Hi Korang,
Pernah dikenali di Indonesia kerana pernah beberapa kali bergandingan dengan pelakon lelaki di sana, Elfira Loy baru baru ini mencipta sejarah tersendiri apabila disunting bekerjasama dengan jenama tudung popular, Buttonscarves yang berpengkalan di sana.
Malah lebih tepat, artis bertudung yang memiliki seramai 4.8 juta pengikut di Instagram itu menjadi artis Malaysia pertama bersatu dengan jenama dari seberang ini.
Sebagai permulaan Buttonscarves x Elfira Loy hadir dengan sebuah koleksi istimewa dipanggil The Maharani Series yang sesuai digayakan di bulan Ramadan dan Syawal kelak.
Elfira berkata, kerjasama mereka tercetus dengan sekelip mata dan tanpa diduga. Malah ia bagai dirahmati dan dipermudahkan.
Apatah lagi isteri kepada Muhammad Faris Khairol Anuar ini asalnya memang peminat tegar jenama yang sudah empat tahun berkembang di negara jiran itu.
Koleksi itu dilancarkan di Indonesia pada hari ini (24 April) yang juga hari pertama kita meraikan Ramadan penuh mulia.
Koleksi The Maharani Series memiliki 13 warna dengan motif yang mengangkat elemen senibina di India. Koleksi ini menggunakan bahan scarf kapas woal dan satin silk yang selesa untuk dipakai.
“Pada awalnya kerjasama itu mahu dimulakan selepas musim raya. Namun tanpa diduga ia dipercepatkan. Pihak mereka merancang untuk menjalankan fotografi sebuah koleksi tudung di Jaipur, India dalam masa singkat beberapa bulan lalu.
“Ketika itu pihak mereka memikirkan perancangan itu terlalu tergesa gesa dan akan menyusahkan saya. Namun apabila saya bersetuju, mereka tidak menyangka. Akhirnya terjadilah kerjasama koleksi The Maharani Series ini. Buat permulaan kerjasama ini berlangsung untuk dua bulan bermula April hingga Mei. InsyaAllah tiada aral melintang, kerjasama ini akan berpanjangan,” kata pemilik nama penuh Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri ini.
Menurut ibu kepada Muhammad Rayyan Khalaf berusia enam bulan itu, kerjasama itu bermula daripada perbualan di kotak mesej langsung (DM) di Instagram.
“Dari DM, kami berlanjutan ke aplikasi WhatsApp. Pendek kata, dari awal lagi ia berjalan dengan lancar. Saya juga anggap ini rezeki anak sulung. Saya sejak dua ketiga tahun lalu juga sebenarnya menjadi peminat secara diam kepada jenama ini. Kalau terbang ke Jakarta, saya akan membeli skaf dan tudung jenama berkenaan kerana materialnya cukup selesa dan kemas.
“Pada masa sama, saya dapat tahu mereka juga mengintai untuk bekerjasama dengan artis Malaysia. Difahamkan ada beberapa calon lain, tapi rezeki berpihak kepada saya. Sesuai dengan nama koleksi ini, saya yakin mereka yang memakainya akan berasa seperti seorang ratu atau maharani ,” katanya.
Ditanya mengenai menyambut Ramadan dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasa kerana mahu membendung penularan wabak Covid 19, Elfira mengakui akur dengan ujian terjadi.
“Jika Ramadan tahun lalu saya menyambutnya dengan keadaan berbadan dua dan kerterbatasan itu ini, nikmat bulan penuh keberkatan itu tidak terlalu dirasai. Jadi saya memang ternanti-nanti Ramadan kali ini. Tapi siapa mampu menyangka kita didatangi ujian saat ini. Pasti terasa kerinduan kepada perkara yang selalu sinonim dengan bukan Ramadan seperti bazar dan solat Terawih. Tak mengapa kita tak perlu bersedih sangat. Kita raikannya dengan cara bersederhana,” katanya.
Sementara itu, pihak Buttonscarves melihat kerjasama terjalin dengan Elfira cukup tepat dengan personaliti, aura dan imej bertudung dimilikinya.
“Ini juga kerjasama perdana dan sulung kami dengan artis dari negara lain. Cita cita itu sudah lama dan akhirnya berjaya direalisasikan kini. Malaysia dan Indonesia sendiri negara serumpun yang berhubungan baik.
“Selama ini kami mencari calon yang sesuai berkolaborasi dengan Buttonscarves. Ternyata Elfira sudah menjadi seorang penggemar Buttonscarves sejak dulu. Personaliti dimilikinya juga menjadi terjemahan nuansa fesyen kami.
“Setelah berbincang kami pun memutuskan untuk menjalinkan kerjasama khusus di bulan Ramadan ini. Kami juga merancang untuk membuka premis jenama tudung ini di tiga pusat beli belah di Malaysia termasuk Avenue K kelak,” ungkap Linda Anggrea selaku Pengarah Kreatif Buttonscarves.
Kata Linda lagi, koleksi ini dinamakan Maharani kerana gelaran itu di India diberikan kepada pemimpin wanita.
“Dalam bahasa sanskrit India, erti nama Maharani merupakan gabungan dari kata Maha yang bererti Agung dan Rani yang dimaksudkan sebagi Ratu. Koleksi ini diilhamkan dari istana di Jaipur, India yang merupakan destinasi terbaru Buttonscarves ketika sesi fotografi koleksi diadakan. India merupakan destinasi yang masih tergolong unik dan patut diteroka keraan banyak menonjolkan keunikan seni bina, motif, dan budaya,” kata Linda lagi.
The Maharani Series boleh dibeli di laman sesawang, www.buttonscarves.com. Malah ia juga boleh dibeli di aplikasi Buttonscarves. Ketika ini pihak Buttonscarves turut memberi diskaun free shipping kepada pembeli dengan pembelian RM200 ke atas
Harga jualan bermula dari RM125 hingga ke atas.
Ketika ini jenama yang bermula sejak 2016 itu terus sukses bukan hanya di Indonesia. Malah di pasaran Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam hingga sempat bertandang ke negara Uncle Sam.
Hasil penjualan siri tudung the Maharani series ini juga akan digunakan untuk membantu mangsa covid 19 di Indonesia dan Malaysia
Info lanjut, meh klik sini yer www.buttonscarves.com
Instagram: buttonscarves