Hi Korang,
Sempena tahun baru 2020 ni, kak lily akan kerap kongsikan artikel daripada Hello Doktor untuk bacaan santai korang. Sebab kak lily rasa ianya bagus untuk kita mengambil tahu mengenai kesihatan kita.
Bersenam merupakan antara gaya hidup yang terbaik untuk membantu mengurangkan tekanan di samping memperbaiki tahap kesihatan secara keseluruhan. Tetapi terdapat beberapa salah faham mengenai senaman yang menjadi ikutan.
Melakukan aktiviti fizikal
Selain menjadi kunci dalam membantu memberikan tahap kesihatan yang lebih baik, bersenam sebenarnya dapat meningkatkan kecergasan dan emosi gembira seseorang individu. Dalam memilih untuk melakukan sesuatu aktiviti fizikal, ia haruslah bersesuaian dengan keadaan kesihatan anda bagi mengelakkan sebarang masalah atau kesan sampingan yang tidak diingini daripada berlaku.
Bagi individu yang mempunyai masalah melibatkan kesihatan, anda adalah disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar kesihatan terlebih dahulu untuk mengetahui dan mengenal pasti jenis aktiviti fizikal yang boleh dilakukan berdasarkan tahap kesihatan anda.
Tempoh yang terbaik untuk bersenam adalah selama 30 minit sehari. Pemilihan aktiviti yang ingin dilakukan ketika bersenam adalah bergantung kepada tahap kecergasan anda. Jika anda dalam keadaan penat, sebaiknya hindari daripada memaksa diri anda bersenam kerana ia boleh menyebabkan mudarat.
Apa yang dikongsikan di atas adalah fakta ringkas bersenam. Tetapi bagaimana pula dengan salah faham umum tentang senaman yang sering kali menjadi ikutan dan amalan?
Perkara mengenai senaman yang patut anda tahu
Tidak dinafikan ramai individu sukar untuk bersenam disebabkan kehidupan yang sibuk. Terdapat banyak sebab mengapa seseorang individu tidak bersenam dan terdapat juga banyak salah faham mengenai senaman.
Berikut dikongsikan beberapa salah faham umum tersebut:
Tahap kecergasan saya sudah baik, jadi tidak perlu bersenam
Kalaulah ia memang semudah itu, namun malangnya manfaat kesihatan bersenam tidak akan kekal lama jika anda tidak dapat melakukan rutin aktiviti fizikal anda secara berkala. Pengurangan atau penurunan kekerapan dalam bersenam boleh menyebabkan kehilangan manfaat yang ketara seperti melibatkan aspek kecergasan kardiovaskular dan ketahanan.
Kunci utama untuk mengekalkan kecergasan adalah konsistensi. Gabungkan beberapa aktiviti menarik bagi membantu anda mengekalkan tahap aktiviti fizikal untuk sepanjang kehidupan. Ini kerana ia amat berkait rapat dengan tahap kesihatan yang terbaik.
Berdiri tidak sama manfaat dengan bersenam
Berdiri dan bergerak sepanjang hari bermakna anda mempunyai tahap aktiviti fizikal yang tinggi. Optimumkannya dengan meningkatkan intensiti aktiviti anda bagi mendapatkan manfaat kesihatan atau sekurang-kurangnya sehingga anda berpeluh sedikit.
10 minit atau lebih, jika tidak sekadar membuang masa
Berita baiknya, garis panduan yang mengatakan seseorang individu perlu untuk bersenam sekurang-kurangnya 10 minit telah dihapuskan. Kini tiada lagi syarat minimum untuk memperolehi manfaat kesihatan yang baik.
Melakukan tugasan harian dengan aktif seperti membawa beg membeli-belah yang berat, melakukan tugasan rumah atau aktiviti bercucuk tanam yang berat, sudah dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan anda.
Anda boleh cuba lakukan aktiviti fizikal ringkas seperti memanjat tangga dengan intensiti yang boleh menyebabkan anda kehilangan nafas untuk tempoh antara 30 saat hingga dua minit.
Saya ada penyakit kronik, maka saya patut hindari senaman
Siapa kata individu yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik tidak boleh bersenam? Sebaliknya, menjadi lebih aktif pastinya akan memberikan manfaat kepada pelbagai masalah kesihatan kronik termasuk kanser, penyakit jantung dan penyakit pulmonari obstruktif kronik.
Jadilah individu yang aktif bergantung kepada tahap kesihatan anda dan sasarkan untuk melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal intensiti sederhana seminggu, sekiranya boleh.
Jika keadaan kesihatan anda terlalu kompleks, dapatkan rundingan dan nasihat daripada doktor sebelum anda memutuskan untuk memulakan sebarang rutin senaman baru. Anda juga boleh dapatkan nasihat daripada ahli fisioterapi atau profesional bertauliah lain sebagai rujukan.
Terlalu tua untuk bersenam
Ini sudah tentulah satu kepercayaan yang salah. Terdapat bukti yang mengatakan faktor usia bukanlah satu sebab utama sehinggalah anda berusia dalam lingkungan 90 tahun ke atas.
Kekuatan, tenaga dan jisim otot boleh ditingkatkan walaupun anda berada dalam kelompok individu lebih berusia. Sebaiknya, gabungan aktiviti aerobik, senaman keseimbangan dan pengukuhan otot jika anda berusia 65 tahun dan ke atas.
Bersenam menjadikan saya kurus
Tidak semestinya! Jika anda ingin menurunkan berat badan, aktiviti fizikal anda harus digabungkan dengan aspek penjagaan pemakanan seperti mengehadkan jumlah pengambilan kalori.
Individu dengan matlamat untuk mengurangkan berat badan yang tinggi iaitu melebihi lima peratus daripada jumlah keseluruhan berat dan individu yang cuba mengekalkan berat badan perlu melakukan lebih daripada 300 minit aktiviti fizikal berintensiti sederhana bagi mencapai matlamat tersebut.
Saya berlari seminggu sekali, tetapi ia tidak mencukupi
Tanpa mengira berapa kali seminggu anda berlari, walaupun mungkin hanya sekali, ia tetap memberikan kebaikan kepada tahap kesihatan anda. Jika anda tidak mempunyai masa untuk bersenam, berjalan sekurang-kurang untuk 50 minit sekali seminggu pada kadar yang perlahan dan kurang daripada 6mph (9.65km/j) tetap akan dapat membantu dalam menurunkan risiko kematian pramatang.
Saya mengandung, maka saya mungkin perlu mengurangkannya
Bersenam sememangnya adalah perbuatan yang baik untuk ibu mengandung. Ia merupakan satu alternatif bagi menjaga kandungan khususnya pada tempoh awal kehamilan. Setiap pergerakan yang dilakukan dapat membantu menjadikan badan dan otot ibu lebih kuat.
Bersenam juga dapat membantu mengurangkan risiko pertambahan berat badan secara berlebihan serta mengurangkan kecenderungan untuk mengalami masalah diabetes gestasi semasa mengandung.
Melakukan aktiviti fizikal berintensiti sederhana merupakan aktiviti yang selamat untuk dilakukan bagi individu wanita hamil yang secara umumnya sihat dan tidak memberikan sebarang kesan risiko kepada kesejahteraan janin.
Walau bagaimanapun, pastikan anda mendapatkan pemeriksaan dengan doktor bagi mendapatkan rundingan dan nasihat, khususnya berkaitan manfaat dan risiko senaman yang ingin dilakukan.
Saya tidak sihat dan saya tidak patut bersenam
Sekiranya anda mengalami demam, tidak sihat atau mengalami keadaan kesakitan atau keletihan pada tahap yang tinggi, jangan bersenam. Walaupun pada kebanyakan kes, aktif secara fizikal adalah selamat, tetapi sebaiknya dengarkan ‘suara’ badan anda dan kurangkan aktiviti bersenam jika perlu.
Kesimpulan
Seperti yang dinyatakan pada permulaan artikel ini, bersenam sememangnya merupakan satu aktiviti yang memberikan banyak kebaikan kepada kesihatan badan sama ada secara fizikal atau mental.
Walau bagaimanapun, sebelum anda bersenam, anda harus memastikan bahawa segala aktiviti yang ingin dilakukan anda bersesuaian dengan tahap kesihatan anda. Elakkan daripada bersenam ketika anda berada dalam keadaan terlalu letih. Ini kerana memaksa diri anda untuk terus bersenam hanya akan mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Artikel Oleh Asyikin Md Isa, Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung
Okla nanti kak lily kongsikan lagi artikel ilmiah ni lagi. Terima kasih kepada team Hello Doktor untuk perkongsian ni ek