Hi Semua,
SumiSaujana Group Berhad (“SumiSaujana” atau “Syarikat”) dan anak syarikatnya (“Kumpulan”), merupakan pengeluar bahan kimia khusus untuk industri minyak dan gas (“O&G”), hari ini memeterai kerjasama strategik dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (“MPOB”) melalui pemeteraian Perjanjian Pelesenan dan Pengkomersialan. Perjanjian ini bertujuan untuk memanfaatkan teknologi yang dibangunkan oleh MPOB (“Teknologi”) bagi pengilangan dan pengkomersialan bahan perantara berasaskan sawit, poliol berasaskan sawit dan poliol poliester berasaskan bio (“Produk”).
Dari kiri ke kanan :
1. Dr Ramle Moslim, Deputy Director General R&D, Malaysian Palm Oil Board
2. YBhg Datuk Dr Ahmad Parveez Hj Ghulam Kadir , Director General, Malaysian Palm Oil Board
3. Mr. Toh Chee Seng 陀志成, Executive Deputy Chairman, Sumisaujana
Group Berhad
4. Mr. Norazlam bin Norbi, Executive Director/
Chief Executive Officer, Sumisaujana Group Berhad
5. Mr. Ramli Bin Mohamad, Executive Director/ Chief Operating Officer, Sumisaujana Group Berhad
Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Hotel Marriott Putrajaya ini menandakan satu langkah penting dalam usaha Malaysia untuk memperluas aplikasi industri produk berasaskan sawit dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam pasaran kimia hijau global.
Teknologi yang dilesenkan oleh MPOB dibangunkan melalui penyelidikan yang menyeluruh, termasuk bagi penghasilan bahan perantara berasaskan sawit, poliol, dan poliol poliester bio yang menawarkan produk boleh diperbaharui, alternatif kepada bahan kimia berasaskan petroleum. Sebatian ini digunakan secara meluas dalam penghasilan poliuretana, yang menyumbang kepada pelbagai sektor termasuk automotif, pembinaan, pelekat, salutan, dan barangan pengguna. Pasaran poliuretana global diunjurkan mencecah USD86.28 bilion pada tahun 2024, manakala pasaran bahan perantara berasaskan sawit dianggarkan bernilai USD17.0 bilion pada tahun 2022 – sekali gus menyerlahkan potensi pasaran yang besar.
Kerjasama ini mencerminkan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB yang lebih luas untuk meningkatkan nilai komersial minyak sawit melalui aplikasi hiliran bernilai tinggi. Kerjasama ini juga menyokong Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta Malaysia 2030 (“PIKAS 2030”) yang bertujuan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab global bagi teknologi berasaskan bio yang mampan.
Pengarah Eksekutif/ Ketua Pegawai Eksekutif Sumisaujana, Encik Norazlam Bin Norbi, berkata, “Perjanjian dengan MPOB ini adalah langkah bermakna dalam strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat. Kami melihat nilai yang besar dalam mengintegrasikan inovasi berasaskan sawit yang mampan ke dalam portfolio produk kami, membolehkan menembusi pasaran baharu sambil kekal seiring dengan peralihan global ke arah pembuatan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Kami berbangga menjadi sebahagian dalam mengkomersialkan teknologi tempatan untuk impak global.”
Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, Ketua Pengarah MPOB berkata, “Kerjasama ini bukan hanya melibatkan pemindahan teknologi, ia mengukuhkan peranan sinergi awam-swasta dalam pembangunan industri sawit yang mampan. Kerjasama ini juga membuka peluang kepada penggiat industri untuk meneroka potensi teknologi inovatif MPOB dan menyumbang kepada pertumbuhan industri kimia yang lebih mampan serta berdaya saing di peringkat global. Dengan memperluaskan potensi hiliran minyak sawit, kita bukan sahaja meningkatkan rantaian nilainya tetapi juga mempromosikan peranan Malaysia dalam pembuatan yang prihatin terhadap iklim.”
Kerjasama ini bukan sahaja mempercepatkan penggunaan komersial poliol berasaskan sawit, malah memperkukuh usaha negara dalam mentransformasikan industri menerusi kimia hijau. Ia membuktikan potensi minyak sawit melangkaui kegunaan dalam sektor makanan dan menunjukkan bagaimana inovasi, apabila digandingkan dengan rakan industri yang betul, boleh membawa kepada penciptaan nilai ekonomi dan alam sekitar yang sebenar.
Dengan aspirasi bersama dalam inovasi, kemampanan, dan kemajuan negara, MPOB dan SumiSaujana bersedia untuk membawa teknologi berasaskan sawit Malaysia ke sempadan industri baharu, memastikan ia bukan sahaja digunakan di dalam negara, malah diiktiraf dan diguna pakai di peringkat global.
No comments :
Post a Comment