Friday, October 30, 2015

OH MY ENGLISH! CLASS OF 2015, pelakon SHAHEIZY SAM Pun Ada Jugak

Hi Korang,

Kepada adik-adik peminat setia rancangan Oh My English ni, ada beri baik untuk korang tau..


Oh My English! Class of 2015 kembali menemui penonton mulai 1 November ini dengan jalan cerita yang lebih menarik berkisarkan persahabatan, tahun akhir persekolahan dan juga masa depan. Dengan mengekalkan misi menjadikan pembelajaran Bahasa Inggeris lebih menyeronokkan, siri popular ini membariskan bintang-bintang ternama untuk berganding dengan watak-watak kesayangan kelas 5 Merah. Episod baharu Oh My English ini akan disiarkan di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135), setiap Ahad, 6.30 petang bermula 1 November 2015

Oh My English Class of 2015 kali ini mengangkat tema persahabatan, tahun akhir persekolahan dan masa depan sebagai tarikan utama. Persahabatan yang kukuh dapat dilihat menerusi ikatan yang dibina antara pelajar kelas 5 Merah yang juga merupakan pelajar tahun akhir sekolah tersebut. Kini sudah tiba masanya mereka memikirkan perancangan masa depan masing-masing. Apabila mereka meninggalkan SMK Ayer Dalam sesudah tamat sesi persekolahan, kenangan manis dan memori bersama sahabat-sahabat lain pastinya menjadi ingatan terindah ketika mereka meneruskan kehidupan.


Episod baharu bermula dengan kisah pelajar-pelajar 5 Merah merindui cikgu Bahasa Inggeris kegemaran mereka, Mr. Henry Middleton (Zain Saidin) yang memilih untuk terus mengajar di SK Dalam Ayer yang terletak di sebuah kawasan terpencil di Malaysia. Bukan itu sahaja, , malah See Yew Soon (Roax Tan), Mazlee (Zhafir Muzani), Anusha (Kaameshaa a/p Ravindran), Jojie (Nadiya Nisaa), Zack (Juzzthin) dan Taylor (Juliana Evans) kini terpaksa mempelajari Bahasa Inggeris dengan guru Bahasa Inggeris baharu, Miss Nurul (Cristina Suzanne). Ketika asyik menyesuaikan diri dengan cabaran baharu, mereka juga berdepan dengan dilema membuat keputusan memilih haluan karier masing-masing.

Sementara itu, guru-guru di SMK Ayer Dalam juga berhadapan dengan cabaran dan perjalanan penuh emosi mereka yang tersendiri. Apakah perasaan Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah) apabila mengetahui Mr Middleton akan terus mengajar di SK Dalam Ayer? Bolehkah Cikgu Bedah (Sherry Al-Hadad) menyesuaikan diri dengan Sarjan (Rahim R2) selepas perkahwinan mereka? Benarkah Miss Soo dilamun cinta dengan kehadiran jejaka tampan lagi budiman lakonan Shaheizy Sam yang buat pertama kalinya tampil dalam Oh My English



Selain Shaheizy Sam, bintang undangan lain termasuklah atlet gimnastik Malaysia yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA, Farah Ann Abdul Hadi dan juga pemain bola sepak Tottenham Hotspur, Eric Dier. Supermodel antarabangsa kelahiran Malaysia, Amber Chia juga akan memperagakan catwalk terbaiknya di SMK Ayer Dalam. Tambah menarik lagi, Sasha Saidin akan membuat kemunculan istimewa sebagai kakak Mr Middleton yang sanggup datang dari United Kingdom untuk melawatnya!


Peminat rancangan ini dijemput bersama-sama meraikan persahabatan dalam Oh My English musim ini melalui kempen istimewa ‘Friendship Awards’. Mereka boleh menghantar foto yang diambil bersama sahabat karib masing-masing untuk memenangi kit persahabatan Oh My English yang cukup eksklusif. Kempen ini bertujuan untuk membuka peluang para peminat Oh My English menyatakan penghargaan mereka kepada sahabat masing-masing. Maklumat lanjut berkenaan kempen ini boleh didapati melalui https://www.facebook.com/OhMyEnglish


Sharifah Noraidah, Penolong Naib Presiden Astro Tutor TV berkata, “ Dalam tempoh beberapa tahun ini merupakan satu perjalanan yang hebat buat keluarga Oh My English! Kami sentiasa fokus untuk menjadikan pembelajaran bahasa Inggeris lebih menarik dan menyeronokkan dengan menyuntik elemen-elemen pembelajaran yang boleh menggalakkan para penonton bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan lebih baik. Di samping bersama-sama menambah pengetahuan, peminat dan pengikut baru Oh My English akan turut merasai emosi yang dipaparkan melalui persahabatan di antara pelajar kelas 5 Merah, dalam perjalanan suka dan duka mereka di tahun terakhir persekolahan, sebelum menentukan apa yang ingin dilakukan untuk kerjaya masa hadapan masing-masing.”

Tambahnya lagi, ‘Kami terharu dengan sokongan dan maklum balas hebat yang diterima daripada rakyat Malaysia terhadap Oh My English! Kami telah merekodkan lebh 8 juta tontonan sejak musim pertama. Di rangkaian media sosial, Oh My English telah mencatatkan 18.9 juta tontonan YouTube, 641 ribu peminat di Facebook, 98 ribu pengikut di Twitter dan 44 ribu di Instagram. Awal tahun ini, Oh My English telah mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi pencalonan dalam kategori ‘Children & Young People’, di Anugerah Emmy Antarabangsa 2015 yang merupakan majlis anugerah paling berprestij di dunia. Oh My English terus menawan hati penonton dan kami amat menghargai sokongan padu yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan, pihak media, ibu bapa, kanak-kanak dan tak lupa peminat setia Oh MY English.”

Seperti lazimnya, maraton episod Oh My English! Class of 2015 akan ditayangkan selama 2 hari sebelum bermulanya episod baharu siri ini pada 1 November nanti. Sudah menjadi kebiasaan episod-episod ini ditayangkan untuk memberi peluang peminat menonton kembali 10 episod pertama yang telah pun bersiaran awal tahun ini. Interaksi secara langsung di Twitter bersama peminat dan penonton Oh My English akan turut berlangsung sambil mereka semua menonton marathon ini. Marathon ini akan bermula secara eksklusif, bermula jam 10 pagi, 31 Oktober ini, hanya di Astro TVIQ, saluran 610.

Sebanyak 10 episod bakal memeriahkan musim terbaru Oh My English! Musim terbaharu Oh My English ini menjanjikan lebih banyak keriangan, kejutan dan kaedah baharu untuk memperkasa penguasaan bahasa Inggeris anda. Episod baharu Oh My English! Class of 2015 akan bersiaran secara eksklusif di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135), setiap Ahad, 6.30 petang, mulai 1 November 2015. Untuk melanggan Astro, hubungi kami di talian 03-95433838 ataupun layari www.astro.com.my.


Thursday, October 29, 2015

CANMAKE - Make Up Terbaru Dari TOKYO

Hi Korang,

Rupanya ada makeup terbaru dari Tokyo Jepun ni.

Warna-warnanya not bad jugak, tak caya meh baca ek


Jenama kosmetik terkemuka Jepun, CANMAKE Tokyo, kini menampilkan aliran mekap terbaharu dari negara yang melahirkan budaya kawaii itu ke Malaysia dengan ketibaan rangkaian warna terbarunya untuk wajah, mata, pipi dan bibir. 


Rangkaian ini diperkenalkan semasa pelancaran istimewanya di Kuala Lumpur yang diadakan bersempena dengan sambutan ke-30 tahun jenama itu.


Tema ‘Glossy & Shiny’ menjadi pilihan bagi musim berparti yang bakal tiba, menjanjikan anda bagai ratu yang mempesonakan. Kulit yang tampak semula jadi, cerah dan bersinar mencipta seri yang bercahaya, menjadi tarikan yang memikat, diserlahkan lagi dengan bibir berkilat yang membangkitkan warna semula jadinya. Ciptakan semula penampilan anda dengan trio pembayang mata Juicy Pure Eyes (RM39.90), Your Lip Only Gloss (RM39.90) dan Matte & Crystal Cheeks (RM49.90).

Satu lagi aliran yang kini popular di Jepun adalah ‘Colour Coordinate’ di mana bibir dan pipi dikoordinasikan dengan warna yang sama menggunakan CANMAKE Lip & Cheek Gel (RM49.90) baru. Tekstur yang cair dan licin ini boleh disapukan di kedua-dua bibir dan pipi, menjadikannya produk 2 dalam 1 yang memberikan warna penuh yang boleh diaplikasikan dalam lapisan bagi menambahkan lagi kepekatannya. Bagi membuat sentuhan kawaii yang comel, pemerah pipi bergel dioleskan tinggi pada pipi, betul-betul di bawah mata bagi mencipta rupa wanita jelita dari timur. 

Lengkapkan penampilan wajah dengan palet pembayang mata Secret Colour Eyes (RM45.90) yang menampilkan bayang merah bagi mencipta seri warna pada kelopak mata bawah yang menambahkan seri kulit wajah, sementara kontur mata dapat digelapkan dengan menggunakan penggelap dan penyerlah palet.

"Dua aliran mekap terkini yang semakin digilai di Jepun ini sememangnya disyorkan untuk wanita Malaysia kerana mereka dapat menampilkannya dengan begitu jelita sekali. Ada beberapa persamaan antara kedua-dua budaya apabila kita menyentuh mengenai gaya mekap seperti pilihan umum untuk mekap yang lebih nipis bagi memberikan penampilan yang tampak semula jadi," kata Kaori Anzai yang bertanggungjawab ke atas pasaran luar negara bagi CANMAKE Tokyo.


CANMAKE yang dilancarkan di Tokyo pada tahun 1985, kini boleh diperoleh di 13 negara termasuk Malaysia. Populariti dan kejayaannya bercambah dari komitmennya bagi membawakan gaya dan aliran pada harga mampu milik tanpa menjejaskan kualiti produk yang dicipta dan dihasilkan di Jepun itu.

"Di Malaysia, terdapat pengikut yang besar bagi gaya dan aliran Jepun. Dari fesyen manga dan seni kostum kepada hiburan dan fesyen, tidak ada keraguan bahawa kita dipengaruhi oleh budaya fesyen Jepun. Inilah antara sebab utama mengapa Teeni Enterprise memperkenalkan jenama yang mengikut perkembangan fesyen ini yang berpatutan harganya untuk pasaran Malaysia,“ kata Joyce Au, Pengurus Jualan dan Pemasaran Teeni Enterprise Malaysia, yang merupakan pengedar eksklusif CANMAKE Tokyo.

Di acara tersebut, CANMAKE Tokyo turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang peraduan “Fly to Japan” yang dianjurkan sempena Ulang Tahun ke-30 syarikat tersebut baru-baru ini.


Ho Yee Xin, 30, dari Johor memenangi Hadiah Utama iaitu lawatan 5H4M untuk dua orang ke Jepun, manakala Hadiah Kedua dimenangi oleh Gong Li Wan, 26, dari Sabah dan Pemenang Ketiga adalah Tan Hui Shee, 19, dari Selangor yang masing-masing membawa pulang telefon SONY Xperia M4 dan kamera digital Casio EX-MR1 selain produk CANMAKE.

Rangkaian kosmetik CANMAKE Tokyo boleh didapati di cawangan SASA dan AEON Wellness terpilih seluruh negara.

Wednesday, October 28, 2015

Tips Bergaya dengan Kasut Murah

Hi Korang,


Kasut dan wanita sememangnya tidak boleh dipisahkan dan jangan pelik jika seorang wanita pastinya mempunyai lebih daripada sepasang kasut di rumah mereka. Berbeza dengan kaum lelaki, wanita biasanya memakai kasut yang berlainan bagi acara-acara yang tertentu. Misalnya, untuk menghadiri majlis istimewa seperti undangan perkahwinan, kaum wanita akan memakai high heels atau wedges untuk kelihatan lebih menyerlah dan memilih untuk memakai sandals di hujung minggu apabila keluar membeli-belah. 

Namun, ini bukan bermakna kaum wanita harus berbelanja lebih untuk memenuhi kehendak berfesyen tetapi bijak memilih koleksi kasut murah yang juga boleh digayakan oleh mereka ke mana sahaja. 

Sebagai contoh;


Tidak perlu membeli sepasang kasut yang berharga ratusan ringgit untuk tampil menawan di majlis istimewa. Cukup dengan membeli sepasang classic pumps seperti berikut untuk tampil menawan dan kasut jenis ini amat sesuai untuk digayakan dengan pakaian pilihan anda sempena majlis yang istimewa itu. 


Tips kedua pula dengan membeli ‘kasut 3 in 1’ seperti berikut yang boleh anda gayakan ke mana sahaja. Untuk langkah yang selamat, beli koleksi kasut yang berwarna gelap seperti hitam atau biru tua untuk memudahkan anda memadankan dengan apa jua warna pakaian. 


Dan untuk tips yang ketiga, pastikan anda memiliki sepasang sandals dengan rekaan yang cukup ringkas seperti berikut tetapi tampak ‘mahal’ apabila dipakai. 

Simple is more!