Wednesday, March 19, 2025

Jangan Jadikan Pembaziran ‘Pesen’ di Bazar Ramadan

Hi Korang,

MYSaveFood mengambil langkah proaktif melancarkan kempen anti-pembaziran makanan #BazirRamadan bagi meningkatkan kesedaran tentang isu pembaziran makanan yang semakin membimbangkan sepanjang bulan Ramadan.


Kempen ini mengetengahkan idea kreatif persembahan fesyen trashwalk di Bazar Ramadan Pantai Dalam dengan memperagakan sut yang direka khas daripada sisa makanan terbuang sebagai simbolik kepada makanan yang dibazirkan di bazar Ramadan dan mempertontonkan kesan buruk tabiat membazir.

Menurut data tahun 2024, lebih daripada 60,000 kilogram makanan tidak terjual di bazar Ramadan. Jumlah kuantiti ini cukup untuk mengenyangkan 120,000 orang iaitu bersamaan dengan purata 500 gram satu hidangan setiap orang.



Realiti ini mencerminkan budaya atau ‘pesen’ berbelanja berlebihan dalam bulan Ramadan yang sudah dinormalisasi dan menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Perkataan ‘pesen’ yang berasal daripada slanga tempatan merujuk kepada gaya, sikap, dan gelagat manusia. Bagi konteks Ramadan, ia menggambarkan tabiat membeli berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran yang ketara.

“Pembaziran makanan pada bulan Ramadan bukan isu baharu. Ramai yang sedar, tetapi perubahan masih perlahan. Sebab itu kami tampil dengan pendekatan kreatif ini untuk membuka mata masyarakat,” kata Timbalan Pengarah MYSaveFood Ainul A'syara Binti Kamal.

Sejak penubuhannya 9 tahun lalu, MYSaveFood telah bekerjasama dengan peniaga bazar di seluruh negara untuk mengurangkan pembaziran makanan.


Pada 16 Mac 2025, MYSaveFood berjaya menyelamatkan 46,208 kilogram makanan yang tidak terjual daripada 108 bazar di seluruh Malaysia yang bersamaan dengan nilai pembaziran sebanyak RM559,199.00. Makanan yang diselamatkan ini diagihkan kepada golongan yang memerlukan, memastikan makanan tidak terbuang begitu sahaja.


Kempen #BazirRamadan bukan sekadar satu peringatan tetapi satu seruan untuk kita semua mengubah sikap dan menghargai setiap rezeki yang ada. Jangan jadikan pembaziran satu ‘pesen’ di bulan yang penuh keberkatan ini.

Di samping itu, MYSaveFood juga membuka ruang dan mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai pasukan sukarelawan. Bersama-samalah kita, baik pembeli mahupun penjual membawa arus pembaharuan dan tidak meneruskan 'pesen' pembaziran.

Untuk info lebih lanjut, layari www.bazirramadan.com

No comments :