Hi Korang,
Info terbaru bagi peminat MasterChef Asia Lifetime tau.
Meh baca ni
A+E Networks ® Asia baru-baru ini mengumumkan senarai juri untuk musim pertama program MasterChef Asia. Para panel terdiri daripada pakar kulinari kelahiran Hong Kong Susur Lee; pemegang 3 bintang Michelin Chef Bruno Ménard; dan personaliti kulinari TV kelahiran Singapura yang juga finalis MasterChef Australia, Audra Morrice.
Susur Lee digelar sebagai “Father of Fusion” dan telah memenangi pelbagai anugerah kulinari termasuklah “Sepuluh Chef Terbaik Alaf Ini” dari majalah Food and Wine dan anugerah ‘5-Star Diamond’ dari American Academy of Hospitality Sciences. Beliau memiliki empat restaurant bertaraf tinggi di Kanada iaitu LEE, Luckee, Bent dan LEE Kitchen di Toronto dan juga TungLok Heen di Singapura. Selama 20 tahun, beliau telah berkhidmat sebagai Chef Perunding Eksekutif untuk Kumpulan TungLok yang memiliki hampir 40 restoran di Asia.
Chef Bruno Ménard menerima pengiktirafan 3 bintang Michelin di L’Osier, restorannya di Tokyo yang telah diundi sebagai salah satu restoran Perancis terbaik di luar negara Perancis. Bruno berpengalaman menubuhkan beberapa restoran terbaik di Asia selama 20 tahun dan kini menguruskan firma perunding kulinari terkemuka di Singapura. Beliau dilahirkan di Perancis. Bapanya seorang pakar coklat dan datuknya chef pastri. Kepakaran beliau amat terserlah dalam bidang kulinari dan minat serta kesungguhannya terhadap bidang gastronomi sememangnya tiada tandingannya.
Ramai yang menggelar Audra Morrice sebagai Martha Stewart Asia. Kejayaan beliau dalam MasterChef Australia telah melonjakkan kerjayanya dalam bidang makanan dan membawa beliau ke dunia kulinari TV. Audra memiliki sebuah syarikat penyediaan makanan yang berjaya, menjadi hos untuk pelbagai acara di restoran ‘pop-up’ dan juga mengajar kelas masakan Asia Tenggara. Beliau bakal menerbitkan buku masakan yang dinantikan ramai dan melancarkan rangkaian produk makanan istimewanya sendiri. Dilahirkan di Singapura dan berdarah kacukan India dan Cina, Audra kini menetap di Australia.
Siri 15-episod MasterChef Asia akan menampilkan “chef rumah” (home chefs) dari China, India, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Siri MasterChef berdasarkan format asal oleh Franc Roddam dan kumpulan Endemol Shine adalah wakilnya di peringkat antarabangsa. Ia adalah format rancangan makanan yang paling luas disebarkan di dunia dan kini telah dijual ke 52 wilayah dan sambutannya semakin meningkat.