Ramai daripada kita mengenali Madam Kwan’s – restoran di mana anda tidak akan tersilap apabila mengaitkannya dengan hidangan Malaysia sebenar dengan rasa karinya yang enak, rendang serta juadah nasinya yang terkenal - tetapi bagaimana dengan wanita bertopi dan memakai kaca mata yang selalu tersenyum itu?
Nama sebenar beliau ialah Madam Kwan Swee Lian dan wanita berusia 83 tahun ini masih gigih untuk bangun setiap awal pagi untuk memantau penyediaan makanan di dapur utama dan merupakan sosok yang biasa berada di cawangan Pavilion Kuala Lumpur pada waktu siang dengan perawakan yang ramah, cermin mata berbingkai besar serta topi yang menjadi identitinya.
Sebagai penghormatan kepada tokoh yang fasih bertutur dalam Bahasa Kantonis dan Bahasa Malaysia ini, perniagaan milik keluarga itu menerbitkan biografi khas untuk berkongsi mengenai kisah hidup Kwan yang penuh suka duka di samping menampilkan resipi-resipi kegemaran beliau dari zaman kanak-kanak selain resipi dari Madam Kwan’s sendiri.
Buku yang ditulis oleh cucu perempuan beliau, Catherine Foo yang bertajuk, “Madam Kwan: Her Untold Story And Beloved Recipes” menceritakan bagaimana usahawan salon kecantikan ini merupakan seorang yang gigih dan berdaya usaha tanpa mempunyai pengalaman dalam bidang masakan ini beralih kepada perniagaan restoran yang seterusnya membangun menjadi perniagaan yang Berjaya dengan usaha sama anak lelaki serta menantunya, Rudy dan Maureen Ooi.
Hari ini, Madam Kwan’s bertapak di pusat membeli-belah utama di negara ini - Suria KLCC, Pavilion KL, Mid Valley Megamall, Bangsar Shopping Centre, One Utama Shopping Centre, Empire Shopping Gallery dan Sunway Pyramid serta di Genting Highlands Resort.
Biografi ini turut menyentuh mengenai kehidupan peribadi beliau dan kisah tentang beliau kehilangan anak lelaki sulung serta keluarganya yang mendukacitakan dalam tragedi runtuh Highland Towers pada tahun 1993 dan diikuti pula dengan kematian seorang lagi anak lelakinya dalam tempoh jarak sepuluh tahun kemudiannya, lantas berkongsi bibit-bibit sukar yang jarang diketahui mengenai kekuatan, semangat dan keupayaan Swee Lian dalam menangani dugaan yang menimpa beliau.
Dengan sifat cintanya terhadap bidang masakan selama lebih 60 tahun, tidak hairanlah buku biografi ini dipenuhi dengan resipi-resipi lazat yang melambangkan latar belakang beliau yang berasal dari keturunan Hakka, selain menu kegemaran Barat dan Malaysia dari Madam Kwan’s.
Dua puluh lima resipi dipilih teliti termasuklah kegemaran klasik dari restoran seperti Hainanese Chicken Chop, Udang Petai beraroma harum, Kari Kepala Ikan yang lemak berkrim serta Nasi Bojari yang ikonik.
(L-R) Datin Maureen Ooi, CEO of Madam Kwan's Cafe & Cuisine, Madam Kwan Swee Lian and Catherine Foo, the Author copy
"Di sebalik jenama Madam Kwan’s yang terkenal dan hidangannya yang enak adalah kisah menambat perhatian tentang seorang wanita bersemangat kental dan tabah yang tidak diketahui oleh ramai orang. Bagi cucu perempuan beliau, “Saya amat berbangga kerana dapat memberi penghormatan kepadanya kerana beliau adalah sangat gigih dan bakat besar. Beliau sememangnya seorang wanita yang menakjubkan, dan saya fikir kisah beliau, yang diceritakan buat kali pertama secara terperinci ini adalah bukti kekuatan dan semangat yang ada dalam diri beliau. Saya harap anda semua selesa membaca mengenai kisah nenek saya sebagaimana saya seronok belajar mengenai kisah pahit manis yang beliau lalui," kata Foo semasa majlis pelancaran.
Madam Kwan dengan rendah diri mendedikasikan kejayaan beliau selama beberapa tahun ini kepada para pelanggan, keluarga serta pembekalnya. "Kejayaan bukan milik saya seorang tetapi saya perlu berterima kasih kepada keluarga saya atas kesabaran, kesetiaan dan usaha keras mereka dalam mengendalikan perniagaan ini. Selain itu, sokongan yang tidak berbelah-bahagi daripada kakitangan dan pembekal selama bertahun-tahun kepada kedua-dua perniagaan Madam Kwan’s dan Sakura sebelum ini meringankan beban saya. Kegembiraan yang terpancar di wajah pelanggan apabila mereka keluar dari restoran menjadikan semua ini berbaloi kepada saya," kata Madam Kwan Swee Lian.
Meraikan kehidupan yang penuh warna-warni dan sumbangan beliau dalam mempromosikan juadah Malaysia, selebriti tempatan serta rakan kongsi perniagaan, ahli keluarga terdekat turut hadir di majlis pelancaran, di mana jenama itu turut memperkenalkan Pes Kari Madam Kwan, yang mempunyai rempah-ratus beraroma seperti kunyit, serai, belacan dan buah keras.
Dengan adanya pes kari sedia dimakan yang memudahkan ini, para peminat juadah istimewa Madam Kwan’s kini boleh menikmati rasa enak rendang daging lembutnya yang popular, kari ayam, kari kepala ikan serta laksa kari di rumah.
Ketua pegawai eksekutif syarikat, Datin Maureen Ooi berkata, “Saya dan Rudy mahu menerbitkan buku mengenai kisah hidup Ibu bagi memberi penghormatan kepada pencapaian beliau yang didatangkan bersama beberapa resipi kegemarannya kerana kedua-duanya mempunyai peranan yang sama penting dalam hidupnya sejak dari awal lagi. Buku ini adalah penghormatan kepada wanita yang bersemangat kental ini.”
Kedua-dua pes kari dan buku “Madam Kwan: Her Untold Story And Beloved Recipes” boleh didapati di semua cawangan Madam Kwan’s selagi stok masih ada. Buku ini dijual pada harga runcit RM89.00 senaskhah, manakala Pes Kari Madam Kwan pula dijual dengan harga RM13.90. Untuk tawaran yang lebih bernilai, para pelanggan boleh membeli set buku dan pes kari ini secara kombo dengan harga RM100.00 bersih, yang akan diisi dalam sebuah beg jinjing khas.
Mereka yang berhasrat mendapatkan naskhah yang ditandatangi oleh Madam Kwan dan ingin berjumpa dengannya sendiri boleh hadir di restoran di Pavilion KL pada 30 September dan Mid Valley Megamall pada 7 Oktober, antara jam 3.00 – 5.00 petang.
Kaki Bebel,
LILY
www.ciklilyputih.com