Berikutan daripada kem pemilihan pertama dan kedua yang diadakan di Sabah dan Sarawak, kini Program 1MCC-Astro Kem Bola meneruskan pencarian ke Semenanjung Malaysia meliputi negeri Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor. Kem pemilihan seterusnya akan diadakan di Padang Ipoh, Ipoh, Perak pada hari Sabtu, 13 September dan Ahad, 14 September 2014.
Kanak-kanak yang berumur 10 hingga 12 tahun digalakkan untuk mendaftar secara dalam talian di
www.astrokasih.org/kembola untuk memastikan penyertaan pada hari pilihan mereka.
Penyertaan secara dalam talian untuk empat lokasi yang selebihnya kini dibuka, sementara penyertaan bagi kem pemilihan di Perak akan ditutup pada hari Isnin, 8 September 2014.
Penyertaan secara langsung (walk-in registration) di kem pemilihan pada hari tersebut turut dialu-alukan. Namun, harap maklum bahawa tempat adalah terhad dan mereka yang mendaftar awal akan diutamakan. Bagi yang berminat, sila bawa bersama salinan MyKad atau sijil kelahiran semasa pendaftaran.
Seramai 64 orang peserta terbaik akan dipilih daripada sesi kem pemilihan untuk menjalani Kem Latihan Lanjutan yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur. Pada peringkat ini, para peserta akan menjalani latihan intensif bola sepak yang memberi tumpuan kepada kemahiran asas bola sepak, perangkaan strategi serta aktiviti-aktiviti sampingan yang bertujuan untuk memupuk semangat kerja berpasukan dan nilai-nilai positif di kalangan mereka.
Seusai sahaja menjalani Kem Latihan Lanjutan, seramai 32 orang yang terdiri dari peserta lelaki dan perempuan akan dipilih untuk mengikuti Program Latihan Luar Negara di mana mereka akan didedahkan dengan latihan peringkat akademi dan juga peluang untuk bersaing dengan rakan-rakan mereka melalui rangkaian siri perlawanan persahabatan di luar negara.
Jordan Humphrey, Ketua Jurulatih 1MCC Sports Sdn Bhd berkata “Program 1MCC-Astro Kem Bola bukan sahaja menggalakkan perkembangan kemahiran bola sepak untuk bakat-bakat muda lelaki tetapi pendedahan yang sama turut diberikan untuk bakat-bakat muda perempuan.
Untuk kem pemilihan, rangkaian modul stesen telah direka untuk menguji kemahiran asas para peserta antaranya hantaran, menggelecek dan sepakan. Tahun ini, kami telah menerapkan elemen baru bagi menguji kebolehan serangan dan pertahanan para pemain. Kami sangat teruja melihatkan begitu ramai pemain bola sepak muda yang berpotensi berada di sini pada hari ini. Kami berharap agar program ini akan terus memupuk dan menggalakkan pemain bola sepak muda Malaysia agar terus bertambah baik demi minat mereka terhadap bola sepak.”
1MCC yang berpengkalan di Kuala Lumpur menyediakan kejurulatihan bola sepak berasaskan komuniti profesional yang memberi tumpuan kepada penyediaan program pembangunan belia secara menyeluruh dalam persekitaran yang inklusif. Kerjasama pihak 1MCC bermula dengan pasukan Cardiff City FC, Wales dan United Kingdom, kemudiannya mereka telah meluaskan usaha sama dengan beberapa kelab bola sepak antarabangsa antaranya West Ham United FC, Wolverhampton Wanderers FC, Sheffield Wednesday FC, Charlton Athletic FC, Glasgow Rangers di United Kingdom; UC Sampdoria, AC Chievo Verona dan pasukan wanita seperti ASD Torres di Italy; FC Utrecht di Belanda dan Portland Timbers di USA.