Showing posts with label Hello Doktor. Show all posts
Showing posts with label Hello Doktor. Show all posts

Sunday, April 12, 2020

Selepas PKP Berakhir, Adakah Kita Boleh Jalani Kehidupan Seperti Biasa? – Baca Ini Dulu!

Hi Korang,

Ok lagi satu bacaan ilmiah untuk korang

Kak lily akan kerap kongsikan artikel daripada Hello Doktor untuk bacaan santai korang. Sebab kak lily rasa ianya bagus untuk kita mengambil tahu mengenai kesihatan kita.




Satu dunia dalam kegelisahan akibat pandemik COVID-19.

Disebabkan itu, macam-macam tindakan keselamatan dan kesihatan dilakukan setiap negara bagi membendung penularan wabak ini dari terus berleluasa.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 sebagai langkah memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Meskipun langkah ini dilihat memberi kesan positif, pihak kerajaan masih perlu melanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April 2020.

Ia mungkin juga menjadi lebih panjang dalam usaha meratakan lekuk graf jangkitan COVID-19.

Kehidupan semasa PKP berlangsung, apa yang berlaku sekarang?



Tak dinafi, kehidupan semasa PKP ini sangat meresahkan.

Masakan tidak, seluruh rakyat Malaysia dikehendaki duduk diam-diam sahaja di rumah dan tidak dibenarkan keluar.

Hanya ketua keluarga saja dibenarkan keluar sebagai wakil untuk membeli barangan atau ubatan penting buat diri sendiri serta ahli keluarga yang lain.

Ketika di luar, individu disaran menggunakan topeng muka dan mengamalkan penjara sosial sekurang-kurangnya 1 meter dari individu lain.

Ketika perintah ini diumumkan dahulu, ramai netizen yang tak dapat menerimanya.

Ada yang tak mematuhi arahan dengan berlegar-legar di luar rumah seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Ada yang mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman atau pergi melancong bersama ahli keluarga.

Malah, ada juga yang masih berdegil menganjurkan pelbagai kenduri-kendara.

Lebih teruk, ada juga yang melakukan pembelian panik keperluan rumah sehingga mengakibatkan pasar raya menjadi lautan manusia!

Kesannya, banyak keperluan seperti roti, beras, mi segera dan minyak masak yang habis stok.

Kehidupan selepas PKP berakhir, apa yang akan terjadi?



Adakah anda dapat bayangkan kehidupan selepas PKP ini berakhir?

Adakah kehidupan akan kembali seperti sebelum ini? Hakikatnya, ia tidak mudah seperti yang kita sangka.

Dalam erti kata yang lebih mudah, tidak wujud istilah ‘business as usual’.

Jika hendak difikirkan secara logik, tiada jaminan yang mengatakan wabak COVID-19 akan hilang dengan sepenuhnya selepas tamat tempoh kedua PKP. Jadi, tempoh ketiga, keempat, kelima dan seterusnya masih perlu dipertimbangkan oleh pihak kerajaan. Namun, sudah tentu kita juga sudah tidak lagi mahu berada di rumah hingga tiada pendapatan masuk.

Sampai bila kita perlu minta bantuan kerajaan?

Sesuatu perlu dilakukan untuk membolehkan kita hidup kembali normal selepas ini.

Apakah yang perlu kita buat selepas wabak COVID-19 reda?



Wabak COVID-19 sukar untuk ditamatkan “begitu sahaja”.

Namun, ia boleh reda dengan meratakan lekuk graf jangkitan. Antara usaha yang perlu kita lakukan sekarang adalah dengan mematuhi PKP sehinggalah ia berakhir.

Namun selepas ia berakhir, kita masih tidak boleh kembali ke kehidupan normal.

Contohnya, kita tidak boleh anjurkan kenduri-kendara, perhimpunan, persembahan atau pertunjukan yang memerlukan kehadiran ramai individu di suatu tempat.

Sebaliknya, kita masih perlu pakai topeng muka dan pengamalan jarak sosial ketika di luar rumah atau di tempat kerja.

Begitu juga dengan aspek kebersihan.

Kita masih lagi perlu amalkan etika batuk dan bersin serta mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer untuk mengelak wabak ini berulang.

Maka, bersamalah kita mematuhi PKP dan mengamalkan langkah keselamatan, kesihatan dan kebersihan agar lekuk graf jangkitan dapat diratakan.

Bersama, kita mampu mengharunginya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Artikel Oleh Ahmad Farid, Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Okla nanti kak lily kongsikan lagi artikel ilmiah ni lagi. Terima kasih kepada team Hello Doktor untuk perkongsian ni ek

#HelloHealthGroup
#HelloDoktor
#HelloHealthCoronaVirus



Saturday, April 4, 2020

Pemegang Pam Minyak Boleh Sebar COVID-19? Adakah Kena Pakai ‘Gloves’ Ketika Isi Minyak?

Hi Korang,

Ok lagi satu bacaan ilmiah untuk korang

Kak lily akan kerap kongsikan artikel daripada Hello Doktor untuk bacaan santai korang. Sebab kak lily rasa ianya bagus untuk kita mengambil tahu mengenai kesihatan kita.

Aspek perlindungan diri bukanlah satu perkara yang boleh diambil mudah terutamanya ketika musim wabak virus korona baharu (COVID-19). Terdapat ura-ura yang mengatakan pemegang pam minyak berupaya untuk meningkatkan risiko pengguna terhadap jangkitan virus tersebut.



Keadaan ini mula menimbulkan keadaan panik dan ramai individu yang tertanya-tanya, adakah sarung tangan perlu dipakai? Jika anda ingin tahu, teruskan membaca artikel ini.


Pam minyak, sama atau lebih kotor berbanding objek lain?



Kebanyakan pakar menafikan risiko jangkitan virus korona baharu terhadap individu yang menggunakan pam petrol untuk mengisi minyak.

Namun, mereka turut menyarankan penggunaan sarung tangan dan menggalakkan amalan cuci tangan selepas proses pengisian tersebut.

Dua pernyataan yang bercanggah ini membuatkan ramai keliru. Jika tiada penyebaran yang berlaku dalam kalangan mereka yang mengisi minyak, kenapa pakar menasihatkan pengguna untuk memakai sarung tangan?

Apa yang perlu anda ingat adalah setiap benda yang boleh disentuh terutamanya apabila ia terletak di kawasan umum boleh menyebarkan COVID-19.

Fomit (benda yang tercemar dengan kuman) merupakan salah satu kaedah penyebaran virus meskipun ia bukan cara penyebaran utama virus korona baharu.

Pemegang pam minyak boleh dianggap sebagai salah satu kelengkapan yang kotor dari sudut pandang mikroorganisma.

Kajian yang dibuat oleh syarikat Kimberly Clark pada tahun 2011 telah menunjukkan 71% pemegang pam minyak di 6 negeri di Amerika Syarikat dicemari oleh pelbagai jenis kuman berbahaya.

Jika dibandingkan dengan pemegang flush tandas yang mempunyai kira-kira 172 sel bakteria per inci per segi, pemegang pam minyak mempunyai jumlah kuman yang 11,000 kali ganda lebih tinggi daripada itu.

Ia bergantung kepada kekerapan pemegang tersebut disentuh dengan tangan yang tidak dibasuh. Ini bermakna, secara konsepnya, pam minyak yang lebih mahal bersih sedikit berbanding dengan pam minyak yang murah.


Sarung tangan, adakah ia mampu menghalang penyebaran kuman?




Kadangkala, sedang kita sibuk mengisi minyak, ternampak satu kelibat yang memakai sarung tangan sambil memegang pam minyak. Katanya nak elak jangkitan COVID-19.

Adakah benar ia boleh menghindarkan jangkitan?

Jawapannya adalah bergantung kepada cara penggunaan. Hakikatnya bukan semua individu mempunyai pengetahuan asas berkenaan dengan cara meminimumkan penyebaran kuman menggunakan sarung tangan.

Jika anda seorang yang kerap mencuci tangan selepas memegang sesuatu, anda tidak perlu memakai sarung tangan sekalipun. 

Namun, untuk keselesaan dan ketenangan jiwa yang kacau bilau dek ura-ura yang mengatakan anda mudah mendapat jangkitan jika tidak memakai sarung tangan, anda perlu tahu konsep pemakaian yang betul.

Walaupun sarung tangan boleh melindungi tangan anda sewaktu memegang pam minyak atau objek lain, tetapi kuman yang melekat pada sarung tangan tersebut boleh hidup lebih lama

Jika anda tidak membuka sarung tangan tersebut sejurus selepas melakukan sesuatu, tabiat menyentuh muka, sama ada untuk membetulkan topeng muka atau sentuhan lain, boleh meningkatkan risiko jangkitan.

Kalau anda menyentuh permukaan lain sebelum membuka sarung tangan tersebut, anda berpotensi untuk mencipta fomit baharu.

Oleh sebab itulah lebih penting untuk kita memfokuskan kepada amalan cuci tangan. Jika virus korona baharu berada di permukaan kulit anda sekalipun, jika dibasuh menggunakan air dan sabun, ia boleh dibasmi secara serta-merta.

Jika tiada air dan sabun, anda boleh menggunakan hand sanitizer yang mengandungi jumlah kepekatan alkohol sekurang-kurangnya 60%.


Bagaimana cara untuk saya guna pam minyak dengan betul?




Mudah sahaja. Jika anda ingin mengisi minyak, anda boleh melakukannya dengan atau tanpa memakai sarung tangan.


Pakai sarung tangan (jika anda ingin memakainya). Pastikan anda membasuh tangan terlebih dahulu (langkah 1).

Buka penutup minyak kereta dan gunakan pam minyak mengikut kesesuaian kereta anda.
Tutup penutup minyak dan letakkan pam minyak di tempat asal.

Tanggalkan sarung tangan anda.

Basuh tangan sekali lagi menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer.

Jika dilihat pada data pesakit seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, mahupun mana-mana kajian di dunia, tiada individu yang positif COVID-19 selepas menggunakan pam minyak.

Model jangkitan bagi mereka yang menggunakan pam minyak agak logik jika mengikut teori namun hakikatnya, risiko jangkitan berada pada tahap yang sangat rendah. 

Pastikan anda menggunakan sarung tangan dalam tempoh masa yang pendek. Selepas siap melakukan sesuatu, tanggalkan dan terus buang. Jangan gunakan sarung tangan yang sama berulang kali. 



Jangan risau! Risiko untuk anda mendapat jangkitan virus korona baharu berada pada tahap yang sangat rendah. Pastikan anda cuci tangan dengan kerap, amalkan jarak sosial dan patuhi arahan kawalan pergerakan yang telah diputuskan oleh kerajaan sejak 18 Mac yang lepas.


Bersama, kita mampu mengharunginya.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Artikel Oleh , Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Okla nanti kak lily kongsikan lagi artikel ilmiah ni lagi. Terima kasih kepada team Hello Doktor untuk perkongsian ni ek

#HelloHealthGroup
#hellodoktor
#HelloHealthCoronaVirus




Saturday, March 14, 2020

Saintis Sahkan Bukan Hanya Batuk & Bersin, Tapi COVID-19 Boleh Tersebar Melalui CIRIT-BIRIT!

Hi Korang,

Ok lagi satu bacaan ilmiah untuk korang

Kak lily akan kerap kongsikan artikel daripada Hello Doktor untuk bacaan santai korang. Sebab kak lily rasa ianya bagus untuk kita mengambil tahu mengenai kesihatan kita.

Wabak COVID-19 ataupun coronavirus yang melanda sering dikaitkan dengan masalah pernafasan. Mana tidaknya, simptom yang diuar-uarkan seperti batuk dan sesak nafas memang tertumpu kepada masalah organ paru-paru. Itu merupakan kaedah utama penyebaran virus novel korona.


Di saat orang ramai sibuk menutup mulut, membeli topeng untuk melindungi diri daripada dijangkiti oleh wabak coronavirus, kajian terbaru telah mengesahkan bahawa wabak coronavirus baharu boleh tersebar melalui laluan fecal-oral.

Ciri-ciri penyebaran yang sama dengan wabak coronavirus SARS

Walaupun cara penyebaran melalui sisa perkumuhan ini merupakan maklumat baharu yang telah disahkan oleh kajian sains, tapi saintis tidak terkejut. Ini berikutan virus novel korona (COVID-19) ini sering dikaitkan dengan virus korona sindrom pernafasan akut teruk (SARS-CoV).


Persamaan di antara kedua-dua virus ini dipersetujui oleh kebanyakan ahli akademik sehinggakan ia pernah digelar sebagai SARS-CoV-2.

Suatu ketika dahulu, kajian menunjukkan bahawa SARS-CoV boleh tersebar melalui sisa air kencing pesakit. Sampel virus tersebut juga jelas terzahir pada sampel najis menunjukkan SARS-CoV bukan hanya tersebar melalui batuk atau bersin.

Perkara ini, walaupun tidak mempunyai implikasi yang agak dahsyat kepada orang awam, tapi boleh membahayakan golongan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam merawat pesakit. Tanpa memakai alat perlindungan diri, mereka mudah untuk dijangkiti oleh sampel sisa perkumuhan pesakit walaupun ia jarang berlaku.

10 peratus daripada jumlah pesakit yang disoal selidik di Hospital Wuhan (14 daripada 138 orang pesakit) mengalami simptom gastrousus seperti cirit-birit, loya dan muntah sebelum menunjukkan simptom pernafasan.

Tanpa mengetahui tentang peranan virus novel korona terhadap sistem gastrousus, simptom sebegitu pastinya dirawat sebagai masalah keracunan makanan walhal daripada sejarah pesakit, ia jelas menunjukkan risiko jangkitan wabak coronavirus.

Pesakit pertama yang didiagnosis di Amerika Syarikat turut mengalami simptom cirit-birit, 2 hari sebelum demam dan sesak nafas berlaku. Ia bukanlah simptom utama namun wajar diambil kira. 

Mereka yang mengalami cirit-birit dan mempunyai hubungan secara langsung dengan mereka yang positif wabak coronavirus atau baru pulang dari Wuhan perlu disiasat dengan lebih lanjut.

Titisan udara masih cara utama wabak coronavirus tersebar

Walaupun kajian soal selidik di China tersebut menunjukkan cara penyebaran terbaharu virus novel korona, namun cara utama masih melalui titisan udara. 


Mereka yang mengalami simptom selesema perlu memakai topeng muka bagi mengelakkan virus tersebut daripada tersebar. 

Topeng tersebut hanya betul-betul berkesan bagi menghindarkan penyebaran virus. Ia tidak berapa berkesan dalam menghindarkan anda daripada dijangkiti virus.

Jadi, bagaimana cara untuk anda melindungi diri daripada dijangkiti oleh wabak coronavirus?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan amalan cuci tangan dengan menggunakan sabun dan air.

Ia ternyata berkesan dalam membasmi virus novel korona tersebut melalui pelbagai kajian. Pernah juga tular di Facebook berkenaan dengan eksperimen ringkas menunjukkan perbezaan di antara penggunaan air dan sabun serta hand sanitizer terhadap penjagaan roti daripada kulat.

Air dan sabun bukan sahaja berupaya untuk membasmi majoriti mikroorganisma, tapi ia juga boleh digunakan pada tangan yang kotor. Hand sanitizer cuma boleh digunakan pada situasi di mana tidak terdapat air dan sabun.

Kepekatan alkoholnya mestilah berada pada paras 60% dan ke atas, jika tangan anda kotor, basuh tangan anda menggunakan air terlebih dahulu. Melalui langkah pencegahan ini, wabak coronavirus baharu boleh dikawal dengan baik.

Individu yang kerap bersin dan batuk juga perlu mengamalkan teknik/ etika yang betul. Bagi virus yang disebarkan melalui titisan udara, berdiri pada jarak 2 meter daripada individu lain mampu menghindarkan penyebaran virus.

Tutup mulut anda menggunakan tisu dan buang tisu tersebut selepas digunakan. 

Tempoh jangka hayat virus di dalam sisa perkumuhan

Walaupun kajian yang dijalankan di Jerman menunjukkan bahawa virus korona novel boleh hidup di luar badan manusia dalam tempoh 9 hari, namun ia berbeza mengikut permukaan objek. 


Kajian tersebut menggunakan tombol pintu dan barangan lain namun tidak mengambil kira sampel najis yang mempunyai kadar lembapan yang agak tinggi. Semakin tinggi kadar lembapan, semakin panjanglah jangka hayat virus tersebut di dalam sampel yang tercemar.

Buangan sisa klinikal selepas melakukan ujian makmal atau kajian perlu dilakukan dengan betul. Jika tidak, mereka yang menguruskan sisa klinikal tersebut berisiko untuk mendapat wabak coronavirus baharu kelak. 

Masih tiada lagi maklumat lengkap berkenaan dengan jangka hayat COVID-19 di luar badan. Virus SARS-CoV hanya boleh bertahan selama 24 jam di luar badan manusia, namun pada sampel najis, jangka hayatnya meningkat 4 kali ganda kepada 4 hari.

Jika virus novel korona mempunyai sifat yang sama, ini bermakna, ia berupaya untuk terus menjangkiti individu lain dalam tempoh masa melebihi sebulan. 

Penyebaran melalui najis merupakan cabaran baharu dalam membendung wabak coronavirus yang melanda terutamanya di kawasan hospital.
Konklusi

Maklumat berkenaan dengan cara penyebaran baharu virus ini menunjukkan bahawa kita perlu memberikan tumpuan kepada simptom gastrousus juga. Walau bagaimanapun simptom pernafasan seperti batuk dan sesak nafas tetap menjadi gejala utama dalam mendiagnosis pesakit.

Jika seseorang itu mengalami muntah, loya dan cirit-birit, nasihatkan mereka untuk berjumpa dengan doktor. Perkara ini terutamanya jika mereka pernah berhubung dengan pesakit wabak coronavirus.


Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Artikel Oleh M, Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Okla nanti kak lily kongsikan lagi artikel ilmiah ni lagi. Terima kasih kepada team Hello Doktor untuk perkongsian ni ek



#HelloHealthGroup
#hellodoktor
#HelloHealthCoronaVirus



Wednesday, February 12, 2020

Korang Mungkin Terkejut Lihat Kos Rawatan Untuk 5 Penyakit Ini, Tak Sangka!

Hi Korang,

Ok lagi satu bacaan ilmiah untuk korang

Kak lily akan kerap kongsikan artikel daripada Hello Doktor untuk bacaan santai korang. Sebab kak lily rasa ianya bagus untuk kita mengambil tahu mengenai kesihatan kita.


Apabila bercakap mengenai kos, perkara pertama yang terlintas di kepala pastilah soal duit atau wang. Begitu juga dengan kos perubatan penyakit. Ia tidak lari daripada isu “beban kewangan” yang perlu ditanggung.

Mungkin ada yang kata, tidak perlu risau kerana mereka boleh mendapatkan rawatan bagi penyakit-penyakit yang dialami secara percuma daripada klinik-klinik atau hospital-hospital milik kerajaan. Tunggu sebentar!

Adakah anda pasti bahawa kesemua rawatan boleh diperoleh secara percuma di fasiliti kesihatan milik kerajaan? 

Lihat apa yang kami sediakan di bawah ini.



Ada sesetengah rawatan sememangnya percuma atau hampir percuma di fasiliti kesihatan milik kerajaan, tetapi tidak semuanya begitu.

Malah ada juga kos rawatan yang anda masih perlu bayar ribuan ringgit walaupun telah disubsidi oleh kerajaan Malaysia. Apatah lagi jika anda mendapatkan rawatan di fasiliti milik swasta yang kadarnya boleh mencecah sehingga jutaan ringgit.

Kos perubatan tambahan yang juga perlu korang bayar

Perlu diingat bahawa kos perubatan yang dinyatakan seperti di atas hanyalah untuk kos servis rawatan semata-mata. Anda masih perlu membayar kos-kos berkaitan yang lain seperti yuran konsultasi, yuran pendaftaran, caj harian wad, bayaran X-ray, ujian darah dan lain-lain lagi.

Jika di hospital kerajaan, anda hanya perlu membayar RM1 bagi yuran konsultasi, tetapi anda perlu membayar antara RM30 hingga RM250 bagi perkhidmatan yang sama di hospital swasta.

Bagi yuran pendaftaran kemasukan ke hospital, anda hanya perlu membayar antara RM15 hingga RM35 bagi kemasukan di hospital kerajaan.

Manakala jika di hospital swasta, anda perlu membayar yuran kemasukan antara RM500 hingga RM2,000, atau 6% hingga 10% daripada kos keseluruhan pembedahan anda. 

Jika anda perlu ditahan di wad hospital kerajaan, anda perlu membayar caj bilik wad antara RM3 hingga RM120 sehari bergantung kepada kelas wad tersebut.

Manakala di hospital swasta, kadar yang perlu dibayar adalah antara RM80 hingga RM300 sehari, juga bergantung kepada kelas wad tertentu. Selain itu, ujian-ujian lain seperti X-Ray, ultrasound, ujian darah, CT scan dan MRI juga perlu dibayar dengan caj yang pastinya amat berbeza antara hospital kerajaan dan juga swasta.

Peningkatan kos rawatan di Malaysia selepas 10 tahun

Jadual kedua menunjukkan kos rawatan antara 5 kanser utama di Malaysia, dengan anggaran peningkatan pada 10 tahun akan datang. Jelas di sini dapat dilihat peningkatan lebih daripada 10%.

Walaupun contoh yang diberikan adalah anggaran kos daripada hospital swasta, anggaran kos rawatan di hospital kerajaan juga berkemungkinan meningkat walaupun tidak setinggi kos di fasiliti swasta.

Kebanyakan peningkatan kos rawatan yang dijangkakan berlaku selepas 10 tahun ini berjumlah sehingga 3 kali ganda.

Mengapa kos rawatan perubatan ini meningkat? Perkara yang paling utama adalah disebabkan oleh trend perubatan terkini dan pembangunan kaedah dan rawatan yang lebih moden.

Selain itu, terdapatnya peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan perubatan seiring dengan peningkatan populasi penduduk.

Begitu juga dengan peningkatan kadar penyakit yang berkaitan dengan gaya hidup yang tidak sihat yang menyebabkan lebih ramai individu mendapatkan rawatan perubatan.

Peningkatan kos rawatan di Malaysia dijangkakan berlaku antara 10 hingga 15 peratus setiap tahun. Ia mungkin tidak disedari kerana kebanyakan peningkatan ini berlaku di sektor perubatan swasta, manakala di sektor perubatan awam, ia telah disubsidikan oleh kerajaan dan peningkatan yang berlaku adalah sangat minimum.

Mengapa terdapatnya perbezaan kos yang begitu besar antara hospital kerajaan dan swasta?

Anda pasti tahu mengapa servis rawatan di hospital kerajaan adalah lebih murah. Ya, kerana ia telah disubsidi oleh Kerajaan Malaysia.

Walau bagaimanapun, anda juga perlu tahu kos rawatan di hospital swasta lebih mahal kerana pada kebiasaannya, mereka menyediakan servis perkhidmatan dengan kualiti yang lebih baik. Tetapi ia tidak bermaksud bahawa rawatan perubatan di hospital kerajaan adalah kurang bagus.

Terdapat dua perbezaan yang paling jelas antara hospital kerajaan dan juga swasta iaitu, penjagaan pesakit dan pelawat serta waktu menunggu untuk mendapatkan rawatan.

Selain itu, jika anda berkunjung ke hospital atau pusat perubatan swasta, anda boleh melihat kepada persekitaran yang lebih selesa dan mewah, pilihan makanan yang lebih enak dan berkualiti tinggi selain jenis ubat-ubatan yang digunakan.

Anda juga boleh mendapatkan bilik peribadi yang lebih privasi dan selesa. Walaupun perkhidmatan yang disediakan di hospital kerajaan tidak semewah seperti di hospital swasta, kualiti servis rawatan yang diberikan sebenarnya adalah sama tinggi.

Hanya disebabkan caj yang lebih murah dan berpatutan, ramai yang lebih gemar ke hospital milik kerajaan berbanding swasta melainkan anda dilindungi dengan insurans perubatan.

Apakah langkah yang boleh korang ambil bagi mengurangkan tanggungan kos perubatan dan rawatan kesihatan?

Pertama, amalkan gaya hidup sihat

Ia kedengaran amat mudah, tetapi ramai yang masih kurang memberikan perhatian terhadap perkara ini. Gaya hidup yang sihat bukan sahaja memberikan fizikal dan mental yang sihat, malah ia menjauhkan diri anda daripada risiko untuk mendapat penyakit-penyakit kronik

Kedua, dapatkan kad perubatan atau polisi insurans kesihatan daripada penyedia-penyedia insurans. Kad perubatan membantu anda untuk mendapatkan rawatan tanpa perlu menunggu lama di hospital swasta.

Selain itu, ia juga membantu menyediakan liputan yang mencukupi bagi sebarang rawatan yang memakan kos yang besar pada masa sekarang atau pada masa akan datang.

Ketiga, gunakan kemudahan atau manfaat kesihatan yang disediakan oleh majikan atau syarikat tempat anda bekerja.

Sesetengah majikan bukan sahaja menyediakan liputan perlindungan perubatan kepada pekerja mereka sahaja, malah kepada ahli keluarga terdekat pekerja tersebut. Rujuk kepada pengurusan syarikat anda untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

Kesimpulan

Masih ramai di antara kita yang mengabaikan konsep gaya hidup sihat dalam kehidupan seharian selain tidak mengambil mana-mana polisi insurans perubatan.

Kedua-dua ini sangat membantu diri anda dalam mengurangkan tanggungan kos perubatan dan juga risiko untuk mengalami penyakit-penyakit kronik. Kita pasti tidak mampu untuk menyediakan sejumlah wang yang begitu besar dalam masa yang singkat untuk membayar kos rawatan di hospital.

Oleh itu, sediakanlah payung sebelum hujan. Janganlah sudah terhantuk, baru tengadah.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Artikel Oleh , Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel


Okla nanti kak lily kongsikan lagi artikel ilmiah ni lagi. Terima kasih kepada team Hello Doktor untuk perkongsian ni ek




Kaki Bebel,

LILY

www.ciklilyputih.com




Wednesday, January 1, 2020

6 Trend Kesihatan Menjelang 2020

Hi Korang,

Sempena tahun baru 2020 ni, kak lily akan kongsikan artikel daripada Hello Doktor untuk bacaan santai korang. Sebab kak lily rasa ianya bagus untuk kita mengambil tahu mengenai kesihatan kita.

Maklumlah bila dah berumur ni cam nie lah, kena banyak membaca artikel ilmiah sket kan selain daripada entry jalan-jalan cari makan, travel, beauty ek

Selamat membaca semuanya...



Tahun baru, azam baru. Menjelang 2020, terdapat beberapa perkara berkaitan dengan kesihatan yang wajar dititikberatkan. Tahun silih berganti dan purata jangka hayat manusia semakin lama semakin meningkat. Pelbagai jenis perubahan dan kemajuan teknologi yang dapat kita saksikan berikutan pengetahuan berkenaan kesihatan yang semakin meningkat. 


Suatu ketika dahulu, mereka yang mengalami kecacatan genetik tidak mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menyaksikan keindahan dunia. Namun kini, dengan rawatan rapi, mereka berpeluang untuk menikmati kehidupan seperti individu lain, walaupun ada kekurangan pada keupayaan mereka. 

Kepada para pembaca, ini merupakan masa yang sesuai untuk anda menerapkan beberapa konsep kesihatan bagi mencapai misi kelanjutan usia dan mengelakkan kematian pramatang. Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.
Amalkan konsep pemakanan hijau

Penulis tidak bermaksud untuk memaksa para pembaca menjadi vegetarian atau vegan. Namun, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dapat meningkatkan kualiti hidup individu melalui penghindaran pelbagai jenis penyakit. Makanan tersebut mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral dan kandungan serat yang tinggi. 

Selain daripada mengelakkan jangkitan kuman melalui pengukuhan sistem imuniti badan, pengambilan makanan berserat juga boleh menghindarkan pelbagai jenis kanser terutamanya kanser kolorektal yang kian meningkat di Malaysia. Trend yang seharusnya diterapkan dalam menggapai impian wawasan 2020 perlulah berasaskan konsep gaya hidup sihat.

Masalah obesiti, kencing manis dan masalah metabolik yang lain boleh dielakkan dengan pengurangan gula dan makanan berkarbohidrat serta meningkatkan pengambilan makanan berserat. Ini berikutan keupayaan serat dalam memperlahankan sistem penghadaman, mengurangkan kadar penyerapan gula dan menyebabkan perembesan insulin badan yang lebih stabil.

Beri tumpuan lebih kepada kesihatan mental

Pada masa kini, terdapat banyak pembunuh dalam diam. Sakit jantung, pengambilan gula berlebihan, kemurungan dan sebagainya. Sudah tiba masanya untuk kita galakkan mereka yang mengalami simptom atau sudah didiagnosis dengan penyakit mental untuk mendapatkan rawatan. 

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), masalah kemurungan dialami oleh lebih daripada 264 juta individu di seluruh dunia. Ini bukanlah satu angka yang boleh dipandang ringan. Kesan kepada penyakit ini boleh menyebabkan penurunan kualiti hidup, kemerosotan prestasi di tempat kerja dan kematian, jika dibiarkan berpanjangan.

Tamatkan stigma dan hulurkan tangan anda. Jika anda tidak dapat membantu daripada aspek tertentu, berikanlah sokongan emosi dan mental. Dengarilah rintihan sahabat anda yang tertekan dan laporkan kepada pihak berkenaan sekiranya terdapat ketidakadilan di dalam sesuatu sistem hanya kerana mereka yang terbabit mempunyai masalah dengan kesihatan mental.

Kurangkan masa menggunakan telefon pintar

Media sosial, permainan video yang diterapkan dalam telefon pintar dan kebolehan untuk mencari pasangan melalui alternatif maya membuatkan peranti tersebut bagaikan jawapan kepada segala jenis persoalan. Kajian yang dibuat oleh Nielsen pada tahun 2018 telah menunjukkan bahawa populasi orang dewasa di Amerika Syarikat menghabiskan kira-kira 2 jam 22 minit menggunakan peranti telefon pintar.

Apa yang lebih mengejutkan lagi perkara tersebut tidak termasuk dengan masa yang dihabiskan berbalas mesej dengan individu lain atau secara rawaknya, membuka telefon untuk memeriksa jika ada notifikasi yang masuk. Jika perkara tersebut diambil kira, entah berapa lamalah mereka menghabiskan masa dengan telefon pintar. 4 jam, mungkin?

Ini merupakan salah satu bentuk ketagihan yang dirangsang dengan rembesan hormon dopamin bagi merasai perasaan gembira dan berpuas hati. Semakin lama, semakin sukar untuk anda merasai kesan fisiologikal dopamin. Ini bermakna, anda ingin dirangsang dengan lebih banyak dopamin sehingga merasai keseronokan yang diharapkan.

Telefon pintar beroperasi bagaikan sistem yang mencetuskan rembesan dopamin. Setiap sekali skrin tersebut diskrol, semakin kuat keinginan untuk anda terus skrol dan skrol. Pernah tak anda tenggelam dengan telefon pintar dan tanpa anda sedari, poof, 4 jam sudah berlalu? Kalau pernah, mungkin anda perlu kurangkan penggunaan telefon pintar. Klik sini untuk baca berkenaan dengan bagaimana cara mengurangkan penggunaan telefon pintar.

Pergi bercuti 2 kali setahun

Siapa tak suka mengembara kan?

Bercuti merupakan salah satu cara bagaimana kita boleh mengekalkan tahap stres pada paras yang rendah. Kajian Jantung Framingham telah menunjukkan bahawa mereka yang bercuti kurang daripada 2 kali setahun terdedah kepada risiko sakit jantung. Bagaimana pergi bercuti boleh buatkan anda sihat ya?

Lazimnya, mereka yang pergi bercuti akan bergerak melebihi jumlah pergerakan harian. Banyak tempat menarik perlu dilawati dan peningkatan pada aktiviti fizikal ini dapat membantu merendahkan risiko untuk mendapat penyakit kronik seperti obesiti, kencing manis dan sakit jantung.

Jika anda merasa tertekan, sudah tiba masanya untuk anda melebarkan sayap dan terbang ke perantauan bagi mencari pengalaman dan mempelajari kebudayaan tempatan destinasi tersebut. 

Kecergasan di atas talian

Ramai yang ingin menurunkan berat badan namun tidak dipraktikkan. Kehidupan bermalas-malasan kelihatan lebih nikmat berbanding dengan rutin ketat yang perlu dipatuhi oleh mereka yang menginginkan badan yang cergas. Jika anda tidak berkesempatan untuk pergi ke gim, gunakanlah teknologi di atas talian. Terdapat pelbagai jenis laman sesawang yang menampilkan program senaman percuma dan berbayar (ikut pada kemampuan anda).

Jika kewangan merupakan satu masalah besar, tonton video di saluran YouTube. Terdapat ratusan jenis video yang mengajar cara untuk bersenam di rumah. Yoga, latihan angkat berat dan pilates, ini merupakan contoh topik yang sering diajarkan kepada penonton YouTube. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Cambridge, United Kingdom pada tahun 2019 telah menunjukkan bahawa senaman dapat meningkatkan jangka hayat seseorang tanpa mengira tahap aktiviti mereka sebelumnya. 

Dapatkan vaksin atau vaksinkan anak anda

Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab. Lindungi anak anda daripada penyakit berbahaya yang boleh dihindari melalui penggunaan vaksin. Isu ini mungkin agak kontroversial namun pelbagai mitos telah dikaitkan dengan isu pengambilan vaksin. Bagi melindungi penduduk setempat, kadar vaksinasi bagi kawasan tersebut perlulah berada pada tahap setinggi 95%.

Pada penghujung tahun 2019, negara riuh dengan isu kes polio yang menjangkiti seorang bayi berusia 2 bulan. Itu merupakan salah satu contoh mengapa vaksin perlu diberikan kepada kanak-kanak. Jika anda merasa ragu-ragu atau khuatir akan kesan sampingan yang diuar-uarkan melalui media sosial, berjumpalah dengan doktor untuk khidmat nasihat kesihatan.

Jangan takut untuk memperjuangkan hak anak-anak anda untuk hidup dalam persekitaran yang bebas penyakit. 

Ayuh bersama-sama kita jadikan tahun 2020 ini sebagai tahun yang bermatlamat. Kesihatan perlu dijaga dan trend yang tersenarai boleh dijadikan panduan untuk hidup dengan lebih sihat. Jika tidak, tak sempatlah nanti nak tengok teknologi kereta terbang tanpa tayar, kan?

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Okla nanti kak lily kongsikan lagi artikel ilmiah ni lagi ek.

Terima kasih kepada team Hello Doktor untuk perkongsian ni ek






Kaki Bebel,

LILY

www.ciklilyputih.com