Tuesday, June 4, 2024

Nestlé Malaysia Membawa Kegembiraan kepada Kumpulan Pertama Pemenang Mingguan Kempen 'Gaji Seumur Hidup’

Hi Korang,

Impian kini menjadi kenyataan bagi rakyat Malaysia yang menyertai kempen Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup. Nestlé Malaysia telah mengumumkan senarai pertama pemenang mingguan diiringi hadiah wang tunai berjumlah RM3,500 untuk setiap pemenang. Seperti peserta-peserta lain yang turut serta dalam kempen tersebut, mereka juga berpeluang untuk menjadi salah seorang daripada sebelas finalis yang akan mara ke Pusingan Akhir, di mana dua daripada mereka akan memperoleh gaji bulanan RM3,500 untuk seumur hidup, dan sembilan lagi finalis akan mendapat gaji RM3,500 sebulan selama setahun.


Kempen ini berlangsung sehingga 30 Jun 2024, di mana pengguna hanya perlu menghantar bukti pembelian produk Nestlé dengan jumlah minimum RM20. Peluang untuk memenangi pelbagai hadiah harian dan mingguan, serta kemungkinan untuk menyertai acara Pusingan Akhir, akan menjadi lebih tinggi dengan lebih banyak penyertaan. Di samping merealisasikan impian para pemenang bertuah, menerusi kempen ini, Nestlé akan turut bekerjasama dengan 17 badan amal yang akan mengambil bahagian dalam acara Pusingan Akhir bersama para peserta, seperti pada edisi pertama 2020.

Berkongsi reaksi yang menyentuh hati dan keseronokan dari kumpulan pertama pemenang mingguan:

Petikan daripada pemenang-pemenang mingguan:


Sri Etty Wachjuningsih, suri rumah berusia 55 tahun dari Sandakan, Sabah, berkongsi, “Saya tidak pernah menjangka untuk menjadi pemenang peraduan ini. Pada mulanya, saya hanya mencuba nasib selepas diberi galakan oleh seorang pekerja di pasaraya yang berkata, 'Kakak, cubalah, mana tahu kali ini kamu menang.' Saya membeli produk yang biasa saya gunakan seperti MILO, MAGGI Kari, dan NESTUM. Tetapi, kali ini saya membeli MILO lebih daripada kebiasaannya untuk diberikan sebagai hadiah. Saya sangat bersyukur apabila menerima berita bahawa saya adalah salah seorang pemenang mingguan, walaupun ia masih terasa seperti mimpi. Pengalaman ini membuktikan bahawa tidak rugi kalau kita mencuba.”


Siti Nurul Aida Binti Mohd Sapawi, pemilik perniagaan kecil dari Terengganu, 32 tahun, berkongsi, “Saya sangat teruja dan gembira untuk menyertai peraduan ini. Saya menghantar banyak penyertaan, hasil daripada pembelian produk seperti NESCAFÉ, MILO, NESTUM, KOKO KRUNCH dan Bijirin Sarapan Nestlé yang lain. Rangkaian produk yang luas dan lazat telah mendorong saya untuk menyertai peraduan ini. Saya amat terkejut apabila mendapat tahu saya adalah salah seorang pemenang 'Gaji Seumur Hidup’ dan bersyukur dengan hadiah yang diberikan oleh Nestlé. Saya akan menyimpan hadiah wang ini di dalam tabung simpanan keluarga kami. Sebagai penjual minuman di gerai pasar malam, hadiah wang ini amat bermakna bagi saya dan akan membantu saya menyara keluarga.”


Cheok Shu En, seorang pekerja pejabat berusia 29 tahun dari Pulau Pinang, berkongsi, “Sejak dahulu lagi, saya adalah peminat setia Nestlé dan telah membeli produk mereka serta menyertai peraduan-peraduan yang dianjurkan. Apabila 'Gaji Seumur Hidup' kembali tahun ini, saya berhasrat untuk mencuba nasib. Berbekalkan harapan untuk memenangi hadiah yang ditawarkan, saya telah menghantar satu penyertaan dengan pembelian dua produk MILO. Sewaktu dimaklumkan sebagai pemenang, saya hampir menyangka ianya adalah satu penipuan sehingga terpaksa mengesahkan sendiri dengan penganjur! Saya sangat gembira kerana ini adalah kali pertama saya memenangi peraduan Nestlé, dan hadiah itu adalah jumlah yang besar bagi saya.”


Kempen Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup 2024 berlangsung sehingga 30 Jun 2024 dan Nestlé Malaysia telah memperuntukkan sejumlah RM4 juta untuk hadiah-hadiah menarik. 

Untuk butiran lanjut, sila layari www.dearnestle.com.my/gaji-seumur-hidup-2024.


Monday, June 3, 2024

Nestlé Malaysia Terus Mempergiat Usaha Penanaman Semula Hutan, Sejumlah 1.8 Juta Pokok Ditanam Di Bawah Projek RELeaf

Hi Korang,

Usaha penanaman semula hutan Nestlé Malaysia telah mencapai satu lagi mercu penting, selepas berjaya menanam 2.8 juta pokok menerusi Projek RELeaf yang sedang dijalankan dan juga Projek RiLeaf yang telah dilaksanakan sebelum ini.


Malah, Projek RELeaf sahaja setakat ini telah berjaya menanam 1.8 juta pokok. Pencapaian memberangsangkan ini sejajar dengan matlamat Syarikat untuk menanam 4 juta pokok di seluruh Malaysia menjelang 2025, untuk menghasilkan sekuestrasi karbon (proses mengikat karbon dioksida dari udara untuk mengurangkan gas rumah hijau akibat pemanasan global) berjumlah kira-kira 700,000 tan.

Untuk menggiatkan lagi usaha ini, Syarikat telah meneruskan acara Penanaman Pokok Tahunan di seluruh negara, dengan lebih daripada 400 sukarelawan Nestlé Cares yang penuh berdedikasi dan wakil daripada rakan kerjasamanya, Sime Darby Plantation dan TDM Plantation, berganding bahu untuk menanam sejumlah 5,000 pokok di lima lokasi di seluruh negara, iaitu Taman Alam Kuala Selangor; SDP Labis Utara, Johor; SDP Tiger Estate Tawau, Sabah; TDM Plantation, Terengganu; dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.


En. Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad berkata, “Mengimbas kembali usaha ini, kami berbangga dengan kemajuan yang telah kami capai dalam program penanaman semula hutan. Penanaman sejumlah 2.8 juta pokok merupakan satu mercu jaya penting dalam perjalanan ESG kami, dan usaha hari ini mencerminkan dedikasi berterusan kami untuk meluaskan strategi Positif Hutan kami melindungi ekosistem Malaysia yang berharga. Kami kini menetapkan sasaran untuk menanam baki 1.2 juta pokok menerusi Project RELeaf menjelang separuh pertama 2025, seterusnya menuju ke arah mencapai sasaran mutlak menanam 4 juta pokok. Kami juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada rakan-rakan kerjasama yang dihormati, iaitu Sime Darby Plantation, TDM Plantation dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia atas sokongan tidak berbelah bagi mereka terhadap inisiatif penanaman semula hutan kami.”


Nama Projek RELeaf Nestlé Malaysia adalah berasaskan singkatan 3 ”R” – REforest, REstore dan REspect (Menanam Semula, Memulihkan dan Menghormati Hutan). Menerusi projek ini, Syarikat bertekad untuk menanam semula pokok di koridor hidupan liar untuk menghubungkan hutan-hutan yang terpisah bagi mengurangkan konflik antara manusia-haiwan dan melindungi habitat hidupan liar, memulihkan zon penampan tebing sungai bagi mengurangkan pencemaran air akibat mendapan tanah dan larian air pertanian, dan lebih penting lagi, menghormati dan menyokong transformasi positif penduduk tempatan.

Di samping melindungi alam sekitar, Project RELeaf juga menyokong mata pencarian petani tempatan dan masyarakat Orang Asli, khususnya golongan wanita, di Kinabatangan, Sabah, dan di seluruh Semenanjung Malaysia. Usaha ini dijayakan dengan memberikan latihan yang bertujuan membina kapasiti mereka sambil meningkatkan kesedaran tentang betapa pentingnya pemuliharaan alam sekitar. Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk menyemai anak benih, memantau pemindahan ke tapak penanaman dan menjaga pokok yang telah ditanam. Setakat ini, Nestlé Malaysia telah melibatkan lebih daripada 90 komuniti tempatan dalam proses penanaman anak benih dan lebih daripada 120 komuniti untuk menanam pokok.


Selain daripada melibatkan penduduk tempatan, aktiviti menanam pokok di seluruh negara kali ini juga menjadi medan latihan untuk memberikan pengalaman langsung yang melengkapkan kakitangan dengan ilmu yang diperlukan dalam kaedah penanaman dan pertumbuhan semula hutan. Matlamatnya bukan sahaja untuk meningkatkan kefahaman tentang penanaman semula hutan, tetapi juga menyemai benih kelestarian di dalam organisasi.

"Kami di Nestlé Malaysia, benar-benar menghayati kepentingan usaha penanaman semula hutan dan menghormati alam sekitar. Kami berharap dengan menyertai aktiviti penanaman pokok ini, kita semua akan memberi inspirasi kepada insan lain untuk melibatkan diri dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Dengan memupuk budaya kelestarian, kami ingin membawa kesan positif yang berkekalan kepada alam sekitar dan masyarakat di tempat kami berkhidmat,” rumus Aranols.


Saturday, June 1, 2024

Abah23 Paradise Sekinchan Lubuk Nelayan Darat Memancing Ikan Air Masin

Hi Korang,

Kak lily bukan favour sangat hobi memancing ni tapi bila dah tengok suasana kolam memancing di Abah23 Paradise ini rasa macam nak menceburkan diri dalam hobi yang kena banyak bersabar ni plak hah.


Kalau korang nak tau yang mana kolam pancing Abah23 Paradise di Sungai Nibong Sekinchan Kuala Selangor merupakan lubuk kaki pancing ikan air masin pertama di Selangor. Mula dibuka pada 3 Jun 2023 pada keluasan 2 ekar dengan kedalaman kolam sehingga 8 kaki.



Kolam ikan air masin ini diusahakan oleh Encik Razif Aini yang juga pengusaha kepada Restoran Abah Ikan Bakar yang cukup popular di Sekinchan. Biarpun beliau tidak mendapat pendidikan tinggi namun usahawan yang berjiwa besar ini sentiasa percaya kepada rezeki daripada berniaga yang pada masa yang sama dapat membantu mereka yang mencari pendapatan.



Untuk info, Encik Razif yang baru berusia 38 tahun sememangnya seorang pemancing yang cukup tegar. Siapa sangka dari hobi yang paling disukainya ini dijadikan perniagaan tanpa beliau rancang sebelum ini.

Info Tentang Abah23 Paradise

Sumber air kolam Abah23 Paradise adalah dari air laut sebenar yang terletak berdekatan dengan kawasan kolam. Bagi mengusahakan kolam ikan air masin yang punca airnya adalah dari air laut sebenarnya memerlukan kos yang cukup tinggi. Namun disebabkan Encik Razif ingin mengekalkan kualiti kesegaran ikan di kolamnya serta memberikan yang terbaik kepada pemancing "nelayan darat" beliau tetap mengambil risiko dari segi kos.

Bukan itu sahaja, Abah23 Paradise juga menawarkan hampir 8 spesis didalam kolam ikan air masinnya. Namun 3 spesis yang sentiasa ada adalah ikan jenahak, siakap dan kaci.


Waktu operasi Abah23 Paradise adalah seperti berikut:

Isnin - Khamis : 2pm- 2am
Jumaat : Tutup untuk penyelenggaraan
Sabtu & Ahad : 10am - 2pm


Harga (caj):
RM100 untuk tempoh 5 jam
RM90 untuk tempoh 4 jam

Misi Encik Razif ingin menjadikan Abah23 Paradise bukan sahaja lokasi terbaik bagi pemancing melakukan aktiviti yang digemari iaitu memancing ikan bahkan boleh juga sebagai sumber pendapatan. Ini kerana setiap pemancing boleh membawa balik hasil tangkapan untuk di jual pasaran luar ataupun jual kembali kepada pihak Abah23 Paradise.

Ikan laut dari kolam ikan air masin Abah23 Paradise juga saiznya agak besar dan berat. Sangat berbaloi dengan caj yang dikenakan apabila melihat pada hasil tangkapan yang diperolehi.


Pertandingan Memancing Bersempena Dengan Ulangtahun Pertama

Bagi meraikan ulangtahun pertama Abah23 Paradise telah diadakan Pertandingan Memancing pada 1 Jun 2024. Seramai 220 pemancing telah mendapatkan penyertaan yang mana 80% adalah dikalangan pemacing daripada negeri Selangor.

Sesi pendaftaran dibuka pada jam 8.30 pagi 1 Jun dengan yuran serendah RM200.



Tawaran hadiah wang tunai bermula dari RM300 sehingga RM3000 untuk tempat 1 ke 15 bagi ikan yang dipancing paling berat. Lebih istimewa bersempena ulangtahun petama turut diadakan cabutan bertuah yang mana hadiah utamanya merupakan motorsikal Yamaha RXZ berserta barangan elektrik untuk hadiah saguhati.




Pertandingan yang berkonsepkan berkongsi rezeki bersama nelayan darat menjadi simbolik kepada kejayaan Abah Paradise23. Ini kerana biarpun baru berusia setahun pembukaannya tetapi sudah mendapat sambutan yang luar biasa dari kaki pancing.



Tidak hairanlah antara objektif penganjuran pertandingan ini adalah sebagai penghargaan kepada pelanggan yang terus menyokong kejayaan Encik Razif dan anak buahnya dalam menguruskan kolam pancing ikan air masin.

Pemancing di kolam ikan masin Abah23 Paradise tidak pernah pulang dengan tangan kosong. Selain pemancing dapat menjual hasil pancingan, Abah23 Paradise turut bersedekah beberapa ekor ikan kepada pemancing yang gagal mendapatkan hasilnya.


Untuk info lanjut mengenai kolam ikan air masin ini, boleh ikuti tiktok Abah23 Paradise untuk segala promosi dan info terkini.