Sunday, October 13, 2024

Konsert The Journey of Sound Dato Sri Siti Nurhaliza & Judika Temui Peminat 14 Dis 2024

Hi Korang,

Dua pesohor dunia hiburan dari dua negara serumpun dengan dua pesona tersendiri siap untuk memukau dan menggegarkan peminat di seluruh Nusantara.


Kedua-duanya mempunyai magis tersendiri yang telah membawa kebahagiaan buat peminat lewat karya ciptaan dan nyanyian sepanjang lebih 20 tahun berkecimpung sebagai penyanyi.

Dua figura ini adalah puspawati Malaysia, Dato Sri Siti Nurhaliza dan pemilik vokal lelaki mantap dari Indonesia, Judika. Dengan bangga pihak penganjur, Universe Gateway mempersembahkan keunggulan kolaborasi perdana Siti Nurhaliza dan Judika sebagai penghibur dalam konsert julung kali berjudul The Journey of Sound.

The Journey of Sound bakal bertemu peminat di Stadium Merdeka pada 14 Disember 2024 dengan harapan besar daripada penganjur yang mahu konsert ini menjadi tanda aras dan penutup tahun 2024 yang sentiasa melestarikan 'persahabatan' dua negara menerusi bidang hiburan.

"Kami di Universe Gateway sangat berbesar hati menganjurkan The Journey of Sound yang menampilkan kolaborasi dua figura hebat dunia hiburan Nusantara iaitu Dato Sri Siti Nurhaliza dan Judika di Stadium Merdeka pada 14 Disember 2024 ini. Mungkin khalayak sudah pernah menonton Siti Nurhaliza dan Judika berduet atau satu pentas sebelum ini tapi percayalah The Journey of Sound akan menjadi panggung yang menyaksikan mereka mempersembahkan sesuatu yang di luar jangkaan anda. The Journey of Sound akan menjadi konsert mega daripada dua penyanyi daripada negara berbeza namun dengan tujuan sama iaitu mengukuh dan mengeratkan silaturahim peminat muzik di Nusantara," ujar Isa yang merupakan Ketua Pegawai Kewangan daripada Universe Gateaway.

Lebih daripada itu, nama The Journey of Sound juga digunakan bersempena dengan perjalanan karier dan jatuh bangun sepanjang dua anak seni berkaliber ini mencetak sejarah dalam dunia hiburan.



Siti Nurhaliza dengan 28 tahun pengalaman sebagai penghibur yang telah melakar pelbagai sejarah dan pengiktirafan serta membawa Malaysia dikenali dunia sementara Judika atau nama sebenarnya, Judika Nalon Abadi Sihotang telah bergelumang serta terus sukses di usia 20 tahun pembabitan bakal menjadikan The Journey of Sound konsert yang rugi jjka dilepaskan.

"The Journey of Sound akan dipenuhi warna warni perjalanan seni dan 'bunyi' muzik yang telah mengharumkan nama Siti Nurhaliza dan Judika sepanjang perjalanan seni mereka," tambah Isa lagi.

Sementara itu Judika melahirkan keterujaan dan berbesar hati untuk berkolaborasi dengan penyanyi yang disegani dan dihormati, Siti Nurhaliza.


"Tentu sahaja saya tidak punya alasan untuk menolak satu panggung bersama Dato Sri Siti Nurhaliza yang saya hormati, apa lagi berkolaborasi dengan beliau dalam sebuah konsert berjudul The Journey of Sound. Saya tidak boleh menjanjikan bulan dan bintang tetapi percayalah anda akan menikmati sebuah pengalaman luar biasa di The Journey of Sound bukan hanya kerana saya dan Siti Nurhaliza selaku subjek utama tetapi bagaimana keseluruhan produksi konsert ini mempersembahkan konsep yang spektakular untuk ditonton," ujar Judika.


Untuk itu, buat peminat Siti Nurhaliza dan Judika jangan sampai terlepas membeli tiket-tiket dengan harga kategori bermula RM 199 (CAT 5), RM 299 (CAT 4), RM 399 (CAT 3 LOWER/ UPPER), RM 499 (SEAT 3), RM 599 (SEAT 2), RM 699 (SEAT 1), RM 799 (ROCK ZONE), RM 799 (VIP ROYAL BOX), RM 899 (VIP ROCK ZONE), RM 1,199 (VIP), RM 1,299 (SUPER VIP).

Penjualan tiket dibuka bermula 12OKTOBER 2024 dengan pembelian EARLY BIRD akan berlangsung daripada minggu pertama sehingga ketiga.

Kesemua kategori tiket boleh dibeli menerusi TICKET2U.COM.MY. 


INFORMASI ACARA: THE JOURNEY OF SOUND

ARTIS: DATO SRI SITI NURHALIZA & JUDIKA LOKASI: STADIUM MERDEKA

TARIKH: 14 DISEMBER 2024

MASA: 8 MALAM

PENGANJUR: UNIVERSE GATEAWAY

PEMBELIAN: TICKET2U.COM.MY

Saturday, October 12, 2024

Empat Band Popular Bakal Gamat Pentas DESTINY OF MUSIC 2.0

Hi Korang,

Susulan sambutan luar biasa terhadap Konsert Destiny of Music yang buat julung kali diadakan pada bulan Jun lalu, syarikat B De Paris Project selaku penganjur utama dan Sinemalis Studio dan Westzone Entertainment selaku penganjur bersama dengan berbesar hati membawakan edisi kedua Konsert Destiny of Music 2.0 yang dijadualkan berlangsung pada 15 November 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.


Kembali lebih bertenaga dengan persembahan pentas yang pastinya memukau, Konsert Destiny of Music 2.0 bakal menampilkan empat band popular tanah air iaitu Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Empty Page dan Insomniacks yang akan menghiburkan para penonton dengan lagu-lagu hits mereka selama dua jam tanpa henti.



Mengulas lanjut mengenai Konsert Destiny of Music 2.0, Burhan Ahmad selaku Ketua Pegawai Eksekutif, B De Paris Project yang juga merupakan penganjur konsert berkata, “Kejayaan dan penerimaan positif yang diterima sewaktu penganjuran edisi yang pertama baru-baru ini telah mendorong kami untuk terus menganjurkan lebih banyak konsert-konsert sebegini. 


Selain dapat mengukuhkan lagi kedudukan B De Paris Project dalam industri hiburan tempatan, penganjuran ini juga mampu memartabatkan serta memberi inspirasi kepada penggiat seni tempatan menerusi platform yang ada sekaligus membuka lebih banyak peluang kerjasama pada masa hadapan. Kami juga amat berbesar hati di atas kesudian barisan artis seperti Akim & The Majistret, Kugiran Masdo, Imsoniacks dan Empty Page yang sudi bekerjasama dengan kami untuk menjayakan konsert ini.

Oleh kerana Konsert Destiny of Music 2.0 merupakan kesinambungan daripada konsert yang diadakan sebelum ini, kami sepasukan telah bekerja keras untuk membuat perancangan rapi bagi memastikan agar penganjuran kali ini jauh lebih baik daripada yang pernah dianjurkan.


Kami berharap konsert ini bakal berlangsung dalam suasana gemilang seperti yang dirancang sekaligus membekaskan impak yang mendalam. Jadi, jangan tunggu lagi kerana kami menawarkan harga tiket yang berpatutan, sesuai untuk semua golongan peminat termasuk pelajar, pihak korporat dan sebagainya. Dapatkan tiket segera dan datang beramai-ramai bersama sahabat handai dan seisi keluarga kerana para peminat bakal dijanjikan dengan pengalaman menonton maksimum.”

Tiket untuk menyaksikan Konsert Destiny of Music 2.0 akan mula dijual dengan harga yang berpatutan serendah RM55 (Silver), RM85 (Gold), RM135 (Diamond), RM155 (Platinum) dan RM285 (VIP) bermula 10 Oktober 2024, jam 12:00 tengah hari di platform rasmi ticket2u https://www.ticket2u.com.my/


Penganjuran Konsert Destiny of Music 2.0 turut diserikan dengan kehadiran Zai Sri Gemilang selaku Rakan Strategik dan Oh My Media selaku Rakan Media Rasmi.

Sebarang maklumat lanjut mengenai penganjuran konsert ini juga akan diumumkan dari semasa ke semasa.



Friday, October 11, 2024

Penyatuan Strategik: Public Bank Akan Ambil Alih Kepentingan Mengawal dalam LPI

Salam Semua,

Public Bank Berhad (“Public Bank”) menandatangani perjanjian jual beli bersyarat (“Perjanjian Jual Beli”) dengan Estet Mendiang Tan Sri Dato’ Sri Dr. Teh Hong Piow (“Estet”) dan Consolidated Teh Holdings Sdn Bhd (“ConTeh”) pada 10 Oktober 2024 untuk mengambil alih saham-saham biasa secara agregat sebanyak 175,896,000 dalam LPI Capital Bhd (“LPI”), mewakili kira-kira 44.15% kepentingan ekuiti dalam LPI, untuk jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM1.72 bilion (“Cadangan Pengambilalihan”).

LPI, sebuah syarikat yang disenaraikan pada Pasaran Utama Bursa Malaysia, telah beroperasi selama lebih 60 tahun dan terlibat terutamanya dalam penajajaminan insurans am. LPI kini mempunyai 21 buah cawangan di serata Malaysia, sebuah cawangan di Singapura dan turut beroperasi di Kemboja melalui sebuah syarikat bersekutu.


Semasa bercakap pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani Perjanjian Jual Beli itu, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tay Ah Lek, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank berkata, “Cadangan Pengambilalihan ini merupakan peluang strategik untuk Public Bank mengembangkan lagi segmen insurans amnya dalam pasaran di Malaysia melalui LPI. Ini membolehkan Public Bank untuk turut segera berada dalam pasaran insurans dan memperkukuhkan segmen insurans am di Malaysia sebagai perkhidmatan sampingan yang komprehensif bagi perkhidmatan kewangan dan Takaful Keluarga.

Beliau berkata, “Cadangan Pengambilalihan ini juga selari dengan rancangan Kumpulan untuk berkembang bukan hanya secara organik tetapi melalui pengambilalihan yang strategik untuk memperluaskan tawaran produk dan perkhidmatan kami seperti yang dibuat melalui pengambilalihan Public Bank Securities Vietnam Company Limited baru-baru ini, yang membolehkan Kumpulan mengembangkan tawaran perkhidmatan kewangannya di Vietnam menerusi perkhidmatan perdagangan sekuriti.”

Tan Sri Tay berkata, “Pengambilalihan strategik Kumpulan LPI, sebuah syarikat insurans am terkemuka yang telah lama wujud di Malaysia, merupakan peluang jelas dan unik untuk kami memacu wawasan kami ke arah “Model Perbankan Universal” yang menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan yang komprehensif serta produk dan perkhidmatan berkaitan yang lain di bawah kumpulan yang sama.

Dengan rangkaian sedia ada kami iaitu lebih daripada 260 buah cawangan yang ditempatkan di seluruh negara, Kumpulan LPI boleh memanfaat dan memperluaskan saluran pemasaran serta mengembangkan perniagaan insurans amnya di Malaysia. Selain itu, kami juga boleh memanfaatkan rangkaian jualan dan pemasaran LPI, selain memberi perkhidmatan kami kepada klien dan pelanggan LPI.

Selain menawarkan produk dan perkhidmatan masing-masing, Public Bank dan LPI juga boleh meneroka peluang untuk membangunkan produk dan perkhidmatan bersepadu baharu, khusus untuk memenuhi keperluan kewangan dan insurans pelanggan kami.”


Memandangkan ini merupakan urus niaga pihak yang berkaitan, Cadangan Pengambilalihan ini tertakluk pada kelulusan para pemegang saham tidak berkepentingan Public Bank pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (“EGM”) yang akan diadakan kelak. Sekiranya Cadangan Pengambilalihan ini diluluskan di mesyuarat tersebut, Public Bank diwajibkan untuk memberi tawaran pengambilalihan mandatori (“MGO”) (“Cadangan Tawaran”) bagi kepentingan ekuiti selebihnya dalam LPI yang belum lagi dimiliki oleh Public Bank.

Public Bank telah menerima kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia bagi Cadangan Pengambilalihan ini dan pelaksanaan korporat ini dijangka selesai pada suku pertama tahun 2025.


Sekiranya tiada halangan, Cadangan Pengambilalihan ini dijangka akan menjadi nilai tambah dan akan menyumbang secara positif kepada perolehan Kumpulan Public Bank pada masa hadapan.

Pada sidang akhbar yang sama, Diona Teh Li Shian, anak perempuan bongsu mendiang Tan Sri Dato’ Sri Dr. Teh Hong Piow juga mengumumkan bahawa Estet and ConTeh berhasrat untuk membuat tawaran terhad bagi penjualan (“ROFS”) satu bahagian daripada Saham Public Bank, secara progresif dalam tempoh 5 tahun seiring dengan Akta Kewangan dan Perkhidmatan.

Diona Teh berkata, “Bapa saya sering memberitahu saya bahawa kejayaan Public Bank bukanlah kejayaan beliau secara individu – kejayaan itu dibina atas kepercayaan dan kesetiaan pemegang-pemegang saham serta komitmen berterusan kakitangannya, atau apa yang beliau panggil sebagai “keluarga korporat” beliau.”

“Sebagai menghormati legasi beliau dan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kami yang tinggi, kami akan melaksanakan eksesais untuk mengagihkan sebahagian daripada saham Public Bank, pada harga diskaun, kepada semua kakitangan, pengarah dan pemegang saham Kumpulan Public Bank yang layak. Inisiatif ini bertujuan untuk memastikan Public Bank kekal dalam genggaman mereka yang sentiasa memastikan pertumbuhan dan kejayaannya, sejak dahulu lagi, sehingga membolehkan kami untuk terus membina legasi kami bersama.”

Beliau menambah kata, “Walaupun kami akan memperkemaskan kepentingan kami, saya mengambil peluang ini untuk menegaskan sekali lagi komitmen kami yang teguh dan tidak berbelah bahagi untuk kekal sebagai pemegang saham utama Public Bank. Ini bukan hanya peranan atau hak milik kami – ia merupakan penghormatan dan tanggungjawab yang akan kami pupuk dengan penuh kasih sayang. Kami akan terus menumpukan untuk meneruskan legasi bapa saya dan akan terus menerajui institusi terhormat ini.”

“Kami amat berterima kasih kepada Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan atas kepercayaan mereka terhadap kami melalui kelulusan yang diberi kepada kami untuk terus menerajui Public Bank. Dengan sokongan mereka, kami akan berusaha sedaya upaya untuk menerajui Public Bank dengan bersemangat, berintegriti dan berwawasan yang telah meletakkan Public Bank pada kedudukannya sejauh ini.”