Monday, April 22, 2024

Thalia Kesal Sikap Buruk Bibik - Doakan Dirinya dan Anak Mampus

Hi Korang,

Usahawan selebriti Datin Thalia Baiduri mengakui terkejut dengan pembantu rumahnya yang selama ini dianggap baik dan dilayan seperti keluarga, rupa-rupanya hanya bertopengkan agama.


Dalam satu pendedahan di laman sosial, beliau berkata dirinya terkejut apabila mendapat tahu perkara sebenar pembantu rumah yang dipanggil Bibik Elly tidak berlaku jujur malah melayan anak bongsunya dengan teruk sehingga membiarkan kanak-kanak itu berbau hancing dan bermain dengan air tandas.

"Saya tidak pernah mengesyaki apa-apa sebab dia sangat baik di depan saya malah tidak pernah tinggal solat Dhuha. Semuanya terbongkar apabila mesejnya bersama teman lelakinya dikirimkan oleh individu berkenaan.

"Bila saya tanya dia menafikan, tapi bukti jelas apabila kami menerima mesej yang dia kirimkan kepada kekasihnya dan memaki hamum kami termasuk mendoakan saya dan anak saya mampus," katanya dalam pendedahan berkenaan.

Pendedahan itu dibuat dalam satu siaran langsung di akan TikTok Thalia.Baiduri minggu lalu dan mendapat respon netizen yang mahu mengetahu kisah sebenar yang berlaku.

Beberapa sedutan mengenai pendedahan berkenaan turut dikongsikan di akaun yang sama.

Thalia yang juga pernah berlakon itu berkata, selepas perkara tersebut terbongkar segala kebenaran mengenai bibik Elly sampai ke pengetahuannya dan suami melalui dua lagi pembantu rumah.

"Saya memang hairan sebelum ini bila anak saya berbau busuk setiap kali saya balik kerja, malah badannya juga penuh dengan luka tapi bila tanya dia, siap sumpah dengan nama Allah dia jaga anak dengan baik.

"Rupa-rupanya anak saya sudah beberapa kali jatuh dan dibiarkan sendirian tanpa dibersihkan, bibik lain tidak berani dengan dia kerana dia sudah lebih setahun berkhidmat dengan saya.

"Saya memang tidak pernah syak sebab bila dia sebut Allah saya fikir takkan dia tergamak main nama Allah," katanya.

Lebih dari itu pembantu rumah berkenaan juga didapati leka bermain cinta dengan lelaki senegara dengannya yang kononnya bekerja sebagai juruterbang.

Thalia berkata, pembantu rumahnya berusia lewat 40-an itu terbuai dan asyik dilamun cinta dengan lelaki berkenaan sehingga sanggup mengabaikan tugas hariannya.

"Saya difahamkan dia bercinta dengan pilot dan yang kelakarnya habis duit pada lelaki itu. Saya tidak masuk campur cuma bila sampai tugas terabai dan anak saya jadi mangsa memang saya tidak boleh terima. Malah bila kita panggil untuk bersemuka pun dia tidak menunjukkan sebarang penyesalan serta tiada langsung ucapan maaaf yang keluar dari mulut," katanya.

Lantaran itu, suami Thalia Datuk Shahriza Amir meminta bibik berkenaan keluar dari rumah dan menamatkan perkhidmatannya serta merta.

"Saya sendiri hilang kata-kata dengan sikap bibik berkenaan, tak apalah tiada rezeki dia bekerja dengan saya. Yang penting kita dah pulangan pada agen dan keselamatan anak kami terjamin," akuinya yang serik dengan kejadian itu sehingga ragu-ragu untuk memilih pembantu rumah.


No comments :