Hi Korang,
Masa travel je Bintulu tu, ada launching Nissan TEANA ni, so cam biasa ada assistant yang tolong pi cover event ye.
Meh baca sket info pasal kereta terbaru Nissan ni ek
Edaran Tan Chong
Motor (ETCM) melancarkan Nissan Teana serba baharu yang amat
ditunggu-tunggu. Dikilangkan di Tan Chong Motor Assemblies (TCMA), Serendah
Malaysia, Nissan Teana serba baharu generasi ketiga menawarkan para pelanggan
di Malaysia dengan penampilan yang lebih berprestij. Ia diserlahkan menerusi
gayaan hadapan agresif, reka bentuk gril baharu yang kemas dan lampu utama
dengan lensa projektor. Ia sememangnya sebuah sedan yang hadir bersama ciri
pintar dan kontemporari, lari daripada reka bentuk sedan konvensional untuk
segmen D.
Pada majlis
pelancaran, Pengarah Eksekutif Edaran Tan Chong Motor, Dato’ David Chen
berkata: “ETCM berbesar hati untuk
memperkenalkan Nissan Teana serba baharu generasi ketiga kepada pengguna di
Malaysia. Sedan terbaharu dalam segmen D ini merupakan model utama kami.
Tagline Teana serba baharu iaitu “Drive to Greatness” membuktikan
prestasi pemanduan, kemewahan dan keselesaan terbaik untuk semua pelanggan kami
yang bijak menilai serta golongan usahawan muda. Setiap inci dan perincian
Nissan Teana serba baharu telah dihasilkan dengan teliti untuk mereka yang
menghargai perkara lebih baik dalam hidup. Kami percaya bahawa gayaan yang
kemas, inovasi termaju dan kemewahan Nissan Teana serba baharu akan menawarkan
pemanduan yang luar biasa!”.
Perubahan utama
pada Nissan Teana serba baharu ialah enjin
QR25DE yang baru dibangunkan bersama penambahbaikan ketara pada julat tork yang rendah dan sederhana. Kebuk
pembakaran yang telah dipertingkatkan dan kecekapan emisi juga membuatkan
prestasi pemanduan varian 2.5XV lebih lancar dan ekonomikal. Enjin penuh kuasa
ini didatangkan bersama sistem CVTC Berkembar (Twin Continuously Variable-valve Timing
Control) Nissan.
Teana 2.5XV hadir
dengan kuasa maksimum 173hp dan tork lebih tinggi iaitu 234Nm jika dibandingkan
dengan model terdahulu (228Nm). Nissan mengekalkan penggunaan enjin MR20DE yang telah terbukti pada
varian 2.0XL dan 2.0XE. Enjin empat silinder, 16 injap bersesaran 1,997cc itu
menawarkan kuasa maksimum 136hp dan tork 190Nm.
Kesemua tiga
varian itu dibekalkan dengan kotak gear XTRONIC
CVT generasi seterusnya yang menawarkan penjimatan bahan api mengagumkan,
berkuasa dan pecutan yang tepat terutama ketika hendak memotong kenderaan lain
di lebuh raya. Ia juga tahan lasak berbanding transmisi automatik konvensional.
70% komponen XTRONIC CVT telah direka semula untuk mengurangkan tahap geseran
dalaman dan menjadikannya lebih kompak. Berdasarkan kepada data ujian dalaman
Nissan, Nissan Teana 2.0 liter baharu boleh mencapai jarak 13.5km/l manakala
Teana 2.5 liter pula boleh bergerak sejauh 13.3km /l.
Suspensi belakang Multi-link dan sistem Stereng Kuasa Elektro-Hidraulik (Electro-Hydraulic
Power Steering, EHPS) telah digabungkan untuk menawarkan pemanduan yang lancar,
selain lebih stabil dan mencengkam di atas jalan raya. Keseimbangan di antara
stereng responsif dan pengendalian yang selesa membantu menawarkan pengalaman
pemanduan lebih selamat serta meyakinkan ketika membelok.
Ciri AUC (Active Understeer Control)
menggunakan logik kawalan pintar dan penggerak brek bermaklum balas tinggi
untuk mengaktifkan brek pada bahagian dalam roda hadapan ketika mengambil
selekoh tajam. Teknologi inovatif yang turut berfungsi ialah VDC (Vehicle Dynamic Control) dan TCS (Traction Control System). Ia
membantu pemandu meningkatkan kawalan, selain menyediakan belokan yang selamat
serta lancar di atas jalan yang licin, basah atau berpasir.
Rekaan luarannya
cukup elegan dan menarik. Penampilan baharu yang lebih aerodinamik menyerlahkan
rasa sebuah sedan yang premium dan berkualiti. Garis karekter yang beralun dan
tajam dari arah hadapan ke belakang mencetuskan aliran momentum dan
mengurangkan daya pekali seretan. Gril hadapan diletak dengan kemas di antara
lampu utama jenis projektor yang menghasilkan gayaan berani dan sofistikated
pada bahagian hadapan. Varian 2.5XV dilengkapi bumbung suria yang menawarkan
pandangan dan cahaya semula jadi ke dalam kabin.
Melihat dengan
lebih dekat ruang dalaman Nissan Teana serba baharu, anda pasti kagum dengan
kemasan berwarna perak serta tempat duduk dibalut kulit yang lembut dan
berkualiti tinggi. Kabin ini sememangnya luas dan selesa. Reka bentuk tempat
duduk hadapan dioptimumkan untuk rasa lebih luas berbanding saiz sebenarnya.
Terdapat penambahbaikan yang ketara pada ruang kaki penumpang belakang
berbanding model sebelum ini.
Nissan Teana
serba baharu hadir bersama kapasiti ruang kargo sebanyak 516 liter. Tempat duduk yang boleh dilipat dengan konfigurasi 60:40 menggantikan
reka bentuk yang ada pada generasi terdahulu bagi membolehkan barangan besar
dapat disimpan dengan lebih mudah.
Sama seperti
menaiki kelas pertama penerbangan, Nissan Teana serba baharu dilengkapi Reka Bentuk Tempat Duduk “Berinspirasikan
kepada Sifar Graviti” yang membantu mengurangkan beban pada otot dan tulang
belakang, selain menambah baik aliran darah. Ia membantu mengurangkan keletihan
jika memandu dalam tempoh yang lama. Pada masa sama memastikan pengalaman
pemanduan yang selesa sepanjang perjalanan yang jauh.
Bunyi bising di
dalam ruang kabin Nissan Teana serba baharu telah dikurangkan secara
signifikan. Terima kasih kepada penggunaan material yang menyerap bunyi bising,
meredam getaran dan kekasaran (NVH). Bukan itu sahaja, varian 2.5XV dilengkapi Sistem Audio Premium BOSE dengan 9 unit
pembesar suara yang menawarkan kualiti bunyi keliling mengagumkan.
Paparan ADAD (Advanced
Drive Assist Display) bersaiz empat inci dengan warna grafik 3D diletakkan di
hadapan pemandu agar mudah dilihat. Manakala butang kawalan audio dan sistem
kawalan jelajah (cruise control) diletakkan pada stereng agar mudah dioperasi.
Untuk lebih mudah dan selesa, Nissan Teana serba baharu dilengkapi Kawalan Suhu
Automatik Dua Zon dengan corong pendingin hawa di belakang, Kunci Pintar
(sistem kemasukan tanpa kunci) dan butang penghidup enjin.
Nissan Teana
serba baharu menawarkan satu rangkaian ciri keselamatan inovatif yang mengutamakan
aspek keselamatan pemandu dan penumpang. Ia dilengkapi enam beg udara SRS di seluruh kabin untuk melindungi mereka yang
tersayang. VDC (Vehicle Dynamic
Control) dan TCS (Traction Control
System) bersama beberapa sistem kawalan keselamatan seperti AUC (Active Understeer Control), ABS (Anti-locking Braking System), EBD (Electronic Brakeforce
Distribution) dan BA (Brake Assist
System) yang membantu pemandu supaya terus dapat mengawal kenderaan dan
mengelak halangan dalam situasi cemas. Ciri-ciri termaju ini meningkatkan
kestabilan kenderaan dan mengelakkan gelinciran di atas jalan yang licin.
Sementara HSA (Hill Start Assist)
pula mengelakkan kereta daripada mengundur ketika hendak memulakan perjalanan
di laluan berbukit.
Lampu utama jenis Xenon dengan Pengaras Automatik dan
Pembersih (hanya ada pada varian 2.5XV), mampu meningkatkan
pandangan pada waktu malam. Lampu utama itu hadir dengan Sistem Lampu Automatik
Termaju yang akan menyala secara automatik ketika hujan (atau kondisi gelap)
apabila penggilap cermin hadapan dioperasikan secara berterusan.
Ciri-ciri
keselamatan yang lain termasuklah Lampu Brek Ketiga LED yang diletakkan pada
posisi tinggi, poin tempat duduk kanak-kanak ISOFIX, tali pinggang keledar
hadapan dengan pengehad beban dan pra-regangan, Emergency Locking Restraint
(ELR) 3 poin, penggilap cermin hadapan boleh ubah kelajuannya, binaan badan kukuh
serta binaan hadapan kenderaan untuk perlindungan pejalan kaki.
Nissan
Teana serba baharu boleh didapati dalam tiga varian: 2.5XV, 2.0XL and 2.0XE.
Lima warna disediakan termasuklah satu warna baharu iaitu biru (Storm Blue), selain warna
perak (Tungsten Silver), hitam (Diamond Black), emas (Bronze Gold) dan putih (Brilliant White).
Harga
Nissan Teana serba baharu di atas jalan ialah
RM169,900 untuk varian 2.5XV, RM149,800 bagi model
2.0XL dan RM139,800 untuk 2.0XE. Semua varian ini hadir bersama
jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km, mana-mana tiba
dahulu.
Tempahan
dan pandu uji kini boleh dibuat di semua bilik pameran Nissan di seluruh
negara. Orang ramai boleh mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai Nissan
Teana serba baharu di laman web: www.teana.com.my atau menghubungi
talian 1800 88 8368. Maklumat lanjut mengenai model-model Nissan yang lain,
para pelanggan boleh melayari laman web www.nissan.com.my atau kunjungi mana-mana bilik
pameran Nissan di seluruh negara.
+++
APPENDIX
AKSESORI YANG
BOLEH DIDAPATI: NISSAN TEANA SERBA BAHARU
|
||
No.
|
Alat ganti
|
Harga Unit (RM)
|
1.
|
Tinting - V-Kool 4mil Security Film
|
4,200
|
2.
|
Trunk Tray
|
250
|