Thursday, December 19, 2024

Astro Mempersembahkan ‘Berbahagi Suami’, Membincangkan Isu Poligami Dari Sudut Pandang Isteri Kedua

Hi Korang,

Astro selaku peneraju hab hiburan terkini di Malaysia sekali lagi membawakan drama dengan genre konflik kekeluargaan, ‘Berbahagi Suami’ buat semua pencinta drama pada Disember ini. Drama ini menghiasi saluran Astro Prima (saluran 105) bermula 2 Disember 2024, jam 6 petang, setiap Isnin hingga Jumaat.


Meneruskan kejayaan drama jam 6 petang sebelumnya, Astro tampil berani membawa drama ‘Berbahagi Suami’, mengupas isu serta konflik dalam poligami yang sekian lama menjadi polemik di kalangan masyarakat. Selain menyajikan hiburan buat penonton, drama ‘Berbahagi Suami’ juga turut menyelitkan perkongsian ilmu mengenai tanggungjawab lelaki selaku seorang ketua keluarga, hak isteri pada suami, hak ibu dan soal keadilan dalam poligami.

Drama 65 episod terbitan Radius One ini merupakan hasil sentuhan pengarah Uchee Fukada yang telah berjaya mengarahkan judul drama seperti ‘Malang Si Puteri’ (2024) dan juga ‘Dendam Seorang Isteri’ (2022). Runut rasmi nyanyian penyanyi terkenal Khai Bahar dan Wany Hasrita bertajuk “Berbagi Hati” turut mengiringi para penonton sepanjang drama ini.


Menurut Ketua Saluran Astro Prima, Norzeha Salleh, berkata, “Selain daripada terus memberikan drama yang baik, Astro juga terpanggil untuk menerbitkan naskhah yang bukan sahaja sekadar memberi hiburan, namun turun memberi ilmu yang bermanfaat buat semua penonton. ‘Berbahagi Suami’ bukan sekadar membincangkan persoalan poligami dari segi luaran, tetapi juga pelbagai aspek penting seperti faham keadilan, mengimbangi perasaan keluarga, memahami akibat atau natijah poligami serta perilaku seorang suami yang baik. Perlu ditekankan, naskhah ini bukanlah untuk menggalakkan poligami tetapi untuk mengetengahkan aspek-aspek yang wajar diambil kira dan ditimbang tara dalam mengharungi sesebuah perkahwinan.”


‘Berbahagi Suami’ mengisahkan tentang rumah tangga Dhani (Amar Bahrin) dan Bella (Elizad Sharifuddin) yang tergugat setelah Dhani memperkenalkan Aishah (Sharifah Husna) sebagai isteri keduanya lantas menjerumus keluarga Dhani ke lembah berantakan. Ibunya, Lydia, dan mentuanya nekad untuk menghukum Aishah, namun terkesima apabila Bella bertegas menyokong tindakan suaminya. Bella kini berhadapan dengan dua hakikat kehidupan; menerima kehadiran Aishah sebagai madunya atau menerima hukuman dari jenayahnya yang disaksikan Aishah tidak lama dahulu.

Drama ‘Berbahagi Suami’ turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Ultra/Ulti Box serta aplikasi Astro GO dan sooka untuk pilihan yang fleksibel. Pakej Astro One boleh dilanggani sekarang. Strim Senang Hati, Hiburan Tanpa Henti Untuk Seisi Keluarga. Untuk info lanjut, layari www.astro.com.my atau WhatsApp 03 9543 3838.


Info Drama ‘Berbahagi Suami’

Produksi : Radius One

Pengarah : Uchee Fukada

Info siaran : Bermula 2 Disember 2024, setiap hari Isnin - Jumaat, jam 6 petang

Sinopsis:

Rumah tangga Dhani dan Bella tergugat setelah Dhani memperkenalkan Aishah sebagai isteri keduanya. Dhani menikahi Aishah untuk menjaga maruah dan membalas budi setelah gadis kampung itu merawatnya selepas Dhani terlibat dalam kemalangan. Namun, posisi sebagai isteri kedua tidaklah mudah bagi Aishah, terutamanya menghadapi keluarga Dhani yang berusaha memisahkan mereka. Dalam perjalanan cerita, terungkap bahawa Bella dan Aishah memiliki masa lalu yang terkait dengan sebuah pembunuhan. Bella bersikap ramah demi menjaga perkahwinannya tetapi dendam perlahan tumbuh setelah kegugurannya. Hubungan semakin rumit ketika Aishah dan Bella ternyata mempunyai ayah yang sama, sebuah fakta yang mengejutkan keluarga. Dhani berusaha adil, tetapi cinta terhadap Aishah semakin dalam, menimbulkan konflik baharu.


Para Pelakon:

Amar Baharin sebagai Dani

Siti Elizad sebagai Bella

Sharifah Husna sebagai Aishah

Dina Allisya sebagai Sofea

Zharif Ghazzi sebagai Harris

Ayunie Rizal sebagai Zira

Amy Mastura sebagai Sabrina


No comments :