Thursday, August 1, 2024

A.MENARINI, FARMASI CARING dan ACT4HEALTH Bergabung Tenaga untuk Mendorong Saringan Kemerosotan Kognitif Ringan Awal Dengan Ujian Penilaian Kognitif Visual Percuma

Hi Korang,

A.Menarini, anak syarikat sepenuhnya Kumpulan Menarini, sebuah syarikat kesihatan dari Itali dengan sejarah melebihi 135 tahun akan memulakan kempen ⁠“Catch Mild Cognitive Impairment Early: Act Now, Remember More” bersama-sama Farmasi CARiNG Malaysia dan ACT4Health Sdn Bhd, sebuah perusahaan sosial dari Universiti Malaya untuk mendorong saringan awal untuk kemerosotan kognitif ringan, yang juga dikenali sebagai Mild Cognitive Impairment (MCI).


Kesihatan kognitif berkaitan dengan kesejahteraan otak kita, manakala kesihatan mental memberi tumpuan kepada keadaan emosi dan psikologi kita[1]. Otak yang sihat boleh belajar, mengingat dan membuat keputusan-keputusan penting yang membolehkan kita menjalankan aktiviti harian. Walau bagaimanapun, apabila kognisi minda mula merosot, ia boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan individu dengan ketara, yang dikenali sebagai MCI[2]

Orang yang hidup dengan MCI cenderung mengalami kesukaran membentuk kata-kata, sering kehilangan benda atau terlupa untuk hadir di acara-acara penting. Tidak seperti demensia dan keadaan gangguan kognitif teruk yang lain, individu dengan MCI secara amnya boleh mengekalkan kebolehan untuk menjaga diri sendiri dan meneruskan aktiviti-aktiviti harian mereka. Sebaliknya, pesakit demensia sering bergelut dengan penjagaan diri dan mungkin menunjukkan gejala yang teruk seperti halusinasi dan paranoia[3]. Ini bermakna MCI dilihat sebagai peringkat di mana kesihatan kognitif masih boleh dipertingkatkan ataupun di mana kemerosotan minda boleh diperlahankan dengan mengikuti tabiat dan diet yang sihat.

Menurut sebuah penyelidikan di Malaysia yang diterbitkan pada 2023[4], pesakit yang menghidap penyakit kronik mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami MCI. Kajian yang melibatkan 207 peserta itu juga mendapati bahawa hanya 8% daripada pesakit telah membuat perbincangan tentang risiko gangguan kognitif dengan doktor mereka, manakala 8.2% memerlukan penjelasan lanjut. Kebanyakan peserta (93.2%) tidak memulakan atau berkongsi kebimbangan mereka mengenai demensia dengan doktor mereka, dengan 2.4% tidak pasti sama ada mereka pernah membincangkan topik ini. Terdapat tahap kesedaran yang rendah tentang pengetahuan asas demensia dalam kalangan warga emas, terutamanya mereka yang berisiko mengalami gangguan kognitif ringan dan faktor-faktor yang berkaitan dengannya.

“Melancarkan kempen ini adalah amat penting dan bermakna bagi kami di A. Menarini kerana kami juga mempunyai rakan kongsi yang berfikiran sama seperti Farmasi CARiNG dan ACT4Health untuk menangani isu kognitif terdesak ini yang telah dikenal pasti melalui penyelidikan dan maklum balas komuniti. Terdapat banyak faktor-faktor risiko yang boleh menyumbang kepada perkembangan MCI di dalam minda seseorang. Faktor yang bukan di bawah kawalan kita, seperti umur dan sejarah perubatan keluarga adalah tetap dan tidak dapat dielakkan, akan tetapi langkah-langkah yang boleh diubah-suai boleh diubah atau dielakkan untuk mengurangkan MCI. Membuat perubahan positif kepada mana-mana faktor risiko yang boleh diubah suai mungkin dapat memberikan peluang untuk mengurangkan kerentanan. Walaupun kita boleh membuat perubahan dalam aktiviti harian kita untuk menjalani gaya hidup sihat, ia juga penting untuk melakukan pemeriksaan yang sewajarnya dengan profesional penjagaan kesihatan yang betul untuk mengesan sebarang gejala awal dan menerima sokongan perubatan yang sesuai,” kata Josie Ong, Pengarah Komersial A. Menarini Singapore Pte Ltd (cawangan Malaysia)


Mendekati lebih ramai rakyat Malaysia untuk membuat saringan awal bagi memperlahankan perkembangan MCI


A. Menarini, CARiNG Pharmacy dan ACT4Health telah berganding bahu untuk menawarkan Visual Cognitive Assessment Test (VCAT) di lokasi Farmasi CARiNG terpilih di Malaysia. Tujuan ujian itu adalah untuk mempertingkatkan kesedaran MCI di kalangan rakyat Malaysia dan juga membantu mereka untuk menilai risiko untuk MCI. Jika perlu, ini membolehkan diagnosis dan intervensi awal dilaksanakan



VCAT melibatkan beberapa siri tugasan visual dan kognitif untuk mengukur aspek-aspek fungsi kognitif, seperti memori dan tahap tumpuan. Tugasan termasuklah pengecaman corak, penaakulan spatial, mengingat balik memori, dan membuat keputusan. Sebaik sahaja ujian tamat, keputusan akan dianalisis untuk memberikan gambaran mengenai status kesihatan kognitif individu dan menentukan jikalau penglibatan profesional kesihatan diperlukan.


Bercakap mengenai kempen tersebut, Bu Min Yee, Eksekutif Latihan Kanan/Ahli Farmasi berkongsi, “Kerjasama ekslusif bersama A. Menarini adalah cara untuk memajukan komitmen kami dalam usaha mempertingkatkan kesedaran mengenai MCI dan mempromosikan saringan awal. Di Farmasi CARiNG, kami didorong oleh komuniti dan di sini, kami memperkasakan pengguna untuk memacu pengesanan awal dan mengambil langkah-langkah seterusnya. Kami ingin memastikan bahawa apabila VCAT menunjukkan tanda-tanda awal MCI, mereka akan dibimbing ke penyedia penjagaan kesihatan seperti ACT4Health untuk menerima diagnosis yang lebih khusus. Matlamat utama perkongsian tiga-cara ini adalah untuk mendidik komuniti tentang MCI dan strategi-strategi pencegahan. Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan mengambil peluang ini untuk menjalani ujian VCAT secara percuma di cawangan CARiNG Pharmacy terpilih kami. Kami menjemput mereka dan ahli keluarga mereka untuk singgah di lokasi-lokasi terpilih ini untuk ujian kognitif selama 15 minit.”


Memperkasakan diri dengan informasi kesihatan untuk pengesanan awal


Walaupun tiada rawatan kuratif untuk gangguan kognitif yang teruk, ianya penting untuk mewujudkan strategi pengurusan yang komprehensif untuk menyediakan pesakit dan penjaga mereka menghadapi cabaran yang akan datang, dengan tumpuan utama untuk meningkatkan kualiti hidup.


“Statistik daripada projek penyelidikan AGELESS[5] menunjukkan bahawa satu daripada lima individu berumur 60 tahun ke atas mengalami kehilangan ingatan manakala empat daripada sepuluh rentan secara sosial. Bagi kebanyakan orang, defisit ingatan boleh bersifat sementara, manakala bagi yang lain, ia boleh dianggap sebagai tanda awal demensia. Statistik yang diterbitkan oleh Institut Kesihatan Awam melalui Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan— Warga Emas lima tahun lalu mendapati bahawa satu daripada 12 rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas menghidap demensia. “Projek AGELESS telah meningkatkan keupayaan kami untuk mengesan kelemahan kognitif awal dengan menentukan kumpulan yang lebih cenderung untuk mengalami kelemahan kognitif, dan yang lebih penting lagi, kumpulan yang boleh pulih" kata Professor Dr Tan Maw Pin, Perunding Perubatan Geriatrik, Pengasas dan Pengarah Urusan ACT4Health Sdn Bhd.

Tambahannya lagi, “Semua orang perlu faham bahawa kesihatan mereka adalah tanggungjawab mereka juga, dan sebagai penjaga kepada ahli keluarga yang lebih tua, kita juga harus ingat untuk memperkasakan mereka untuk mendapatkan bantuan awal. Ini juga bermakna bahawa selain menjalani pemeriksaan mata dan pergigian atau ujian darah secara berkala, kesihatan kognitif boleh mendapat manfaat daripada pemeriksaan perubatan yang kerap, terutamanya apabila kita perasan tanda-tanda awal atau mempunyai saudara-mara yang menghidap MCI. Seperti yang kita sedia maklum, pengesanan awal boleh membantu kita merancang untuk penjagaan jangka panjang dan mengambil tindakan kesihatan sebelum keadaan menjadi lebih teruk, seperti menukar diet dan lebih banyak bersenam. Penjaga juga harus bersedia untuk menghadapi perubahan tingkah laku pesakit supaya dapat menawarkan penjagaan yang paling sesuai."

Melalui kempen ⁠“Catch Mild Cognitive Impairment Early: Act Now, Remember More”, A.Menarini, Farmasi CARiNG dan ACT4HEALTH berharap untuk menekankan kepentingan memahami dan menangani MCI. VCAT kini boleh didapati secara percuma di cawangan Farmasi CARiNG terpilih. 

Untuk butiran lanjut tentang ketersediaan ujian dan lokasi, sila lawati paultan Facebook Farmasi CARING [https://www.facebook.com/caring2u?mibextid=ZbWKwL] kami.










No comments :