Wednesday, May 24, 2023

POP MART terus perluas operasi di Asia Tenggara dengan pembukaan gedung pertama di Malaysia

Hi Korang,

POP MART, syarikat hiburan berasaskan watak pemimpin pasaran yang terkenal dengan kotak misterinya, terus mengembangkan sayap operasi globalnya dengan pembukaan gedung terbaharu di Asia Tenggara.


Jenama tersebut telah mengalu-alukan penyertaan cawangan runcit terbaharunya hari ini dengan pembukaan rasmi gedung POP MART pertama di Malaysia di tingkat lima pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur (KL) di Jalan Bukit Bintang.


Presiden POP MART Global, Justin Moon, telah merasmikan majlis memotong reben bersama Pengarah POP MART South Asia Pte Ltd, Tan Tong Hong, Pengurus Besar POP MART Malaysia Sdn Bhd, Max Tan dan Pengarah Kanan, Bahagian Penyewaan Pavilion KL, Lovell Ho.



Malaysia ialah pasaran terbaharu di rantau ini yang menjadi tumpuan POP MART selepas jenama tersebut bertapak di Singapura – gedung POP MART telah dibuka di Funan, Singapura pada 2021. POP MART telah menceburi pasaran Malaysia buat pertama kali pada awal 2021 menerusi gedung e-dagang rentas sempadan. Dalam tempoh dua tahun lepas, syarikat telah mengembangkan pasaran Malaysia dalam usaha membina landasan yang kukuh bagi membuka gedung fizikal tempatan.

“Pembukaan gedung Malaysia membuka lembaran baharu dalam peluasan perniagaan POP MART di Asia Tenggara. Malaysia berpotensi besar sebagai sebuah pasaran utama bagi kami selepas Singapura,” kata Moon. “Kedua-dua negara mempunyai budaya tempatan yang sebanding dan juga pasaran pengumpul koleksi mainan seni yang agak besar. Kami boleh memanfaatkan pencapaian kami di Singapura untuk membina operasi di Malaysia, dengan potensi meluaskan perniagaan ke negara-negara jiran yang lain.”



Gedung POP MART Pavilion KL seluas 146 meter persegi (1,569 kps) ini telah direka bentuk untuk menarik hati golongan dewasa muda dan milenial dengan lampu warna RGB berubah-ubah di pintunya dan juga reka hias dalaman yang berwarna-warni dan menarik perhatian. Rangkaian barangan di POP MART Malaysia termasuk produk edisi terhad bagi peminat tempatan seperti DIMOO Mango Jelly (Jeli Mangga) Plus , SKULLPANDA Dark Maid Edisi Terhad 100%, Labubu Shepherd Edisi Terhad 100% dan bahan koleksi popular lain.




POP MART juga meraikan satu lagi detik penting hari ini, iaitu hari jadi DIMOO, salah satu IP (harta intelek) utama dan watak paling disayangi jenama ini. Para peminat boleh menebus pelbagai cenderahati DIMOO dengan pembelian yang dibuat dan lebih penting lagi, menjadi antara yang pertama di rantau ini untuk memiliki Siri Retro DIMOO, yang dibawakan secara eksklusif di POP MART Pavilion KL hari ini.

POP MART bercadang untuk terus meluaskan pasaran Malaysia dengan membuka lebih banyak gedung fizikal dan mesin layan diri (robo shop) di lokasi-lokasi utama di Malaysia, selain daripada saluran dalam taliannya. Sejak melancarkan perniagaan globalnya pada 2018, POP MART sentiasa memberi keutamaan kepada pasaran Asia Tenggara. Menurut Moon, bagi kebanyakan jenama China yang menceburi pasaran luar negara, Asia Tenggara adalah salah satu daripada pasaran utama buat mereka.

“Negara-negara Asia Tenggara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, penggunanya mempunyai kuasa beli yang besar dan ruang pasarannya agak luas. Dalam pada itu, budaya penduduk di sini begitu terpelbagai, dan mereka sanggup menerima budaya dan produk asing. Tahap pelaburan yang tinggi disertakan oleh sokongan kukuh bagi perusahaan yang dibiayai pelabur asing telah mewujudkan persekitaran perniagaan yang mantap,” tambahnya.

"Pasaran Asia Tenggara ialah pasaran yang patut diterokai, dari segi potensi perniagaan di dalam atau di luar talian. Kami bermula di Singapura dan kini menceburi pasaran Malaysia. Kami berharap untuk terus meluaskan pasaran kami di Asia Tenggara dan membina rangkaian jualan di dalam dan di luar talian, dengan menyesuaikan sepenuhnya kepada budaya tempatan,” kata Moon.



POP MART Pavilion KL terletak di 5.39, Tingkat 5, Pavilion Kuala Lumpur dan dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.



Mengenai POP MART

POP MART adalah salah satu daripada jenama mainan seni paling popular yang mendapat perhatian dan menjadi kegemaran generasi lebih muda pada hari ini. Terkenal dengan koleksi Kotak Misteri yang luas – dengan setiap kotak memuatkan satu figura misteri yang ditutup kedap untuk memberi kejutan kepada pemilik baharunya – POP MART mengubah tanggapan bahawa mainan adalah untuk kanak-kanak semata-mata. Sejak 2021, POP MART juga telah mengembangkan sayap untuk menceburi pasaran mainan seni mewah dan memperkenalkan Koleksi MEGA untuk memenuhi minat pelbagai pengumpul koleksi mainan seni.

Syarikat ini telah bekerjasama degan jenama-jenama terkemuka di dunia, antara lain termasuk Disney, Sanrio, Warner Bros., dan pereka terkenal seperti Kenny, Pucky dan Kasing Lung untuk melancarkan pelbagai produk popular yang berasaskan watak-watak klasik yang menambat hati kumpulan peminat setianya. Bagi memberikan sokongan padu kepada pasaran mainan pereka asasnya, POP MART juga telah menambah baik pengalaman pengguna dengan memperkenalkan permainan mini dan aplet untuk terus menambat hati pelanggan.

PDC (POP Design Centre) diasaskan pada 2017 dan memberi tumpuan terhadap IP asli sebagai sebahagian daripada pembangunan karyawan dan rancangan operasi IP global POP MART. PDC telah menarik ramai karyawan berbakat daripada industri media dan hiburan yang berkembang pesat. Dengan sumber yang luas dan pasukan produk profesional, PDC telah memupuk pembangunan ramai karyawan sedang meningkat naik untuk menghasilkan IP mereka sendiri dan menarik perhatian lebih ramai peminat di seluruh dunia menerusi ciri unik masing-masing.

Monday, May 22, 2023

Nestlé Malaysia Bawa Kembali NESCAFÉ Classic Kopi Kedah

Hi Korang,

Demi terus menggembirakan penggemar kopi Malaysia, Nestlé Malaysia kembali lagi dengan melancarkan NESCAFÉ Classic Kopi Kedah edisi 2023 berwajah baharu! Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2020, edisi kali ini merupakan edisi ketiga produk kopi tempatan keluaran sulung Syarikat. NESCAFÉ Classic Kopi Kedah diperbuat daripada 100% biji kopi Malaysia yang dibeli menerusi Program NESCAFÉ Disemai Dengan Kasih.


Mencerminkan komitmen Nestlé Malaysia untuk menggiatkan semula perladangan kopi di Malaysia serta meningkatkan punca pendapatan komuniti peladang tempatan, program tersebut dimulakan pada 2019 dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Jabatan Pertanian Negeri Kedah (KSDA) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi Kedah (KEDA), untuk memberi bimbingan kepada peladang tempatan menerusi latihan dan bantuan teknikal dalam penyemaian benih, penanaman dan penyenggaraan ladang, serta operasi selepas memetik hasil. Dengan menyediakan asas bagi mewujudkan ekosistem penanaman kopi lebih hijau, program ini juga membantu peladang beralih kepada amalan pertanian lebih mesra alam seperti pertanian regeneratif.



Menerusi Program NESCAFÉ Disemai Dengan Kasih, para peladang tempatan boleh menyemai anak benih kopi dengan penuh keprihatinan dan secara bertanggungjawab untuk menghasilkan biji kopi bermutu tinggi yang memenuhi cita rasa dan aroma unik Malaysia. Setakat ini, NESCAFÉ Disemai Dengan Kasih telah berjaya melatih sekitar 270 peladang dan memberikan sokongan untuk menanam kira-kira 270,000 anak benih kopi di seluas 150 ekar tanah.

En. Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, berkata, “Sejak 2019, kami telah berusaha gigih bersama para penanam kopi tempatan kita untuk memulihkan penanaman kopi di Kedah, Perak dan baru-baru ini di Kelantan. Mencerminkan komitmen kami untuk melaksanakan amalan terbaik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), usaha ini adalah sebahagian daripada agenda kelestarian kami untuk mengurangkan kesan perubahan iklim dan melindungi rantaian bekalan makanan. Kami berharap program ini dapat membantu meningkatkan punca pendapatan peladang kopi tempatan kita yang mendapat manfaat daripada hasil tanaman yang lebih tinggi dan pendapatan yang terpelbagai sambil kami menyokong mereka dalam usaha mengguna pakai amalan pertanian regeneratif seperti tanaman selingan.”

“Kembalinya NESCAFÉ Classic Kopi Kedah memperlihatkan kemajuan program NESCAFÉ Disemai Dengan Kasih dan kami sukacita untuk sekali lagi berkongsi cita rasa Malaysia ini dengan para pengguna,” tambah Aranols.

En. Raef Labaki, Pegawai Eksekutif Perniagaan Unit Perniagaan Kopi, Nestlé (Malaysia) Berhad, berkata, “Setiap cawan NESCAFÉ Classic Kopi Kedah mencerminkan keprihatinan dan rasa hormat yang dicurahkan oleh para peladang NESCAFÉ Disemai Dengan Kasih sepanjang proses penanaman kopi. Dalam tempoh beberapa tahun sejak program dimulakan, kami telah melihat kemajuan yang menggalakkan. Kami akan terus menyokong sektor kopi tempatan untuk mencipta detik-detik kopi istimewa untuk rakyat Malaysia di seluruh negara.”


Pada tahun ini, NESCAFÉ Classic Kopi Kedah kembali dengan wajah baharu yang memaparkan seni anyaman tradisional untuk meraikan warisan tempatan Malaysia. 

Pembungkusan pada tin juga menunjukkan mercu jaya penting yang dicapai menerusi NESCAFÉ Disemai Dengan Kasih dan mengetengahkan salah seorang daripada peladang kopi tempatan program ini yang bertanggungjawab menghasilkan biji kopi bermutu tinggi NESCAFÉ Classic Kopi Kedah dengan cita rasa tersendiri, yang disemai dengan kasih untuk dinikmati sepenuh hati.


5 Kudapan dari Malaysia Timur untuk Memeriahkan Sambutan Kaamatan & Gawai Anda

Hi Korang,

Kemeriahan menjelang tiba di Malaysia Timur apabila warga tempatan bakal meraikan dua perayaan terbesar mereka. Di Sabah dan Labuan, Tadau Kaamatan disambut setiap tahun pada 30 dan 31 Mei, manakala suku Dayak di Sarawak menyambut Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun.

Sungguhpun Tadau Kaamatan dan Hari Gawai meraikan tamatnya musim menuai padi, sebenarnya terdapat perbezaan ketara dari segi tradisi dan upacara antara dua perayaan ini. Tadau Kaamatan meraikan hubungan antara Pencipta dan Ciptaan, yang diceritakan melalui lagenda pengorbanan Huminodun - seorang gadis cantik yang sanggup mengubah tubuhnya menjadi makanan dan tanaman subur bagi menyelamatkan manusia daripada kebuluran. Hari Gawai pula bertumpu pada persembahan dan upacara yang menzahirkan kesyukuran atas hasil tuaian yang melimpah ruah, di samping meraikan umat manusia, ‘semangat’ padi, dan unsur-unsur lain yang melambangkan alam semula jadi.

Memandangkan Tadau Kaamatan dan Hari Gawai sinonim dengan hasil tuaian lumayan, tidak hairanlah makanan merupakan antara aspek yang paling dinanti-nantikan. Sempena cuti perayaan ini, pastinya ramai di antara kita yang tidak sabar lagi untuk berkumpul dengan keluarga serta sahabat karib sambil menikmati pelbagai makanan lazat. Namun, harus diingat bahawa pemakanan tanpa kawalan semasa perayaan boleh menyebabkan peningkatan berat badan, tekanan dan kegelisahan. Kerana itu, pengamalan snek bijak yang merujuk kepada tabiat makan dengan niat dan perhatian, memfokuskan pada detik sekarang, dan menikmati makanan dengan semua pancaindera untuk mengelakkan terlebih makan amatlah disarankan.

Di sini, mari kenali lima kudapan unik dari Sabah dan Sarawak yang wajib anda cuba, dan sambil-sambil itu terapkan juga amalan snek bijak ketika menikmatinya:


1. Kuih Sarang Semut atau Kuih Jala
Sumber: Pengguna Facebook - Senia Raniah

Sarang Semut dari Sarawak yang mirip dengan Kuih Karas dari Semenanjung Malaysia ini diperbuat daripada adunan tepung pulut, tepung ubi kayu, dan gula. Ia digoreng panjang dan nipis, dan memiliki tekstur yang lembut dan sedikit kenyal. Kuih ini turut dikenali sebagai Kuih Jala, dan menjadi kegemaran kanak-kanak mahupun orang dewasa kerana tekstur dan rasanya yang lazat. Ketika menikmatinya, kami mencadangkan agar anda menghayati setiap gigitan, kunyahan dan rasa kuih Sarang Semut yang rangup ini untuk meningkatkan meningkatkan kepuasan makan anda.


2. Penganan
Sumber: Hantara Blog – Che Nom

Penganan dari Sarawak merupakan makanan tradisional yang dibuat dengan menggoreng adunan tepung beras, gula, dan santan. ‘Kek mini’ ini rasanya manis-manis dan sedikit masin, dengan memiliki bahagian luar yang rangup namun bahagian dalam yang lembut lagi kenyal. Ia sesuai dijamah ketika masih panas, tapi disebabkan ianya makanan bergoreng, amalkan kesederhanaan dan kawalan porsi dengan menikmati sekeping sahaja pada satu-satu masa.


3. Hinompuka (Kuih pulut kukus)
Sumber: Pengguna Facebook – Debbie Debra D

Hinopuka merupakan makanan tradisi Kadazan yang lazat. Kuih pulut kukus melekit yang dibalut dengan daun pisang ini manis dan lemak berkrim dengan tekstur kenyal. Sesetengah resipi menggunakan santan untuk meningkatkan lagi rasa lemak berkrim, dan ada juga yang menggunakan gula merah untuk menambahkan rasa manis. Rasanya yang unik juga terhasil daripada penambahan ekstrak pandan, pisang atau keladi parut ke dalam adunan, menjadikannya pemanis atau kudapan yang sesuai bagi anda yang menggemari perisa yang lebih halus. Selain mengawal kuantiti makanan, tingkatkanlah kepuasan deria anda dengan mengelakkan gangguan dan nikmati makanan anda dengan perlahan-lahan. Sebelum mencapai kepingan hinompuka yang seterusnya, semak dengan diri sama ada anda sebenarnya sudah puas dengan kuantiti yang dimakan tadi.


4. Tebaloi
Source: Facebook User – Tebaloi Mukah Sarawak

Tebaloi atau biskut sagu merupakan makanan tradisional masyarakat Melanau, namun turut mendapat permintaan tinggi dari serata Borneo. Diperbuat dari tepung sagu, kelapa, gula dan telur, tebaloi boleh didapati dalam pelbagai perisa dan warna-warna menarik. Nikmati kepingan tebaloi anda dalam porsi yang sederhana sambil menghayati tekstur, warna serta rasanya yang unik hasil dari panggangan kayu api untuk meningkatkan pengalaman gastronomi anda.


5. Bambangan
Sumber: Pengguna Shopee – astcatalieya

Buah istimewa dari kepulauan Borneo ini sering dikelirukan dengan mangga. Ia memiliki kulit coklat tebal dan haruman yang tersendiri, dan boleh dimakan masak atau dituai mentah untuk dijeruk dengan garam, parut biji bambangan, dan potongan cili untuk menghasilkan hidangan seperti Hinava Ginapan untuk Tadau Kaamatan. Jika dimakan begitu sahaja, bambangan mempunyai rasa masam dan unik yang serupa dengan mangga atau nangka. Sama ada dinikmati mentah, dimasak atau dijeruk, nikmatilah setiap kunyahan dengan penuh perhatian dan lebih perlahan untuk meningkatkan kepuasan makan anda.

Mencuba kudapan-kudapan lazat ini merupakan cara terbaik untuk menghayati kekayaan warisan budaya sambutan Kaamatan dan Gawai, sambil memuaskan selera makan anda. Dengan begitu banyak makanan lazat untuk dinikmati bersama orang tersayang, jangan lupa untuk mengamalkan tabiat snek bijak – bahagikan porsi kudapan sebelum makan, dan kurangkan atau elakkan gangguan untuk menumpukan sepenuh perhatian pada nikmat makanan anda. Amalan snek bijak ini sebenarnya boleh diamalkan oleh sesiapa sahaja, tidak kira di mana jua, dan pada bila bila masa.

Amalan snek bijak semasa musim perayaan bukan sahaja membolehkan anda menikmati makanan anda dengan sepenuh hati, tetapi juga membantu anda menjalani gaya hidup lebih sihat. Menurut satu laporan tentang tabiat snek global oleh Mondelēz International, 78% orang pada hari ini lebih cenderung mengambil masa untuk menikmati snek mereka, manakala 61% berkongsi mereka meluangkan masa untuk membahagikan porsi makanan sebelum makan. Adakah anda salah seorang daripada mereka? 

Kenali amalan snek bijak serta manfaat-manfaatnya di www.snackmindful.com.