Saturday, October 27, 2018

DuitNow – Cara Baru untuk Membayar – Bayar ke Nombor Telefon Bimbit secara Serta-Merta

Hi Korang,

Para pelanggan Bank akan menikmati perkhidmatan pembayaran baru yang pantas, mudah dan percuma untuk pengguna individu dan perusahaan kecil sederhana (PKS) tidak lama lagi. Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) dan bank-bank di Malaysia akan melancarkan DuitNow, perkhidmatan yang membolehkan pelanggan bank memindahkan wang secara serta-merta dan selamat dengan menggunakan nombor telefon bimbit penerima. 


DuitNow bakal mengubah landskap pembayaran di Malaysia dengan menyediakan kemudahan, kecekapan dan ketersediaan dana segera yang tiada bandingannya dalam 24 jam sehari. Lonjakan besar dalam pembayaran elektronik ini berupaya mengurangkan pertikaian dalam pembayaran dan perdagangan dan akan bertindak sebagai pemangkin dalam pertumbuhan ekonomi digital Malaysia. 

Dengan berkongsi nombor telefon bimbit, pengguna DuitNow yang berdaftar boleh menerima dana dengan mudah dan secara serta-merta tanpa memberikan nombor akaun bank mereka kepada pembayar. 

Pelanggan yang ingin menerima pembayaran dengan menggunakan nombor telefon bimbit mereka hanya perlu melakukan pendaftaran satu kali untuk mengaitkan nombor telefon bimbit kepada nombor akaun mereka. Selain nombor telefon bimbit, pelanggan bank juga boleh memilih pengenal pasti yang lain – nombor Kad Pengenalan MyKad atau MyPR, nombor Tentera atau Polis, nombor pasport atau nombor pendaftaran perniagaan – untuk dikaitkan kepada akaun bank mereka bagi penerimaan wang. 

Pendaftaran satu kali diperlukan untuk menerima pembayaran, namun pelanggan bank tidak perlu mendaftar untuk menggunakan DuitNow apabila melakukan pembayaran. Selepas pelancaran DuitNow pada Disember 2018, pelanggan boleh melakukan pembayaran dengan mengakses DuitNow di bawah menu ‘Pindahan Dana’ (Funds Transfer) dari saluran Perbankan Internet dan Mudah Alih bank masing-masing. Pembayaran sehingga RM5,000 adalah percuma untuk semua pengguna dan PKS. 

Mr Peter Schiesser - Group Chief Executive Officer, PayNet  

Pelanggan bank boleh mengakses DuitNow hanya melalui saluran Perbankan Internet dan Mudah Alih bank mereka yang selamat. Sebagai tambahan, bank akan melindungi kerahsiaan data pengguna yang digunakan dalam DuitNow sejajar dengan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. 

“DuitNow membolehkan pelanggan bank menerima pembayaran tanpa mendedahkan nombor akaun bank mereka,” kata Peter Schiesser, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PayNet, pembekal infrastruktur pasaran kewangan nasional. 

“Bagi mereka yang melakukan pembayaran, mereka hanya memerlukan nombor telefon bimbit penerima, yang mereka mungkin sudah ketahui. Pada masa akan datang, agensi kerajaan dan perniagaan boleh melakukan pembayaran dengan menggunakan nombor MyKad,” tambah Encik Schiesser semasa taklimat kepada pihak media. 

DuitNow akan dibuka kepada orang ramai pada Disember 2018. Pada masa ini, tujuh bank telah mengambil inisiatif menghubungi pelanggan mereka sebagai langkah pra-pendaftaran supaya pelanggan tersebut dapat meraih manfaat daripada perkhidmatan pindahan dana yang baru ini. Dengan pra-pendaftaran ini, pelanggan mempunyai pilihan sehingga 30 November 2018 untuk menarik diri daripada memautkan nombor telefon bimbit mereka. 

Mr Peter Schiesser - Group Chief Executive Officer, PayNet with the representatives from the banks at the DUITNOW Media Briefing, today

Pra-pendaftaran disediakan untuk kemudahan pelanggan supaya mereka boleh menerima dana dengan lancar. Walau bagaimanapun, pelanggan boleh menarik diri jika mereka ingin berbuat demikian. Pelanggan perlu yakin bahawa bank-bank di Malaysia memberi keutamaan tinggi dalam menjaga kerahsiaan dan melindungi privasi pelanggan. 

Bermula 8 Disember 2018, pelanggan juga boleh melakukan pendaftaran permulaan bagi DuitNow melalui platform Perbankan Internet dan Mudah Alih bank mereka. Pelanggan juga boleh membatalkan pendaftaran sedia ada atau memautkan nombor telefon bimbit atau pengenal pasti lain kepada bank atau akaun yang lain. 

“Kami menamakan perkhidmatan ini sebagai DuitNow bagi memberi penekanan bahawa pembayaran berlaku dengan segera dan penerima lazimnya menerima wang ke dalam akaun bank secara serta-merta,” kata Schiesser. 

“Pelancaran DuitNow akan memberi lonjakan besar dan nilai tambah dalam pasaran e-Pembayaran, menjadikannya saluran yang pantas, lancar dan mudah untuk memenuhi permintaan segera dalam dunia yang semakin digital dan terhubung,” tambah Encik Schiesser. 

Sila layari www.duitnow.my untuk keterangan lanjut. 

Mengenai Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) 

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) ialah rangkaian pembayaran infrastruktur berpusat bagi pasaran kewangan yang terulung di Malaysia. Kami mempelopori inovasi serta membina dan mengendalikan sistem pembayaran dan infrastruktur pasaran kewangan bertaraf dunia yang membolehkan pelaksanaan dan pembangunan sistem kewangan dan juga ekonomi keseluruhan Malaysia secara selamat, cekap dan boleh dipercayai. Bank Negara Malaysia (BNM) ialah pemegang saham terbesar PayNet, dengan 11 institusi kewangan utama di Malaysia sebagai pemegang saham bersama. PayNet juga berfungsi sebagai platform untuk memanfaatkan kerjasama dalam sistem perbankan Malaysia bagi mempercepatkan penggunaan pembayaran elektronik. 





No comments :