Monday, October 9, 2023
Karnival Halloween dan Fun Run di Pavillion Bukit Jalil
Saturday, October 7, 2023
Konsert Galau Singapura , malam penuh ‘healing’ - Sufi Rashid
Hi Korang,
Bakal menganjurkan Konsert Galau buat pertama kalinya di Singapura, penyanyi dan Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid menyifatkan penganjuran konsert tersebut bagaikan satu malam berkonsep ‘healing’ buat para penonton.
Menurut Sufi, penganjuran konsert yang akan diadakan pada 9 dan 16 Disember ini di Singapore EXPO itu telah direncanakan bersama sebuah unit komiti yang menyaksikan pemilihan barisan artis juga diundi oleh orang awam.
“Pemilihan artis-artis yang akan terlibat dalam konsert itu nanti bukan dibuat oleh pihak SAH Entertainment sahaja. Tetapi kami ada unit komiti yang digelar SAHabat untuk terlibat sama menguruskan pemilihan artis yang turut melibatkan undian orang awam.
“Boleh dikatakan, konsert ini adalah yang pertama kali seumpamanya diadakan di Singapura dan yang pertama di Asia yang menampilkan barisan 10 artis original atau kumpulan popular yang asal.
“SAH Entertainment memang komited mahu memastikan semua barisan asal artis ini ada untuk menjayakan konsert ini untuk menghiburkan peminat-peminat menerusi seleksi lagu-lagu galau masing-masing,”katanya.
Berkongsi lanjut mengenai konsert, kata Sufi, Konsert Galau akan menyatukan barisan 10 artis ternama dari tiga buah negara serantau iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia.
Antara artis yang terlibat dari Indonesia ialah Judika, kumpulan Noah, Setia Band, ST12, Cakra Khan, D'Masiv dan Kangen Band.
Manakala artis dari Malaysia pula adalah kumpulan Insomniacks dengan Sufi Rashid dan Taufik Batisah pula mewakili Singapura.
Bagaimanapun, kata Sufi, kehadiran kumpulan Noah untuk Konsert Galau kali ini khusus sebagai tribute kepada kumpulan Peterpan.
Ini bermakna, vokalis Noah, Ariel bakal membawakan lagu-lagu hits daripada kumpulan Peterpan istimewa bagi menghiburkan peminat yang akan hadir ke konsert berkenaan.
Selain itu, jelas Sufi, penganjuran konsert dengan konsep dua malam merupakan yang pertama kali dilakukan di negara tersebut dan ia merupakan antara keunikan yang ingin ditampilkan oleh SAH Entertainment buat warga Singapura termasuk negara serantau.
“Konsert dengan konsep penganjuran selama beberapa hari, paling minimum dua hari, sudah biasa dilakukan di Indonesia mahu pun di Malaysia.Tetapi, jika di Singapura, konsep seperti ini masih dianggap baharu.
“Jadi, saya hadir dengan inisiatif ini untuk mendidik warga Singapura dengan memperkenalkan konsep konsert seperti ini supaya mereka dapat turut sama berhibur sambil menyaksikan artis kesayangan menyanyikan lagu-lagu galau kegemaran mereka dalam sebuah festival yang meriah.
“Kiranya, tak perlulah lagi mereka terbang ke negara jiran semata-mata untuk menonton persembahan artis kesayangan mereka. Ini kerana Konsert Galau Singapura juga ada!”katanya.
Menyasarkan kehadiran seramai 12,000 penonton untuk dua malam penganjuran konsert tersebut, Sufi turut berharap orang ramai terutama peminat lagu-lagu galau sama ada dari Malaysia, Indonesia, Brunei atau di mana-mana sahaja dapat memberi sokongan untuk hadir ke konsert ini.
Meletakkan sasaran seramai 10,000 penonton untuk satu malam, Sufi berkata, penonton dan peminat yang hadir juga berpeluang memilih lokasi ruang mengikut tiga kategori yang disediakan.
Ia termasuk Zon Galau untuk pengalaman 'Galau' yang eksklusif, Zon Berdiri dan juga Zon Duduk.
Tiket dijual pada harga yang mampu milik dari $88 hingga $168. Tiket juga ditawarkan dengan diskaun 10% jika pembelian adalah untuk dua malam.
Pembelian tiket boleh dilakukan melalui www.sistic.com.sg