Hi Korang,
Program realiti ‘All Together Now Malaysia’ atau ‘ATNMY’ ialah sebuah pertandingan nyanyian yang terbuka kepada seluruh rakyat malaysia tanpa sebarang had umur. Penyertaan adalah terbuka secara solo, duo, trio ataupun berkumpulan. Barisan peserta juga bebas memilih genre muzik dan jenis bahasa untuk diketengahkan dalam lagu persembahan masing-masing. Juara ‘ATNMY’ musim pertama juga bakal membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000 beserta sebuah trofi.
Program ‘ATNMY’ ini telah diadaptasi daripada format antarabangsa popular ‘All Together Now’ yang berasal dari United Kingdom terbitan BBC One. Program ini juga turut mencetuskan fenomena luar biasa di luar negara sehingga format tersebut telah diadaptasi semula di serata dunia termasuklah Australia, Rusia, Turki, Brazil, Norway, Colombia, Denmark, Finland, Perancis dan sebagainya. Malaysia merupakan negara ke-17 di dunia dan yang pertama di Asia Tenggara menerbitkan program ini untuk versi tempatan.
‘ATNMY’ masih mengekalkan format asal program tersebut. Namun begitu, terdapat pengisian elemen tempatan yang turut disuntik untuk menambah baik format asal agar bersesuaian dengan resam norma baharu, budaya dan sensitiviti rakyat Malaysia.
Keunikan utama program ‘ATNMY’ yang dikendalikan oleh Sherry Al Hadad selaku ‘Hos’ ini terletak kepada jumlah bilangan juri profesional dan peserta yang cukup besar melibatkan seramai 50 juri tetap dan hampir 250 jumlah keseluruhan peserta untuk musim pertama.
Mengangkat tagline ‘Bersatu Dengan Lagu’, penerbitan ‘ATNMY’ musim pertama turut memperkenalkan konsep muhibah menerusi pemilihan barisan juri serta menyaksikan penyertaan daripada masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Bakal diketuai oleh selebriti popular Dato’ AC Mizal selaku ‘Kapten Juri’, kesemua 50 juri yang telah dilantik adalah terdiri daripada barisan penggiat seni tersohor tanah air merangkumi pelbagai cabang seni yang berbeza seperti penyanyi, pelakon, pelawak, penyampai radio, pengacara, personaliti media sosial dan sebagainya.
PETIKAN KENYATAAN RASMI WAKIL ASTRO |
|
Emarina Mohd Kamal, Pengurus Saluran Astro
Ria
“Bagi
mengorak langkah ke hadapan sebagai perintis industri kandungan harta intelek (IP)
utama di Malaysia, Astro amat komited dalam memperkenalkan kepelbagaian
merangkumi format kandungan tempatan dan kandungan adaptasi antarabangsa bagi
memenuhi citarasa audiens.
Setelah agak lama menyepi daripada menganjurkan sebarang pertandingan nyanyian yang membabitkan penyertaan amatur, saluran Astro Ria kini dengan berbesar hati menganjurkan program ‘ATNMY’ bagi mengubat kerinduan orang ramai terhadap program-program sebegini.
Kali terakhir Astro Ria menganjurkan pertandingan nyanyian yang diadaptasi daripada format antarabangsa seumpama ini ialah menerusi program fenomena Akademi Fantasia yang kali terakhir diterbitkan pada tahun 2017 untuk edisi ‘AF Megastar’. Caturan berani Astro dalam memperkenalkan konsep realiti yang cukup asing di kalangan audiens tempatan pada tahun 2003 ketika itu ternyata telah membuka satu lembaran baharu yang mengubah landskap dunia hiburan secara drastik.
Sebenarnya proses adaptasi bukanlah mudah seperti yang disangka. Selain terikat dengan garis panduan format asal yang ketat, setiap perincian mesti diambil kira bagi memastikan elemen tempatan dapat diterapkan sekaligus mengelakkan sebarang sensitiviti agar bersesuaian dengan adab resam dan budaya masyarakat majmuk di Malaysia. Bagi memberikan kelainan yang unik, olahan kreatif di luar kotak juga harus disuntik bagi memastikan keseragaman ‘look and feel’ format asal dapat dikekalkan.
Panel perunding rasmi yang dilantik oleh pihak Banijay Rights iaitu ‘format owner’ program ini juga telah ‘diterbangkan’ khas secara maya dari Amsterdam dan Polland untuk berkongsi pengalaman serta memberikan latihan industri dan khidmat nasihat kepada pihak produksi sebagai persediaan dalam merealisasikan penerbitan ‘ATNMY’.
Selain itu, kesesuaian norma baharu juga turut dititik beratkan. Sebagai contoh untuk program ‘ATNMY’, 50 juri selebriti akan diketengahkan berbanding format sebenar yang menampilkan 100 orang juri. Barisan juri untuk versi tempatan cuma membawa masuk separuh daripada jumlah asal kerana mengambil kira SOP dan kapasiti yang dibenarkan susulan krisis Covid-19.
Untuk makluman semua juga, program ‘ATNMY’ ini sebenarnya sudah dua kali ditunda daripada tarikh asal yang dijadualkan akibat situasi ketidaktentuan pandemik pada ketika ini. Namun begitu, strategi pemantapan kandungan telahpun diatur dengan teliti agar tidak menjejaskan mutu penganjuran sekaligus menjamin kepuasan tontonan yang maksima kepada penonton di rumah.
Walaupun program ini baru sahaja dilancarkan, namun pihak produksi sudahpun memulakan misi pencarian bakat untuk menyertai musim seterusnya. Sesi uji bakat musim kedua kini secara rasminya sudahpun dibuka secara online. Emelkan pautan video penyertaan anda ke ujibakat@astro.com.my sebelum 30 Mei 2021 untuk disenarai pendek.
Semoga program ‘ATNMY’ ini dapat mengulangi fenomena program-program yang pernah diterbitkan sebelum ini di platform Astro. Selamat menonton!”
TRIVIA MENGENAI ‘ATNMY’ |
|
1.
Penerbitan ‘ATNMY’ turut
disokong oleh Gempak dan Ria X yang turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA,
HITZ dan RAAGA pula hadir sebagai
Rakan Radio Rasmi.
2.
Selain Sherry Al Hadad
yang akan mengendalikan pentas utama selaku ‘Hos’, program ‘ATNMY’ turut membawa masuk gandingan Dewi Remaja
2019, Shaza Bae dan Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar bagi memeriahkan musim
pertama sebagai ‘Hos’ untuk program kapsul ‘Di Sebalik All Together Now Malaysia’.
3.
Manakala pengacara Go Shop, Aswad Jalil dan personaliti media sosial yang ini bergelar pelakon,
Norreen Iman pula digandingkan sebagai
‘Hos’ program ‘All Together Now Malaysia Live Plus’ yang akan disiarkan secara
serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
4.
Meskipun penganjuran
musim pertama program ‘ATNMY’ berlangsung ketika krisis pandemik
Covid-19 melanda, namun sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan penerimaan
keseluruhan hampir 3000 buah jumlah video penyertaan secara online.
Daripada jumlah tersebut, hanya 214 jumlah penyertaan yang berjaya terpilih untuk
menyertai musim ini sama ada secara solo, duo, trio ataupun berkumpulan. 214
buah penyertaan tersebut melibatkan hampir 250 orang jumlah keseluruhan peserta
yang bertanding.
5.
Antara peserta yang bakal mewarnai musim pertama termasuklah
Zaki Yamani yang merupakan anak kepada legenda negara Jamal Abdillah, Najua P.
Ramlee; cucu kepada seniman negara Allahyarham Tan Sri P Ramlee, komposer jingle
& personaliti Tik Tok; Ajoi Zainal, penari & influencer; Baelon,
penyanyi; Meer Nash, Kumpulan Pancit Sitaya yang memperjuangkan genre irama
Malaysia & Dangdut.
6.
Selain konsert mingguan yang akan bersiaran selama 10
minggu, sebuah episod khas turut diterbitkan sempena meraikan ulang tahun Astro
yang ke-25 pada tahun ini. Barisan peserta yang bakal menyertai episod khas
tersebut adalah daripada kalangan bekas-bekas peserta program hiburan popular
terbitan Astro seperti Akademi Fantasia, Big Stage, Maharaja Lawak Superstar, The
Masked Singer Malaysia, Gegar Vaganza, Ceria
Popstar, Kilauan Emas, Golden Melodies dan sebagainya. Tarikh siaran episod istimewa tersebut masih
belum ditetapkan dan akan diumumkan kelak.
7.
Keseluruhan rakaman telah mengambil masa 33 hari untuk
diselesaikan sewaktu perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Semua garis panduan SOP yang dikeluarkan oleh pihak MKN & KKM juga telah
dipatuhi semasa rakaman ini dijalankan.
8.
Antara cabaran terbesar sepanjang penganjuran program ‘ATNMY’
ialah terikat dengan jadual dan garis masa yang cukup padat susulan
perlaksanaan PKP. Oleh kerana rakaman program ini melibatkan penglibatan
pasukan yang besar, pihak produksi juga turut berdepan dengan cabaran untuk mengawal
jumlah kapasiti yang besar pada satu masa agar tidak melanggar SOP sekaligus
memastikan keselamatan semua pihak dapat diutamakan.
9.
Selain itu, pihak produksi Astro juga harus membuat perancangan
rapi bakal memastikan segala maklumat sulit terutamanya yang berkaitan dengan barisan
penuh juri dan keputusan pertandingan tidak tersebar sebelum pengumuman rasmi
dibuat kepada umum khususnya pihak media.
FORMAT PENJURIAN ‘ATNMY’ |
|
Nasib para peserta
akan diadili oleh barisan 50 juri
profesional berdasarkan
sistem penjurian kalah mati. Setiap juri mewakili dua markah. Dua peserta yang
mendapat markah tertinggi pada setiap episod akan mara ke peringkat akhir ‘ATNMY
Final’ untuk merebut gelaran juara sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai
RM50,000 beserta trofi.
Seramai 24 peserta akan bertanding dalam setiap episod. Setiap peserta akan diberikan tempoh 90 saat untuk membuat persembahan masing-masing. Sekiranya juri suka dengan persembahan tersebut, mereka boleh mula memberikan markah kepada peserta sejurus selepas 30 saat pertama dengan menekan butang ‘buzzer’ yang disediakan lalu ikut berdiri dan menyanyi bersama-sama dari tempat masing-masing sebagai tanda sokongan.
Tiga peserta yang mendapat markah tertinggi akan ditempatkan di tiga buah podium utama mengikut jumlah markah yang diterima. Peserta yang mendapat markah paling banyak akan ditempatkan di podium yang pertama sekaligus layak untuk mara ke peringkat akhir secara automatik. Manakala peserta yang berada di kedudukan kedua dan ketiga pula akan berentap sekali lagi dalam pusingan ‘Sing-Off’ untuk menempah tempat ke peringkat akhir. Untuk pusingan ini, peserta perlu memilih lagu baharu untuk dipersembahkan di hadapan barisan juri daripada senarai yang disediakan oleh pihak produksi.
Sekiranya ada peserta yang mendapat markah seri, Dato’ AC Mizal selaku ‘Kapten Juri’ mempunyai kuasa untuk membuat keputusan bagi memilih peserta yang layak untuk berada di podium.
SENARAI PENUH BARISAN 50 JURI ‘ATNMY’ |
1. Dato’ AC Mizal
2. Syamel
3. Ernie Zakri
4. Mark Adam
5. Noryn Aziz
6. Erra Fazira
7. Tuju [K-Clique]
8. Siti Nordiana
9. Zizan Razak
10. Tabby [Dolla]
11. Khai Bahar
12. Zizi Kirana
13. Jaclyn Victor
14. Linda Nanuwil
15. Andi Bernadee
16. Bob Yusof
17. Nana Mahazan
18. Shiha Zikir
19. Sissy Imann
20. Chubb-e
21. Mimi Fly
22. Aina Abdul
23. Ifa Raziah
24. Sarah Suhairi
25. Catriona Ross
26. Azzam Sham
27. Dafi Ismail
28. Ara Johari
29. Azira Syafinaz [DeFam]
30. Liza Hanim
31. Yusuf Bahrin
32. Angel [Dolla]
33. Joey Daud
34. Acong
35. AzfarHeri
36. Yaya Zahir
37. Kelly Azman
38. Jad Lobo
39. Harith Zazman
40. Kaka Azraff
41. Haniff Hamzah [ERA]
42. Falyq Hikyle [SINAR]
43. Ean [HITZ]
44. Suresh [RAAGA]
45. Alvin Chong
46. Daniel Cheang
47. Vanessa Reynauld
48. Neeta Manisha
49. Thanuja
50. Kidd Santhe
INFO SIARAN RANGKAIAN
PROGRAM ‘ATNMY’ |
Rangkaian
program ‘ATNM’ akan mula bersiaran secara eksklusif
menerusi saluran Astro Ria (104) serta turut boleh turut boleh distrim
menerusi aplikasi Astro GO dan
perkhidmatan On Demand untuk pilihan
yang lebih fleksibel.
Klip sedutan aktiviti perjalanan para peserta dan barisan juri menjelang konsert mingguan dapat ditonton melalui liputan kapsul harian ‘Di Sebalik All Together Now Malaysia’ pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang bermula 31 Mei 2021. Kompilasi liputan tersebut juga boleh ditonton menerusi ‘Kompilasi Di Sebalik All Together Now Malaysia’ pada setiap hari Sabtu, jam 7.00 malam bermula 5 Jun 2021.
Manakala rakaman konsert mingguan ‘ATNMY’ pula akan bersiaran dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 6 Jun 2021. Istimewa untuk pelanggan NJOI, konsert minggu pertama ‘ATNMY’ juga bakal disiarkan secara serentak di saluran Astro Prima (105).
Program khas ‘ATN Malaysia Extended’ pula akan menyiarkan klip video bloopers menampilkan barisan juri dan peserta yang tidak pernah dikongsikan di mana-mana platform. Ia akan disiarkan pada setiap hari Isnin, jam 9.00 malam bermula 7 Jun 2021.
Untuk pengisian di platform digital pula, rakaman program ‘All Together Now Malaysia Live Plus’ akan disiarkan bermula jam 9.00 malam di laman www.gempak/AllTogetherNowMY ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘ATNM’ bermula 6 Jun 2021.