui Lifebuoy telah mempromosikan amalan mencuci tangan dengan sabun di Malaysia, dengan sasaran untuk mencapai 1 juta pelajar menjelang 2025. Melalui program pendidikan kebersihan dan sumbangan produk, Lifebuoy terus melaksanakan misinya untuk memupuk kehidupan yang lebih sihat serta menyokong kejayaan akademik.

Sejak pelancaran program bantuan ini di Malaysia, Lifebuoy telah berjaya mendidik ramai kanak-kanak tentang kepentingan kebersihan, memupuk tabiat mencuci tangan yang baik, dan membina budaya kebersihan. Jenama ini akan terus memperluaskan usahanya, bagi menerapkan amalan ini dalam kalangan lebih ramai lagi pelajar pada tahun-tahun akan datang.


Wednesday, March 19, 2025

Jangan Jadikan Pembaziran ‘Pesen’ di Bazar Ramadan

Hi Korang,

MYSaveFood mengambil langkah proaktif melancarkan kempen anti-pembaziran makanan #BazirRamadan bagi meningkatkan kesedaran tentang isu pembaziran makanan yang semakin membimbangkan sepanjang bulan Ramadan.


Kempen ini mengetengahkan idea kreatif persembahan fesyen trashwalk di Bazar Ramadan Pantai Dalam dengan memperagakan sut yang direka khas daripada sisa makanan terbuang sebagai simbolik kepada makanan yang dibazirkan di bazar Ramadan dan mempertontonkan kesan buruk tabiat membazir.

Menurut data tahun 2024, lebih daripada 60,000 kilogram makanan tidak terjual di bazar Ramadan. Jumlah kuantiti ini cukup untuk mengenyangkan 120,000 orang iaitu bersamaan dengan purata 500 gram satu hidangan setiap orang.



Realiti ini mencerminkan budaya atau ‘pesen’ berbelanja berlebihan dalam bulan Ramadan yang sudah dinormalisasi dan menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Perkataan ‘pesen’ yang berasal daripada slanga tempatan merujuk kepada gaya, sikap, dan gelagat manusia. Bagi konteks Ramadan, ia menggambarkan tabiat membeli berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran yang ketara.

“Pembaziran makanan pada bulan Ramadan bukan isu baharu. Ramai yang sedar, tetapi perubahan masih perlahan. Sebab itu kami tampil dengan pendekatan kreatif ini untuk membuka mata masyarakat,” kata Timbalan Pengarah MYSaveFood Ainul A'syara Binti Kamal.

Sejak penubuhannya 9 tahun lalu, MYSaveFood telah bekerjasama dengan peniaga bazar di seluruh negara untuk mengurangkan pembaziran makanan.


Pada 16 Mac 2025, MYSaveFood berjaya menyelamatkan 46,208 kilogram makanan yang tidak terjual daripada 108 bazar di seluruh Malaysia yang bersamaan dengan nilai pembaziran sebanyak RM559,199.00. Makanan yang diselamatkan ini diagihkan kepada golongan yang memerlukan, memastikan makanan tidak terbuang begitu sahaja.


Kempen #BazirRamadan bukan sekadar satu peringatan tetapi satu seruan untuk kita semua mengubah sikap dan menghargai setiap rezeki yang ada. Jangan jadikan pembaziran satu ‘pesen’ di bulan yang penuh keberkatan ini.

Di samping itu, MYSaveFood juga membuka ruang dan mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai pasukan sukarelawan. Bersama-samalah kita, baik pembeli mahupun penjual membawa arus pembaharuan dan tidak meneruskan 'pesen' pembaziran.

Untuk info lebih lanjut, layari www.bazirramadan.com