Wednesday, September 25, 2024

Arexvy Vaksin Dari GSK Dapat Melindungi Warga Emas Dijangkiti Penyakit Respiratory Syncytial Virus (RSV)

Hi Korang,

GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) telah mengumumkan bahawa Arexvy (MAL24086007ARZ) telah diluluskan di Malaysia untuk RSV, iaitu virus pernafasan yang lazim yang boleh membawa kesan klinikal yang serius, seperti penyakit saluran pernafasan bawah (LRTD) dan pneumonia.


Ini merupakan vaksin RSV yang diluluskan untuk golongan warga emas berumur 60 tahun ke atas di negara ini. Vaksin adjuvan ini berpotensi untuk mentransformasikan usaha dalam mengurangkan beban RSV kepada golongan warga emas, sistem penjagaan kesihatan, dan masyarakat.


Kelulusan ini berdasarkan data positif daripada percubaan fasa III yang menunjukkan keberkesanan vaksin keseluruhan sebanyak 82.6% terhadap LRTD. vii Keberkesanan sebanyak 94.6% diperhatikan terhadap RSV-LRTD dalam kalangan orang dewasa dengan komorbiditi.

Dalam pelbagai kajian, vaksin ini secara amnya diterima baik dengan profil keselamatan yang mencukupi. Antara kesan buruk yang diperhatikan ialah kesakitan di tapak suntikan, keletihan, mialgia, dan sakit kepala. Kesan-kesan ini lazimnya adalah ringan hingga sederhana dan bertahan dalam masa beberapa hari selepas divaksinasi.

Walaupun RSV ialah penyakit yang menyerang semua peringkat usia, pada tahun 2019 kesan RSV pada orang dewasa berusia 60 tahun dan ke atas adalah ketara, mengakibatkan lebih 470,000 dimasukkan ke hospital dan 33,000 kematian di negara-negara berpendapatan tinggi. ii Orang dewasa dengan komorbiditi sedia ada, termasuk penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), asma, diabetes, dan kegagalan jantung kronik (chronic heart failure, CHF) berisiko tinggi untuk mengalami penyakit RSV yang parah.

Sejak pandemik COVID-19, terdapat perubahan dalam corak jangkitan bermusim akibat langkah-langkah perlindungan COVID-19. Khususnya di Malaysia, jangkitan RSV berlaku sepanjang tahun, dengan kemuncak yang ketara lazimnya berlaku antara bulan Julai hingga Ogos, serta Oktober hingga Disember.


Profesor Dr. Ahmad Izuanuddin Ismail, Timbalan Pengarah & Perunding, Perubatan Pernafasan, Hospital Al Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (HASA UiTM) berkata 'RSV boleh menyebabkan kesan yang parah, terutamanya dalam kalangan warga emas dengan komorbiditi seperti asma, COPD, dan kegagalan jantung kronik. iii Mereka juga berisiko tinggi untuk hospitalasasi selepas dijangkiti RSV. iii Oleh itu, adalah penting untuk kita melindungi pesakit berusia 60 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi. Di Malaysia, menurut Tinjauan Morbiditi Kesihatan Nasional 2023 (NHMS), lebih daripada setengah juta orang dewasa hidup dengan empat komorbiditi. Daripada jumlah ini, 15.6% daripada populasi dewasa mempunyai diabetes.

Sudah tiba masanya kita melindungi warga emas dengan keadaan kesihatan yang mendasari daripada jangkitan RSV untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan yang berkualiti terutamanya ketika usia emas mereka. Dengan mengutamakan kesejahteraan golongan warga emas, secara kolektif kita dapat memupuk masyarakat yang lebih sihat dan lebih cergas, dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua generasi'.


Dr. Alap Gandhi, Pengarah Perubatan, GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK) Malaysia dan Brunei berkata 'Pengunuman hari ini merupakan langkah besar ke hadapan dari perspektif kesihatan awam kerana ia membolehkan kami menyediakan vaksin bagi RSV di Malaysia bagi melindungi golongan warga emas. Kami berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak berkenanaan untuk memastikan mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan RSV yang parah ini dapat akses sewajarnya kepada vaksin ini'.


Jadi, sudah tiba masanya kita melindungi warga emas dengan keadaan kesihatan yang mendasari daripada jangkitan RSV untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan yang berkualiti terutamanya ketika usia emas mereka.

No comments :